Eiffel Tower |
Tahun
2013 sememangnya tahun yang begitu sibuk bagi saya. Beberapa buah negara telah
saya kunjungi atas nama urusan kerja. Bermula dengan Jepun dan Korea Selatan
pada awal tahun, kemudian Thailand dan Singapura, seterusnya ke Hong Kong dan
Shenzhen. Sebagai penutup tirai tahun ini, saya sungguh bertuah kerana diberi
peluang untuk melawati dua destinasi pelancongan terulung di dunia; Paris dan
London.
Bulan
Disember merupakan bulan yang paling sesuai untuk melawat dua kota ini kerana
beberapa faktor. Faktor pertama ialah cuaca. Paling bulan Disember, suhu di
sana adalah dingin. Sesuatu perubahan yang ketara daripada suhu di tanahair
yang begitu panas dan lembap. Kadang-kala, change
is good!
Faktor
kedua ialah musim perayaan. Kerana penganut agama Kristian merayakan hari
Krismas pada bulan Disember, jadi terdapat banyak tawaran hebat membeli-belah
pada waktu ini di Paris dan London. Kepada kaki shopping, waktu ini boleh dimanfaatkan untuk berbelanja besar.
Faktor musim perayaan juga membuatkan tempat-tempat tarikan pelancongan di sana
menjadi kurang sibuk.
Kota Paris |
Menaiki
pesawat Malaysia Airlines (MAS) terus tanpa henti dari Kuala Lumpur ke Paris
membuatkan perjalanan saya berasa begitu selesa. Tidaklah saya perlu berhenti
transit di mana-mana, lantas memanjangkan lagi jumlah masa perjalanan saya
sebelum sampai ke destinasi yang dituju.
Penerbangan
saya berlepas dari KLIA tepat pada pukul 12.00 tengah malam dan mengambil masa
kira-kira 13 jam. Walaupun jauh perjalanannya, namun saya tidak berasa begitu
penat kerana keadaan kabin pesawat yang disediakan adalah cukup selesa sekali.
Layanan yang diberikan oleh krew pesawat adalah cukup baik. Memang kenalah
dengan slogan ‘Malaysian Hospitality’
seperti yang mereka war-warkan di media.
Kabin MAS yang selesa |
Disamping
itu, bahan bacaan dan hiburan yang disediakan membuatkan saya tidak berasa
bosan ketika “berlayar” di udara. Makanan yang dihidangkan juga begitu enak
dengan porsi yang agak banyak. Pendek kata, kualiti servis di dalam penerbangan
MAS sememangnya tip-top dan bertaraf
dunia!
Masa
yang terluang di atas udara juga saya manfaatkan dengan mentelaah informasi
penting yang telah saya kumpulkan untuk lawatan saya pada kali ini. Risau juga
hati sekiranya tersesat atau menghadapi masalah berkomunikasi di sana nanti.
Jadi, bak kata pepatah, “Sediakan payung sebelum hujan”.
Impresi pertama
Kota Paris, Kota Cinta |
Sebagai
seorang kaki melancong tegar, saya bersyukur kerana banyak negara telah pun
saya lawati. Setiap setahun, saya akan pastikan saya keluar melancong sebanyak
dua kali. Kalau bajet di dalam poket saya tebal, jauhlah kaki saya melangkah.
Kalau bajetnya kecil, dekat-dekat sahaja pun tidak mengapa. Janji, saya dapat
jalan-jalan bersama kamera DLSR kesayangan saya sambil melihat kebesaran Allah
yang Maha Kuasa.
Namun
begitu, rezeki untuk bertandang ke kota Paris seringkali tertunda sejak
beberapa tahun yang lalu sehinggalah pada bulan Disember 2013. Akhirnya, kota
Paris bakal saya takluki! Hati ini sangat teruja bukan kepalang. Sesampai
sahaja saya di Charles de Gaulle Airport di Paris, saya terus menarik nafas
panjang. Udara Paris yang nyaman saya hirup sedalam-dalamnya. “Aku sudah sampai
di Paris!”, jerit hati saya.
Arc de Triomphe |
Setelah
seharian suntuk saya pusing-pusing di kota Paris dengan menaiki bas persiaran pada
hari pertama di sana, impresi pertama saya tentangnya adalah seperti yang saya
gambarkan. Segala klise tentang kota Paris yang saya kutip melalui hasil
penbacaan dan selidikan saya ternyata benar belaka.
