Sambungan dari Bahagian 1...
Sudah puas membeli barangan, kami dibawa ke Masjid al-Qawariyyin untuk menunaikan solat jamak dan qasar apabila tibanya waktunya. Masjid ini merupakan masjid yang kedua terbesar selepas masjid King Hassan ll di Casablanca. Orang bukan muslim tidak dibenarkan untuk memasuki kerana ia merupakan masjid yang paling suci di Maroko. Masjid ini sememangnya bersih dan pintunya yang besar itu amat selesa untuk beribadah. Masjid ini mempunyai dua menara iaitu menara yang asal dan Burj an-Naffara (Menara trompet). Menara asal ini merupakan monumen Islam yang tertua di Fes, bertarikh kira-kira pada tahun 956.
Menurut
sejarah, ia ditubuhkan pada tahun 859 oleh Fatima al-Fihri, anak kepada orang
kenamaan. Namun masjid ini susah untuk
dilihat kerana ia dibanjiri dengan bangunan-bangunan dan juga rumah yang lain.
Pemandu pelancong itu berkata tempat yang sesuai untuk melihat keseluruhan
masjid itu ialah dari atap bumbung
Medersa el Attarin,
yang hanya kadang-kadang ia dibuka
kepada orang ramai tetapi sangat susah untuk kita masuk
ke dalamnya. Kami hanya dapat menghayati keindahannya di dalam masjid itu
sahaja. Tidak mengapalah, asalkan tempatnya bersih dan selesa untuk kita solat.
Setelah selesai menunaikan solat, kami dibawa melawat
ke Muzium Belghazi. Menurut sejarah,
muzium ini ditubuhkan dan diasaskan oleh seorang usahawan terkemuka yang
bernama Abdelila Belghazi Fandi pada tahun 1991. Tujuan muzium ini ditubuhkan
ialah untuk mempamerkan koleksi seni
tradisional Magribi. Di sini kami lihat banyak tembikar, ukiran kayu, sulaman,
manuskrip, alat muzik, senjata dan banyak lagi sehingga tidak tahu mana satu
yang perlu lihat terlebih dahulu. Kebanyakan karya yang dipaparkan adalah lebih
kurang dengan Muzium Dar Batha tetapi boleh membeli sesetengah barangan yang
kita suka di sini. Ukiran di muzium ini juga sangat cantik dan unik baik di
luar mahupun di dalam sehingga membuatkan kami semua terpesona melihatnya. Kami
diberikan masa selama 45 minit untuk berjalan-jalan di muzium sambil
memerhatikan karya yang terpampang.
Kawasan di Muzium Belghazi |
Akhirnya kami kembali ke pintu gerbang Bab Bou Jelod dan ingin menjamah sedikit makanan sebelum pulang. Lalu kami mengunjungi ke restoran yang dinamakan Guenoune. Dengan harga sebanyak 50 Dirham atau mungkin lebih, kita boleh mendapatkan satu sup ataupun salad, couscous (sejenis pasta daripada adunan suji dan air yang dikukus, berasal dari Mediterranean), pastri dengan kopi atau teh. Porsi yang disediakan adalah banyak dan kualiti lebih dijamin berbanding dengan Restoran des Jeunes yang hanya menyediakan kuantiti makanan yang sangat sedikit dengan harga 35 Dirham. Mata saya terarah kepada seorang lelaki tua yang berpakaian sangat tradisional. Bajunya yang lusuh, dia hanya tersenyum memandang kami. Justeru, ia membawa perasaan yang sangat autentik.
Restoran Guenoune |
Pastille yang mesti dicuba jika bertandang ke sini. Pastille yang paling sedap adalah di Restoran Guenoune |
Bagi
saya, tempat ini hanya sesuai untuk kita datang melawat sahaja. Di sini saya
diberikan gambaran terhadap kehidupan orang pada zaman dahulu yang rata-ratanya
terdiri daripada orang yang miskin. Ianya tidak selaras dengan gelaran Tapak
Warisan Dunia kerana pendidikan dan taraf kehidupan rakyat di situ masih lagi ketinggalan
dan tidak berkembang maju. Talian internet juga hanya terdapat di Bab Bou
Jaloud untuk 10 Dirham per jam dan beberapa lagi tempat di kota baru dengan
harga 7 Dirham per jam. Mungkin ada di tempat lain, cuma kita tidak tahu.
Namun,
di sinilah antara tempat yang paling banyak memberi informasi mengenai
sejarah-sejarah di bandar ini, secara tidak langsung memberi kesedaran bahawa
masih ada lagi insan yang berada di tahap kemiskinan. Lawatan di Medina selama
satu hari ini cukup memberi impak kepada saya dan juga rakan-rakan yang
mengikuti rombongan ini.
Rasailah
bagaimana suasana di sana dan dari situ anda boleh menilainya sendiri. Bukan
sahaja dapat menimba pengalaman yang baru, malah dapat mencedok sedikit ilmu
mengenai sejarah-sejarah yang terdapat di Maroko ini. Kota lama Medina ini juga
wajib dilawati oleh sesiapa yang bertandang di Maroko. Pakej lawatan ini
menawarkan harga yang berpatutan dan tempat-tempat sejarah yang menarik amat
berbaloi untuk semua. Kepada yang berminat dan ingin tahu lebih lanjut, sila
layari laman sesawang rasmi POTO Travel & Tours di www.pototravel.com.my
atau hubungi kami di talian 03-92006640.
No comments:
Post a Comment