Countdown

31 December 2013

Ooh La La Paris! (Bahagian Akhir)

[SAMBUNGAN DARIPADA BAHAGIAN 2]

Menara Eiffel pada waktu malam
Syurga roti dan manisan

Bagaikan isi dengan kuku, begitulah warga Perancis dan roti-roti mereka.  Rugilah bagi mereka yang berdiet ketika berada di kota Paris. Rambang mata dibuatnya ketika melihat roti-roti dan pastri-pastri mereka. Semuanya comel-comel dan sedap-sedap belaka. Selera saya memang rebah dek digoda kelazatan roti-roti orang Perancis.

Hasrat hati saya untuk mencuba beberapa pastri buatan orang Perancis tercapai juga akhirnya. Roti croissant di kota Paris begitu berbeza dengan yang dijual di Malaysia. Saiznya lebih kecil dan teksturnya lebih rangup. Memang sangat sedap! Sekali duduk, memang habis tiga atau empat biji. Di Perancis, mereka gemar menikmati roti croissant dengan sapuan Nutella dan mentega untuk sarapan pagi. 

Roti croissant yang sangat enak
Selain croissant, macarons juga tidak kurang sedapnya. Di kota Paris, rata-rata restoran dan gerai makanan ada menjual macarons. Malah, di McDonald’s juga ada menjual macarons. Sememangnya ia merupakan makanan ruji rakyat Perancis. Kalau orang Malaysia suka makan durian, orang Perancis nampaknya sukakan macarons. Macarons boleh dibeli dalam pelbagai jenis perisa dan saiz. Saya sempat membeli sekotak macarons di buah gerai dengan harga sepuluh Euro untuk tujuh biji. Sangat berbaloi pada fikiran saya. Lazat tak terperi!

Antara jenis-jenis macarons yang dijual di Paris
Pastri-pastri lazat yang mudah dijumpai di Paris
Walaupun kaya dengan pelbagai jenis roti, pastri dan manisan yang membuatkan kecur air liur, warga Paris masih begitu mementingkan kesihatan. Hanya 9% daripada jumlah populasi di Perancis yang menghidapi penyakit diabetes.

Oleh kerana ramai di kalangan mereka yang mementingkan penampilan yang menarik, secara tidak langsung mereka juga begitu menjaga pemakanan dan tahap kecergasan diri masing-masing. Sejujurnya memang amat sukar untuk saya menemui orang Perancis yang obes ketika saya berada di Paris. Tapi itu hanya hasil pemerhatian saya sahaja. Namun, saya tetap begitu kagum! Di dalam fikiran saya, mungkin saya perlu berpindah ke Paris bagi mencapai berat badan ideal saya.

Ketagih kopi

Dek cuaca yang begitu sejuk ketika berada di Paris, sekitar 4 darjah celcius, saya sentiasa memerlukan kopi untuk memanaskan badan saya. Tambahan pula, memegang cawan kopi yang panas membuatkan saya berasa selesa di dalam kedinginan udara. Tidak perlu memakai sarung tangan untuk mengelakkan kesejukan.

Kota Paris memang tidak kekurangan dengan café-café yang menjual kopi dan minuman panas lain. Di setiap ceruk dan penjuru, pasti akan terjumpa café menjual kopi. Saya berasa seperti berada di dalam syurga kopi.

Salah satu cafe yang terdapat di kota Paris
Setiap hari ketika di kota Paris, saya sentiasa sibuk ke hulu dan ke hilir untuk melawat tempat-tempat yang menarik dan mengambil foto-foto. Jadual saya memang begitu padat. Kadang-kala memang saya tidak sempat untuk meluangkan masa untuk makan tengahari. Akibatnya, kopi dan roti croissant menjadi teman baik saya sepanjang hari.

Saya amat gemarkan kopi di kota Paris. Rasanya lebih pekat dan fresh! Aroma kopinya yang wangi amat menusuk deria bau saya. Sebagai self-tought coffee expert, saya berupaya memberitahu samada kopi yang saya minum adalah kopi yang berkualiti atau tidak. Di kota Paris, amat sukar untuk mendapatkan kopi yang tidak berkualiti. Semua café bagaikan bertanding siapakah yang mempunyai kopi yang paling sedap. Paling untung adalah para pelanggan yang mempunyai banyak pilihan. Tepuk dada tanyalah selera. 

Kopi yang enak di Paris
Al-kisah wanita bertudung

Tidak berapa lama dahulu, dunia digemparkan dengan kontroversi berita pihak kerajaan Perancis yang berhajat untuk melarang wanita di negara itu memakai tudung di universiti-universiti dan pejabat-pejabat kerajaan. Usul itu mendapat tentangan dan juga persetujuan daripada pelbagai pihak dan puak.

Ketika berada di kota Paris, saya terkejut melihat betapa ramainya kaum hawa di sana yang mengenakan hijab di tempat awam. Saya terkejut kerana dua sebab. Sebab pertama ialah saya tidak menyangka terdapat ramai umat Islam di negara Perancis. Sebab kedua adalah saya terkejut dengan keberanian kaum hawa di sana mempertahankan pegangan agama mereka walaupun mendapat tentangan oleh pemimpin mereka sendiri. Nampaknya, agama Islam sememangnya sedang brkembang di benua Eropah.

Wanita muslim di Paris
Satu pagi ketika saya sedang bersarapan di hotel tempat saya menginap, seorang lelaki pelayan meja datang menegur saya dan bertanya dari negara mana saya berasal. Saya menjawab soalannya dan dia bertanya lagi samada saya seorang muslim. Sejurus saya menjawab ya, dia memberitahu saya bahawa dia juga seorang muslim namun beliau masih merahsiakan perkara tersebut kerana takut dipulaukan keluarga dan rakan-rakan.

Dia berkata lagi, masih ramai orang di Perancis yang masih belum betul-betul memahami konsep ajaran Islam yang sebenarnya. Malah, masih terlalu ramai yang bertanggapan serong tentang ajaran Islam. Dia berkata dia bercadang untuk memberitahu ahli keluarganya tidak lama lagi dan berdoa agar mereka akan menerima keputusan jalan hidupnya itu.

Berdasarkan selidikan saya di internet, terdapat lebih daripada 7 juta umat Islam di negara Perancis. Angka ini dijangka bakal mencecah 12 juta orang menjelang tahun 2020.

Paris pasti dirindui

Kenangan di kota Paris memang begitu manis buat saya. Banyak yang telah saya pelajari sepanjang berada kota cinta ini.

Bagi saya, kota Paris begitu sesuai untuk dikunjungi oleh mereka yang cintakan sejarah, seni dan makanan yang enak. Kota ini juga sangat sesuai sebagai destinasi bulan madu bagi pasangan yang baru sahaja mendirikan rumah tangga.

Walaupun saya tidak sempat untuk melawati kesemua tempat-tempat bersejarah yang terdapat di sana, namun saya berasa puas kerana saya berjaya untuk menyelami beberapa aspek menarik tentang negara tersebut.

In Sha Allah, saya akan pastikan saya berpeluang untuk berkunjung ke kota Paris lagi pada masa yang akan datang.

Paris, I will see you again!


No comments:

Post a Comment