Countdown

31 December 2013

Ooh La La Paris! (Bahagian Akhir)

[SAMBUNGAN DARIPADA BAHAGIAN 2]

Menara Eiffel pada waktu malam
Syurga roti dan manisan

Bagaikan isi dengan kuku, begitulah warga Perancis dan roti-roti mereka.  Rugilah bagi mereka yang berdiet ketika berada di kota Paris. Rambang mata dibuatnya ketika melihat roti-roti dan pastri-pastri mereka. Semuanya comel-comel dan sedap-sedap belaka. Selera saya memang rebah dek digoda kelazatan roti-roti orang Perancis.

Hasrat hati saya untuk mencuba beberapa pastri buatan orang Perancis tercapai juga akhirnya. Roti croissant di kota Paris begitu berbeza dengan yang dijual di Malaysia. Saiznya lebih kecil dan teksturnya lebih rangup. Memang sangat sedap! Sekali duduk, memang habis tiga atau empat biji. Di Perancis, mereka gemar menikmati roti croissant dengan sapuan Nutella dan mentega untuk sarapan pagi. 

Roti croissant yang sangat enak
Selain croissant, macarons juga tidak kurang sedapnya. Di kota Paris, rata-rata restoran dan gerai makanan ada menjual macarons. Malah, di McDonald’s juga ada menjual macarons. Sememangnya ia merupakan makanan ruji rakyat Perancis. Kalau orang Malaysia suka makan durian, orang Perancis nampaknya sukakan macarons. Macarons boleh dibeli dalam pelbagai jenis perisa dan saiz. Saya sempat membeli sekotak macarons di buah gerai dengan harga sepuluh Euro untuk tujuh biji. Sangat berbaloi pada fikiran saya. Lazat tak terperi!

Antara jenis-jenis macarons yang dijual di Paris
Pastri-pastri lazat yang mudah dijumpai di Paris
Walaupun kaya dengan pelbagai jenis roti, pastri dan manisan yang membuatkan kecur air liur, warga Paris masih begitu mementingkan kesihatan. Hanya 9% daripada jumlah populasi di Perancis yang menghidapi penyakit diabetes.

Oleh kerana ramai di kalangan mereka yang mementingkan penampilan yang menarik, secara tidak langsung mereka juga begitu menjaga pemakanan dan tahap kecergasan diri masing-masing. Sejujurnya memang amat sukar untuk saya menemui orang Perancis yang obes ketika saya berada di Paris. Tapi itu hanya hasil pemerhatian saya sahaja. Namun, saya tetap begitu kagum! Di dalam fikiran saya, mungkin saya perlu berpindah ke Paris bagi mencapai berat badan ideal saya.

Ketagih kopi

Dek cuaca yang begitu sejuk ketika berada di Paris, sekitar 4 darjah celcius, saya sentiasa memerlukan kopi untuk memanaskan badan saya. Tambahan pula, memegang cawan kopi yang panas membuatkan saya berasa selesa di dalam kedinginan udara. Tidak perlu memakai sarung tangan untuk mengelakkan kesejukan.

Kota Paris memang tidak kekurangan dengan café-café yang menjual kopi dan minuman panas lain. Di setiap ceruk dan penjuru, pasti akan terjumpa café menjual kopi. Saya berasa seperti berada di dalam syurga kopi.

Salah satu cafe yang terdapat di kota Paris
Setiap hari ketika di kota Paris, saya sentiasa sibuk ke hulu dan ke hilir untuk melawat tempat-tempat yang menarik dan mengambil foto-foto. Jadual saya memang begitu padat. Kadang-kala memang saya tidak sempat untuk meluangkan masa untuk makan tengahari. Akibatnya, kopi dan roti croissant menjadi teman baik saya sepanjang hari.

Saya amat gemarkan kopi di kota Paris. Rasanya lebih pekat dan fresh! Aroma kopinya yang wangi amat menusuk deria bau saya. Sebagai self-tought coffee expert, saya berupaya memberitahu samada kopi yang saya minum adalah kopi yang berkualiti atau tidak. Di kota Paris, amat sukar untuk mendapatkan kopi yang tidak berkualiti. Semua café bagaikan bertanding siapakah yang mempunyai kopi yang paling sedap. Paling untung adalah para pelanggan yang mempunyai banyak pilihan. Tepuk dada tanyalah selera. 

