Tidak ada perkataan lain yang mampu diungkap apabila melihat hotel-hotel yang mempunyai rekaan unik, kreatif dan luar biasa buat pengunjung ini. Bagi anda yang gemar menginap di hotel, hotel-hotel unik ini mungkin boleh memberi anda idea atau kelainan yang ingin dirasai apabila bercuti. 


Sheraton Huzhou Hot Spring Resort, China
Baru beroperasi pada tahun ini, hotel yang dilihat sebagai ladam kuda gergasi ini mempunyai 100 meter ketinggian, 116 meter lebar dan 75 ekar. Menyediakan 321 buah bilik termasuk 40 suite, 37 vila dan suite presiden semuanya berlatarbelakangkan tasik Tai iaitu tasik air tawar ketiga terbesar di China. Menjelang petang, lampu LED di sekeliling bangunan hotel ini seolah-olah mewujudkan satu bayangan di air yang menyerupai bulan dan angka lapan yang dipercayai angka bertuah untuk masyarakat China.



Hotel Burj Al Arab, Dubai
Hotel paling mewah dan mahal ini terletak di Dubai, Arab Bersatu merupakan hotel keempat tertinggi di dunia. Reka bentuk bangunan ini direka berdasarkan kapal mewah Arab di mana dua tiang sayap membentuk satu atrium di tengah. Mempunyai 28 tingkat dengan 202 buah bilik suite ini dianggap suite yang paling mahal di dunia oleh laporan CNN pada tahun lepas apabila bayaran RM58,911.40 satu malam dikenakan. Hotel yang dinobat 7 bintang ini sering menjadi tumpuan para jutawan kerana dikelilingi pantai yang cantik.


Igloo Village Kakslauttanen, Finland
Hotel yang terkenal dengan keunikan kaca, rumah salji dan restoren salji terbesar di dunia ini memberi anda peluang untuk melakukan apa-apa saja aktiviti pada musim sejuk. Bukan saja memberi anda rasa tidur yang aman dan nyaman, kaca pada hotel mampu memberi rasa hangat pada pengunjung selain mengelakkan kaca tersebut diliputi ais. Sambil baring, anda boleh melihat keindahan lampu pada musim sejuk.


Poseidon Underwater Resorts, Fiji
Terletak 40 kaki bawah air di sebuah pulau rahsia di Fiji, terdapat 25 suit termasuk restoran, bar, pusat gim malah gereja untuk pasangan yang mahu mengabadikan kenangan berkahwin di dasar laut. Hmm.. bayarannya RM47,051.26 seorang selama seminggu, anda boleh menikmati akses melalui lif dari pesisir pulau. Jika anda gerun untuk 'tidur' di dalam laut, terdapat 51 buah bilik di atas air beserta kemudahan restoren, bar, spa, gelanggang tenis dan golf. Tetapi selalunya, pengunjung tidak akan melepaskan peluang untuk melihat keindahan dasar laut seperti batu karang dan beberapa spesis ikan.


Hotel Magic Mountain, Chile
Jika anda gemar akan aktiviti memburu dan memancing, hotel yang penuh dengan bayangan fairytale ini boleh memberi anda inspirasi dan kenangan yang tidak mungkin dilupa. Reka bentuk hotel yang menyerupai gunung berapi dengan air mengalir (menggantikan lava api) ini ada menyediakan satu jambatan untuk terus menuju ke bilik dengan dikelilingi hutan pelbagai sudut. Bersediakah anda menyaksikan burung helang di udara dan binatang liar di darat? Benar-benar ekosistem!

Betapa modennya dunia masa kini sehinggakan anda menginap di hotel tetapi merasakan seperti menetap di tempat yang aneh. Pengalaman bukan saja boleh dikutip daripada aktiviti ketika melancong tetapi pengalaman ketika menetap di hotel-hotel yang unik seperti ini juga satu idea yang sungguh menarik.