Sekiranya
saya hanya dapat menerangkan tentang Paris dengan hanya 5 perkataan, saya akan
memilih Romantik, Cantik, Fashionable, Artistik dan Historical sebagai pilihan saya.
Paris
telah membuatkan saya jatuh cinta!
Kota cinta paling popular
Sungai Seine, Paris |
Kota
Paris yang hanya sebesar 105.4 km persegi (kira-kira separuh daripada keluasan
bandaraya Kuala Lumpur) mempunyai reputasi sebagai ‘Kota Cinta’ sejak berabad
lamanya.
Menurut
sejarah, reputasi ini terbina kerana Paris merupakan bandar pertama di benua
Eropah yang dilengkapi dengan kemudahan lampu gas untuk menerangi bandar
tersebut pada waktu malam. Lama kelamaan, penduduk di benua Eropah menggelarkan
Paris sebagai La Ville-Lumière yang
bermaksud ‘Kota Bercahaya’.
Oleh
kerana kota Paris kelihatan begitu indah pada waktu malam kerana
bangunan-bangunan di sini diterangi dengan lampu gas, ianya menjadi tempat
pilihan bagi pasangan-pasangan yang sedang bercinta untuk bersiar-siar sambil
menikmati keindahan pemandangan pada waktu malam di situ. Lama-kelamaan,
semakin ramai pelancong datang melawat Paris, terumatanya untuk tujuan berbulan
madu. Begitulah bermulanya persepsi orang ramai tentang kota Paris sebagai
‘Kota Cinta’.
Pont des Arts |
Arc de Triomphe pada waktu malam |
Saya
sendiri amat bersetuju dengan reputasi Paris sebagai salah satu destinasi
paling romantis di dunia. 100% benar! Aura cinta di sini sememangnya begitu
kuat dan sukar untuk diabaikan.
Kemana
sahaja saya menolehkan kepala, pasti akan terlihat pasangan-pasangan yang
berpimpin tangan dan tersenyum lebar. Tidak kira usia dan bangsa, satu bandar
seolah-olah terkena virus cinta! Sejuk hati saya melihatkan panorama ini.
Sesuatu yang sukar dijumpai di tanahair.
Bagi
saya, aktiviti paling romantis yang saya amat recommend kepada pasangan-pasangan yang bercadang untuk berbulan
madu di kota Paris adalah menaiki feri persiaran yang menusuri Sungai Seine.
Aduhai, memang tersangat romantis!
Pasangan warga emas romantis di atas feri persiaran |
Menikmati keindahan Paris dari atas feri persiaran |
Perjalanan
yang mengambil masa kira-kira satu jam ini akan membawa anda menusuri Sungai
Seine dan menikmati keindahan kota Paris dari sudut yang begitu menarik. Anda
bakal melewati beberapa tarikan pelancongan utama kota Paris seperti Musee
d’Orsay, Notre Dame de Paris, Grand Palais, Pont des Arts dan yang terpenting,
Eiffel Tower yang tersergam indah mencapai langit.
Selain
menaiki feri, bersiar-siar di The Avenue des Champs-Élysées bersama-sama dengan
pasangan anda tidak kurang romantisnya. Pada waktu malam, jalan ini disimbahi
dengan cahaya lampu-lampu neon yang berwarna-warni. Jalan ini dipenuhi dengan
butik-butik jenama tersohor dunia seperti Louis Vuitton, Rolex, Mont Blanc,
Chanel dan sebagainya.
Setelah penat berjalan, anda boleh singgah di café Laduree di sini untuk menikmati manisan Perancis yang paling popular di dunia iaitu macarons. Laduree merupakan jenama manisan dan teh paling eksklusif di Perancis dan kini semakin berkembang ke serata dunia.
Setelah penat berjalan, anda boleh singgah di café Laduree di sini untuk menikmati manisan Perancis yang paling popular di dunia iaitu macarons. Laduree merupakan jenama manisan dan teh paling eksklusif di Perancis dan kini semakin berkembang ke serata dunia.
The Avenue des Champs-Élysées pada waktu malam |
Cafe Laduree di Champs-Élysées |
Macaron berwarna-warni di Laduree |
[BERSAMBUNG]
No comments:
Post a Comment