Kopi yang enak di Paris
Al-kisah wanita bertudung

Tidak berapa lama dahulu, dunia digemparkan dengan kontroversi berita pihak kerajaan Perancis yang berhajat untuk melarang wanita di negara itu memakai tudung di universiti-universiti dan pejabat-pejabat kerajaan. Usul itu mendapat tentangan dan juga persetujuan daripada pelbagai pihak dan puak.

Ketika berada di kota Paris, saya terkejut melihat betapa ramainya kaum hawa di sana yang mengenakan hijab di tempat awam. Saya terkejut kerana dua sebab. Sebab pertama ialah saya tidak menyangka terdapat ramai umat Islam di negara Perancis. Sebab kedua adalah saya terkejut dengan keberanian kaum hawa di sana mempertahankan pegangan agama mereka walaupun mendapat tentangan oleh pemimpin mereka sendiri. Nampaknya, agama Islam sememangnya sedang brkembang di benua Eropah.

Wanita muslim di Paris
Satu pagi ketika saya sedang bersarapan di hotel tempat saya menginap, seorang lelaki pelayan meja datang menegur saya dan bertanya dari negara mana saya berasal. Saya menjawab soalannya dan dia bertanya lagi samada saya seorang muslim. Sejurus saya menjawab ya, dia memberitahu saya bahawa dia juga seorang muslim namun beliau masih merahsiakan perkara tersebut kerana takut dipulaukan keluarga dan rakan-rakan.

Dia berkata lagi, masih ramai orang di Perancis yang masih belum betul-betul memahami konsep ajaran Islam yang sebenarnya. Malah, masih terlalu ramai yang bertanggapan serong tentang ajaran Islam. Dia berkata dia bercadang untuk memberitahu ahli keluarganya tidak lama lagi dan berdoa agar mereka akan menerima keputusan jalan hidupnya itu.

Berdasarkan selidikan saya di internet, terdapat lebih daripada 7 juta umat Islam di negara Perancis. Angka ini dijangka bakal mencecah 12 juta orang menjelang tahun 2020.

Paris pasti dirindui

Kenangan di kota Paris memang begitu manis buat saya. Banyak yang telah saya pelajari sepanjang berada kota cinta ini.

Bagi saya, kota Paris begitu sesuai untuk dikunjungi oleh mereka yang cintakan sejarah, seni dan makanan yang enak. Kota ini juga sangat sesuai sebagai destinasi bulan madu bagi pasangan yang baru sahaja mendirikan rumah tangga.

Walaupun saya tidak sempat untuk melawati kesemua tempat-tempat bersejarah yang terdapat di sana, namun saya berasa puas kerana saya berjaya untuk menyelami beberapa aspek menarik tentang negara tersebut.

In Sha Allah, saya akan pastikan saya berpeluang untuk berkunjung ke kota Paris lagi pada masa yang akan datang.

Paris, I will see you again!


Ooh La La Paris! (Bahagian 2)

[Sambungan daripada Bahagian 1]

Muzium The Louvre

Misteri si cantik Mona Lisa

Ketika melancong, saya sering cuba meluangkan lebih banyak masa untuk meninjau tempat-tempat bersejarah dan artistik di destinasi tersebut. Saya kurang gemar menghabiskan masa di butik-butik dan tempat membeli-belah. Cukuplah sekadar sempat membeli sedikit ole-ole tanda kenangan untuk keluarga dan rakan-rakan di tanahair. Kalau bershopping pun, saya gemar membeli wangi-wangian.

Paris, seperti yang diketahui dunia, merupakan kota yang sarat dengan bangunan-bangunan bersejarah yang indah serta artifak-artifak seni yang dihasilkan oleh seniman-seniman terkemuka dunia.

The Louvre sentiasa sibuk dengan kunjungan para pelawat
Sekiranya ke Paris, salah satu bangunan bersejarah yang wajib dilawati oleh pelancong adalah Musee du Louvre atau lebih dikenali sebagai The Louvre. Terletak di tengah-tengah kepesatan kota Paris, muzium ini pada asalnya dibina pada kurun ke-12 dibawah pemerintahan Raja Phillip ke-2 sebagai sebuah kota kubu pertahanan.

Selepas itu, ianya menjadi sebuah galeri istana tempat raja-raja Perancis menyimpan koleksi-koleksi peribadi mereka. Pada pertengahan kurun ke-18, The Louvre secara rasminya menjadi sebuah muzium. Kini, The Louvre merupakan ‘rumah’ kepada lebih 35,000 khazanah seni termasuklah lukisan, arca, manuskrip dan sebagainya.

