ARTIKEL ASAL DI LAMAN SESAWANG RASMI MAJALAH LIBUR.
Masih tercari-cari lokasi untuk percutian seterusnya? Jika anda seorang pengembara yang gemarkan destinasi penuh mencabar, kami ada beberapa lokasi menarik yang boleh menaikkan adrenalin anda. Aktiviti menjelajah destinasi luar biasa ini mesti ada dalam senarai lokasi percutian anda untuk menambahkan pengalaman selaku pengembara tegar.
1) TERJUNAN DI NEPAL
Bermula dengan lokasi di Kathmandu sebelum menuju ke Tibet, anda boleh menimba pengalaman menaiki jambatan gantung yang berketinggian 160 meter atau terjun dan 'membaling' diri ke dinding Canyon yang curam dan air terjun. Bersedialah untuk basah apabila meredah sungai liar di Himalaya sebelum menuju ke pekan Pokhara. Untuk lebih cabaran, ikuti aktiviti berbasikal selama empat hari dengan berbekalkan pakaian kalis sejuk kerana mengayuh basikal selama empat hari boleh melatih diri menjadi pengayuh basikal yang handal. Ada boleh bertemu sekumpulan monyet yang banyak menghuni Swayambutinath atau dikenali sebagai tokong monyet yang terletak di puncak bukit Kathmandu.
2) BERBASIKAL DI ECUADOR
Terkenal dengan lokasi hutan hujan Amazon, sembilan hari percutian di sini membolehkan anda terlibat dengan aktiviti berbasikal di sepanjang persekitaran gunung berapi, berakit di arus deras di beberapa sungai terbaik di Latin America dan berjalan sepanjang hutan Amazon. Anda boleh melihat pelbagai kehidupan liar. Menariknya, di sebalik kepenatan bercuti di sini anda boleh merehatkan diri dengan berhenti singgah di kaki bawah gunung berapi untuk mandi terma yang dikatakan boleh memanjakan diri selain mampu merawatkan kesihatan kulit. Bersedialah untuk melihat alam flora dan fauna yang dikatakan makin pupus secara depan di AmaZOOnico.
3) PERJALANAN BERJAM-JAM DI INDIA, PAKISTAN
Terletak di Kashmir, bila lagi anda boleh merasa pengalaman perjalanan lebuhraya Karakoram yang mencabar berjam-jam sepanjang selatan Old Silk Road dari utara Pakistan ke Banjaran Himalaya India. Bermula di Kashgar, anda boleh melihat kesibukan bazar terkenal setiap hari Ahad yang dikenali sebagai Yakshmbe Bazaar. Apabila perjalanan diteruskan, anda dapat menikmati pemandangan gunung yang gah di utara Pakistan. Anda juga berpeluang melihat lapan keajaiban dunia melalui Hunza dan Fairy Meadows yang cantik di Lahore.
4) BERKAYAK DI INDONESIA
Tiba masanya untuk anda menikmati pengalaman berekspedisi unik di mana anda akan mengayuh kayak di beberapa pantai jauh, merasai nikmat 'hanyut' di atas terumbu karang yang hebat, melalui kawasan-kawasan yang jarang dikunjungi dan diterokai malah berpeluang ke pulau yang dihuni oleh binatang mitos iaitu biawak naga atau lebih dikenali sebagai komodo. Ekspedisi ke National Park akan diketuai oleh penunjuk arah yang berkemahiran. Ekspedisi tetap mencabar apabila anda menjejak kaki ke pulau yang tidak berpenghuni, pantai yang menggoda dan berpeluang melawat perkampungan kecil. Jika mahu lebih ektrim, anda boleh meneruskan perjalanan ke Rinca untuk melihat sendiri biawak komodo yang panjang melebihi tiga meter dan seberat 150 kg secara dekat. Pengalaman melihat kerbau, rusa, monyet dan khinzir hutan merupakan pengalaman yang tidak mungkin dilupakan.
5) BERMOTOR DI MONGOLIA
Bagi penggemar motosikal, percutian di Mongolia mungkin percutian paling istimewa buat anda. Mana tidaknya, perjalanan menaiki motosikal meredah batu dan becak pasti memberi pengalaman yang berbeza sebelum ini. Terdapat juga beberapa sungai yang perlu diredah dan di sinilah kepakaran anda 'membawa' motosikal yang dibonceng. Perlu diingatkan, anda mestilah seorang yang mahir membawa motosikal kerana perjalanan yang diambil sangat jauh dari kemudahan perubatan. Antara motosikal yang disediakan adalah KTM 450EXC dan Yamaha WR250F. Selain itu, anda juga boleh merasa menaiki jip meredah hutan batu di puncak bukit yang sememangnya mencabar keseronokan tahap maksima! Perjalanan yang panjang akan membuatkan anda berkemah satu malam sebelum menyambung perjalanan.
Selain lokasi yang dinyatakan, terdapat banyak lagi lokasi mencabar yang menjadi pilihan. Semuanya terpulang pada persediaan anda untuk berdepan dengan percutian yang penuh mencabar di tempat orang. Jika orang lain gemar membawa pulang cenderahati yang menarik, anda juga tidak kurang hebat. Cenderahati berbentuk pengalaman yang memerlukan kesabaran untuk kepuasan diri tidak mungkin boleh dijual beli. Sudah bersediakah anda bercuti untuk aktiviti ekstrim ini?
No comments:
Post a Comment