Artikel asal di laman sesawang rasmi Majalah LIBUR.
Siapa kata wanita hamil tidak boleh naik pesawat untuk pergi bercuti? Tidak ada halangan untuk anda wahai wanita hamil untuk meneruskan misi percutian anda kecuali mendapat berita bahawa lapanganterbang ditutup mahupun syarikat penerbangan telah membatalkan tiket penerbangan anda. Ibu hamil juga ada hak untuk melancong tetapi beberapa perkara perlu diambil perhatian.
SYARAT PENERBANGAN
Adalah penting mengetahui syarat-syarat menaiki penerbangan yang telah disediakan. Syarikat tambang murah Air Asia meletakkan syarat kehamilan sehingga 27 minggu saja dantanpa perlu surat akuan dari doktor. Namun, wanita hamil di usia kandungan ini perlu menandatangani Penyata Liabiliti Terhad. Bagi kehamilan antara 28 hingga 34 minggu, surat doktor diperlukan dan perlu bertarikh tidak lebih dari 30 hari dari tarikh penerbangan.
Penyata Liabiliti Terhad Air Asia, Air Asia Japandan Air Asia X perlu diisi untuk keselamatan. Jika kehamilan melebihi 35 minggu, anda tidak dibenarkan untuk terbang. Bagi syarikat penerbangan Malaysian Airline System (MAS), surat dari doktor juga diperlukan. Wanita yang hamil normal tanpa komplikasi dibenarkan naik pesawat sehingga kehamilan 35 minggu. MAS juga tidak membenarkan wanita hamil pada bulan terakhir menaiki pesawat.
PERSEDIAAN DIRI
Jika anda sudah benar-benar yakin dan bersedia untuk menaiki pesawat, beberapa tip perlu diikuti untuk keselesaan sendiri. Pakaian longgar dan selesa perlu dikenakan supaya memudahkan anda bernafas dengan sempurna. Jangan lupa guna sarung kaki khas kerana sarung kaki khas ini membantu pengaliran darah dari pergelangan kaki ke jantung dan paru-paru. Anda boleh mencarinya di farmasi yang berdekatan.
Elak duduk sambil menyilangkan kaki pada jangka masa yang lama. Amalkan meminum air secukupnya untuk mengelakkan dehidrasi. Darah mudah beku jika berlakunya dehidrasi. Di tempat duduk nanti, usah segan melakukan sedikit senaman regangan yang ringan. Misalnya, anda boleh berjalan-jalan setiap satu jam. Atau setiap setengah jam, lakukan regangan pada sendi lutut, gerakkan jari-jari kaki dan apa-apa saja senaman ringan. Orang tak pandang anda pelik punyalah.
Lihat saja pelancong dari Eropah. Meskipun sarat, mereka masih boleh pergi melancong kerana mereka berani dan yakin akan kesihatan diri. Bagi mereka, berjalan-jalan sambil melancong memberi pengalaman yang indah ketika hamil. Mungkin juga mereka sudah biasa untuk mengembara dan minat ini tidak mampu dibendung meskipun sedang hamil. Setiap kehamilan sama ada selamat atau sebaliknya terletak kepada ketentuan. Oleh itu, ibu hamil juga boleh melancong jika semuanya selamat.
No comments:
Post a Comment