Di kalangan hasil-hasil karya seni yang dipamerkan di sini, seramai lebih 8 juta orang pelawat masuk ke muzium ini saban tahun untuk menatap dari jarak dekat satu karya seni agung yang dihasilkan oleh seniman terkenal, Leonardo Da Vinci. Karya seni yang dimaksudkan ialah lukisan Mona Lisa.

Lukisan Mona Lisa yang dipamerkan di dalam The Louvre
Vincenzo Peruggia
Biarpun ramai orang mengenali tentang lukisan potret ini, namun tidak ramai yang tahu bahawa lukisan Mona Lisa telah berjaya dilarikan daripada muzium The Louvre dan hilang tanpa khabar berita selama dua tahun.  Berita kehilangan lukisan berharga ini lama-kelamaan ditenggelamkan oleh berita yang lebih besar seperti permulaan Perang Dunia Ke-2.

Pada tahun 1913, seorang lelaki daripada Itali yang bernama Vincenzo Peruggia tampil selepas dua tahun kehilangan lukisan tersebut lantas mengaku bahawa dialah pencuri sebenar lukisan tersebut. Peruggia merupakan bekas tukang cat yang pernah digajikan oleh pihak The Louvre.

Setelah disiasat, pihak polis mendapati motif sebenar Peruggia mencuri lukisan Mona Lisa tersebut adalah atas dasar patriotisma. Beliau berasa marah dek lukisan hasil seniman warga Itali itu dipamerkan di bumi Perancis dan bukannya Itali. Peruggia tidak pernah mempunyai sebarang niat untuk menjual lukisan tersebut dan mengaut keuntungan yang diperolehi.

The Louvre mengandungi lebih 35,000 hasil karya seni oleh seniman-seniman terkenal dalam sejarah
Antara arca yang dipamerkan di dalam The Louvre
Salah satu bahagian bangunan muzium The Louvre
Ragam warna-warni warga Paris

Salah satu tabiat saya ketika melancong adalah memerhati dan menganalisa tabiat dan tingkah-laku orang-orang tempatan. Seronok juga sebenarnya memerhati perangai umat manusia ini. Kadang-kala saya tertawa sendirian. Memang saya sangat menyukai aktiviti people-watching.

Ragam warga Paris juga sangat menarik untuk saya perhatikan. Pertamanya, warga Perancis memang sentiasa kelihatan sangat cantik dan kacak. Rata-ratanya memang stylo dan sangat fashionable. Walaupun hanya keluar bersama keluarga atau teman-teman pada hujung minggu, mereka tidak melepaskan peluang yang ada untuk bergaya. Walaupun gaya mereka tampak ringkas, namun fesyen yang digayakan memang yang terkini. Tidak hairanlah kenapa kota Paris juga dikenali sebagai Fashion Capital of the World.

Kota Paris yang sentiasa sibuk
Rata-rata warga Perancis tidak fasih berbahasa Inggeris. Bahkan, ramai di antara mereka yang tidak suka berkomunikasi di dalam bahasa Inggeris. Perkara ini berpunca daripada perang saudara yang berlaku di antara Perancis dan pihak Inggeris beberapa abad yang lalu. Sehingga ke hari ini, perasaan dendam yang berbaki di hati sebahagian kecil orang Perancis membuatkan mereka enggan untuk mempelajari bahasa Inggeris.

Oleh itu, proses komunikasi saya ketika berada di kota Paris tidaklah semudah yang saya jangkakan. Urusan-urusan kecil seperti membeli tiket LRT terpaksa mengambil masa yang lama kerana pegawai yang menjaga kaunter tidak mahu melayan saya sejurus saya memulakan pertuturan di dalam bahasa Inggeris. Beberapa kali juga saya dilemparkan dengan kata-kata “No English, Speak French” dengan nada yang kasar oleh pegawai yang bekerja di stesen-stesen LRT.

Di sebuah taman berdekatan dengan The Louvre
Berbeza pula ketika saya berada di pusat-pusat membeli-belah dan restoran-restoran, kualiti layanan yang diberikan oleh warga tempatan amat berbeza sekali. Mereka melayan saya dengan penuh senyuman. Ini mungkin kerana golongan ini sedar bahawa mereka perlu memberikan servis yang baik bagi menjamin perniagaan yang maju.

