ARTIKEL ASAL DI LAMAN SESAWANG RASMI MAJALAH LIBUR.
Agenda memancing boleh juga dijadikan rancangan untuk percutian yang lebih memuaskan. Sesekali bercuti dengan menguji kesabaran menanti pancingan ikan, tentu lebih menarik. Berikut beberapa lokasi percutian untuk yang gemar aktiviti memancing.
Tasik Kenyir, Terengganu
Tasik ini merupakan tasik buatan manusia yang terbesar di Asia. Lokasi ini merupakan kediaman kepada pelbagai spesis ikan air tawar dan kehidupan liar eksotik sehingga membuatkannya terkenal sebagai 'port' untuk kaki pancing. Jika anda minat memancing tetapi datang sehelai sepinggang, usah risau kerana peralatan untuk memancing, berenang, berkayak, berlayar dan merentas hutan ada disediakan di kebanyakan resort berdekatan tasik ini. Tasik ini dinilai sebagai antara tarikan pelancong yang terbaik buat pencinta alam semulajadi, penggemar memancing dan juga jurugambar.
Tasik Temenggor, Perak
Tasik buatan manusia terbesar di Perak ini merupakan lokasi sesuai untuk pencinta alam sekitar kerana dikelilingi keindahan flora dan fauna. Jika anda mahu memancing ikan air tawar seperti baung, tenggalan dan kelah, sinilah lokasi yang patut ditujukan sepanjang percutian nanti. Pulau Cendana adalah sebuah pulau yang terdapat di tasik ini.
Tasik Bera, Pahang
Tasik semulajadi yang terbesar di Malaysia ini merupakan syurga buat kaki pancing. Tasik Bera menawarkan perkhidmatan bermain perahu, berkayak, memancing dan merentas hutan. Bulan-bulan hujan yang lembab dari April hingga Mei dan dari September hingga Januari menawarkan penggemar-penggemar memancing masa yang terbaik untuk menebarkan joran-joran pancing anda. Anda boleh dapat banyak ikan selepas hujan lebat.
Tasik Chini, Pahang
Di antara bulan Ogos dan September, bunga teratai berwarna merah jambu dan putih akan memenuhi tasik ini sehingga membuatkan pemandangan yang cukup sempurna dan destinasi percutian pengembaraan yang menarik. Memandangkan ada sebanyak 144 spesis ikan air tawar yang ada didapati di tasik ini, ramai pelancong yang mahu memancing sambil menikmati keindahan flora yang jarang ditemui akan memilih tasik ini sebagai percutian yang tidak boleh dilupakan.
Tasik Beris, Kedah
Tasik buatan yang terletak di utara Malaysia ini terhasil dari pembinaan empangan Beris pada bulan Ogos 2010. Persekitaran yang berbukit, pemandangan yang cantik dan udara yang segar membuatkan suasana tenang. Untuk mengelilingi di sekitar tasik, bot sewa ada disediakan untuk pengunjung. Tasik ini merupakan pilihan kaki pancing kerana terdapat beberapa kehidupan air tawar seperti lampam, baung dan tilapia.
Terdapat banyak lagi tasik yang boleh dikunjungi buat anda yang merancang bercuti sambil melepaskan gian memancing bersama keluarga mahupun teman-teman. Sekurang-kurangnya, tasik lebih 'thrill' berbanding memancing di kolam!
P/S: Gambar adalah dari sumber Internet
No comments:
Post a Comment