Mereka yang bekerja di dalam bidang perniagaan juga biasanya bisa bertutur di dalam bahasa Inggeris yang ringkas. Kadang-kala, ianya masih sukar untuk saya fahami dek pelat Perancis mereka yang terlalu pekat. Namun, ianya masih jauh lebih baik daripada mendapat layanan yang buruk seperti ketika saya berada di stesen LRT.

Saranan saya kepada mereka yang berhajat untuk ke kota Paris ialah belajarlah beberapa frasa harian penting di dalam bahasa Perancis. Ianya bukan sahaja bakal memudahkan urusan-urusan ketika berada di negara tersebut, malahan anda bakal menerima layanan yang lebih baik sekiranya anda mencuba bertutur di dalam bahasa tempatan.

Opera House di kota Paris
Sebuah taman di Paris yang bernama Tuileries Garden
Keadaan senja di kota Paris

[BERSAMBUNG]

30 December 2013

Ooh La La Paris! (Bahagian 1)

Eiffel Tower
Tahun 2013 sememangnya tahun yang begitu sibuk bagi saya. Beberapa buah negara telah saya kunjungi atas nama urusan kerja. Bermula dengan Jepun dan Korea Selatan pada awal tahun, kemudian Thailand dan Singapura, seterusnya ke Hong Kong dan Shenzhen. Sebagai penutup tirai tahun ini, saya sungguh bertuah kerana diberi peluang untuk melawati dua destinasi pelancongan terulung di dunia; Paris dan London.

Bulan Disember merupakan bulan yang paling sesuai untuk melawat dua kota ini kerana beberapa faktor. Faktor pertama ialah cuaca. Paling bulan Disember, suhu di sana adalah dingin. Sesuatu perubahan yang ketara daripada suhu di tanahair yang begitu panas dan lembap. Kadang-kala, change is good!

Faktor kedua ialah musim perayaan. Kerana penganut agama Kristian merayakan hari Krismas pada bulan Disember, jadi terdapat banyak tawaran hebat membeli-belah pada waktu ini di Paris dan London. Kepada kaki shopping, waktu ini boleh dimanfaatkan untuk berbelanja besar. Faktor musim perayaan juga membuatkan tempat-tempat tarikan pelancongan di sana menjadi kurang sibuk.

Kota Paris
Menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) terus tanpa henti dari Kuala Lumpur ke Paris membuatkan perjalanan saya berasa begitu selesa. Tidaklah saya perlu berhenti transit di mana-mana, lantas memanjangkan lagi jumlah masa perjalanan saya sebelum sampai ke destinasi yang dituju.

Penerbangan saya berlepas dari KLIA tepat pada pukul 12.00 tengah malam dan mengambil masa kira-kira 13 jam. Walaupun jauh perjalanannya, namun saya tidak berasa begitu penat kerana keadaan kabin pesawat yang disediakan adalah cukup selesa sekali. Layanan yang diberikan oleh krew pesawat adalah cukup baik. Memang kenalah dengan slogan ‘Malaysian Hospitality’ seperti yang mereka war-warkan di media.

Kabin MAS yang selesa
Disamping itu, bahan bacaan dan hiburan yang disediakan membuatkan saya tidak berasa bosan ketika “berlayar” di udara. Makanan yang dihidangkan juga begitu enak dengan porsi yang agak banyak. Pendek kata, kualiti servis di dalam penerbangan MAS sememangnya tip-top dan bertaraf dunia!

Masa yang terluang di atas udara juga saya manfaatkan dengan mentelaah informasi penting yang telah saya kumpulkan untuk lawatan saya pada kali ini. Risau juga hati sekiranya tersesat atau menghadapi masalah berkomunikasi di sana nanti. Jadi, bak kata pepatah, “Sediakan payung sebelum hujan”.

Impresi pertama

Kota Paris, Kota Cinta
Sebagai seorang kaki melancong tegar, saya bersyukur kerana banyak negara telah pun saya lawati. Setiap setahun, saya akan pastikan saya keluar melancong sebanyak dua kali. Kalau bajet di dalam poket saya tebal, jauhlah kaki saya melangkah. Kalau bajetnya kecil, dekat-dekat sahaja pun tidak mengapa. Janji, saya dapat jalan-jalan bersama kamera DLSR kesayangan saya sambil melihat kebesaran Allah yang Maha Kuasa.  

Namun begitu, rezeki untuk bertandang ke kota Paris seringkali tertunda sejak beberapa tahun yang lalu sehinggalah pada bulan Disember 2013. Akhirnya, kota Paris bakal saya takluki! Hati ini sangat teruja bukan kepalang. Sesampai sahaja saya di Charles de Gaulle Airport di Paris, saya terus menarik nafas panjang. Udara Paris yang nyaman saya hirup sedalam-dalamnya. “Aku sudah sampai di Paris!”, jerit hati saya.

Arc de Triomphe
Setelah seharian suntuk saya pusing-pusing di kota Paris dengan menaiki bas persiaran pada hari pertama di sana, impresi pertama saya tentangnya adalah seperti yang saya gambarkan. Segala klise tentang kota Paris yang saya kutip melalui hasil penbacaan dan selidikan saya ternyata benar belaka.

Sekiranya saya hanya dapat menerangkan tentang Paris dengan hanya 5 perkataan, saya akan memilih Romantik, Cantik, Fashionable, Artistik dan Historical sebagai pilihan saya.

Paris telah membuatkan saya jatuh cinta!

Kota cinta paling popular

Sungai Seine, Paris
Kota Paris yang hanya sebesar 105.4 km persegi (kira-kira separuh daripada keluasan bandaraya Kuala Lumpur) mempunyai reputasi sebagai ‘Kota Cinta’ sejak berabad lamanya.

Menurut sejarah, reputasi ini terbina kerana Paris merupakan bandar pertama di benua Eropah yang dilengkapi dengan kemudahan lampu gas untuk menerangi bandar tersebut pada waktu malam. Lama kelamaan, penduduk di benua Eropah menggelarkan Paris sebagai La Ville-Lumière yang bermaksud ‘Kota Bercahaya’.

Oleh kerana kota Paris kelihatan begitu indah pada waktu malam kerana bangunan-bangunan di sini diterangi dengan lampu gas, ianya menjadi tempat pilihan bagi pasangan-pasangan yang sedang bercinta untuk bersiar-siar sambil menikmati keindahan pemandangan pada waktu malam di situ. Lama-kelamaan, semakin ramai pelancong datang melawat Paris, terumatanya untuk tujuan berbulan madu. Begitulah bermulanya persepsi orang ramai tentang kota Paris sebagai ‘Kota Cinta’.

Pont des Arts
Arc de Triomphe pada waktu malam
Saya sendiri amat bersetuju dengan reputasi Paris sebagai salah satu destinasi paling romantis di dunia. 100% benar! Aura cinta di sini sememangnya begitu kuat dan sukar untuk diabaikan.

Kemana sahaja saya menolehkan kepala, pasti akan terlihat pasangan-pasangan yang berpimpin tangan dan tersenyum lebar. Tidak kira usia dan bangsa, satu bandar seolah-olah terkena virus cinta! Sejuk hati saya melihatkan panorama ini. Sesuatu yang sukar dijumpai di tanahair.

Bagi saya, aktiviti paling romantis yang saya amat recommend kepada pasangan-pasangan yang bercadang untuk berbulan madu di kota Paris adalah menaiki feri persiaran yang menusuri Sungai Seine. Aduhai, memang tersangat romantis!

Pasangan warga emas romantis di atas feri persiaran
Menikmati keindahan Paris dari atas feri persiaran
Perjalanan yang mengambil masa kira-kira satu jam ini akan membawa anda menusuri Sungai Seine dan menikmati keindahan kota Paris dari sudut yang begitu menarik. Anda bakal melewati beberapa tarikan pelancongan utama kota Paris seperti Musee d’Orsay, Notre Dame de Paris, Grand Palais, Pont des Arts dan yang terpenting, Eiffel Tower yang tersergam indah mencapai langit.

Selain menaiki feri, bersiar-siar di The Avenue des Champs-Élysées bersama-sama dengan pasangan anda tidak kurang romantisnya. Pada waktu malam, jalan ini disimbahi dengan cahaya lampu-lampu neon yang berwarna-warni. Jalan ini dipenuhi dengan butik-butik jenama tersohor dunia seperti Louis Vuitton, Rolex, Mont Blanc, Chanel dan sebagainya.

Setelah penat berjalan, anda boleh singgah di café Laduree di sini untuk menikmati manisan Perancis yang paling popular di dunia iaitu macarons. Laduree merupakan jenama manisan dan teh paling eksklusif di Perancis dan kini semakin berkembang ke serata dunia.

The Avenue des Champs-Élysées pada waktu malam
Cafe Laduree di Champs-Élysées
Macaron berwarna-warni di Laduree

[BERSAMBUNG]

27 December 2013

[GAMBAR] From London with Love! - Disember 2013


[GAMBAR] Oh La La Paris! - Disember 2013


[PERADUAN] MARI SERTAI PERADUAN "SAYA BERJAYA!"

KLIK UNTUK BESARKAN

26 December 2013

Paris of the East, Budapest! (Part 2)

Bersambung dari part 1...

Perjalanan diteruskan ke tempat yang digemari untuk menikmati pemandangan sambil mencuci mata, iaitu Gellert Hill. Mempunyai ketinggian sebanyak 235 meter atau 771 kaki yang menghadap ke Sungai Danube, Gellert Hill ini diberi nama sempena kematian Saint Gerard yang telah dicampak dari bukit ini sehingga maut, iaitu seorang paderi yang menyebarkan agama kristian ke Hungary pada tahun 1406 akibat pergolakan dan pemberontakan puak Magyar

Di puncak Gellert Hill ini terbinanya benteng oleh Habsburg Austria antara tahun 1850 sehingga 1854, bertujuan untuk melindungi dan mengawal bandar ini selepas berlakunya perang kebebasan Hungary yang dipanggil Hungarian War of Independence. Benteng yang terletak di atas bukit ini berukuran kira-kira 200 meter panjang dengan dinding dalam linkungan 6 meter tinggi serta 3 meter tebalnya. Hak milik kubu petahanan ini dikembalikan kepada bandar apabila Hasburg meninggalkan Budapest akibat berlaku kompromi  antara Austria dan Hungary pada tahun 1867.

Mereka telah merobohkan sebahagian daripada dinding ini sebagai simbol kemenangan terhadap Austria. Walau bagaimanapun, benteng ini digunakan lagi untuk menempatkan tentera-tentera Hungary. Terlalu banyak kisah-kisah yang disimpan mengenai Gellert Hill membuatkan saya begitu khusyuk mendengar penjelasan tourist guide yang membawa ke sini. Memang betul kata orang, kawasan Buda ini memang mengukir dan menyimpan pelbagai sejarah di samping seni bina bangunannya yang lebih antik berbanding dengan Pest yang lebih kepada moden.


Pemandangan boleh dilihat dari Gellert Hill




Saint Gerard yang dicampak sehingga mati dari puncak bukit Gellert Hill


Terdapat satu tempat yang dikatakan menjadi salah satu tarikan untuk dikujungi di Budapest. Ramai pengunjung datang melawat ke sini dengan menaiki pengangkutan awam metro yang menurunkan penumpang ke Heroes Square sejak ia dibuka pada tahun 1896, sehingga ia diwartakan dalam Tapak Warisan Dunia. Dataran Heroes dibina pada akhir abad ke-19 sempena ulang tahun ke-1000 bagi memperingati penaklukan puak Magyar di Hungary pada tahun 895 bersama Varosliget, sebuah taman bandar yang terletak bersebelahannya. 

Perayaan diadakan lewat setahun memandangkan ianya belum siap sepenuhnya dalam masa yang ditetapkan. Dataran Heroes hanya menerima namanya pada tahun 1932, selepas tiga tahun Millennium Monument telah siap dibina. Dataran ini dijadikan sebagai tempat untuk melangsungkan acara-acara khas termasuklah perayaan atau sambutan percutian Sosialis semasa era Komunis Negara.  Pada tahun 1989, ia juga dijadikan sebagai tempat istiadat acara pengebumian Imre Nagy, iaitu seorang pemimpin yang menentang penjajahan dan penaklukan Soviet pada tahun 1956.

Berbalik kepada Millenium Monument, ia merupakan tugu yang direka oleh Albert Schickedanz pada tahun 1894 yang terletak di tengah-tengah Heroes Square dan telah siap sepenuhnya pada 35 tahun kemudian. Patung-patung yang terdapat di situ pula direka oleh Gyorgy Zala. Ia terletak di atas Heroes Square yang menjadi tumpuan utama Millennium Monument di mana dihiasi dengan  patung malaikat di atas tiang tugu itu.

Terdapat deretan patung-patung lelaki di mana mereka telah mengukir nama pada sejarah Hungary yang berbentuk separa bulatan di belakang tiang tugu di mana setiap patung yang terdapat di atas bulatan itu melambangkan peperangan, keamanan, kerja dan kebajikan serta pengetahuan dan kemuliaan. Di sekeliling tugu yang mana menempatkan patung malaikat itu tadi terdapat beberapa patung bagi menghormati tujuh ketua dari puak suku Hungary yang diketuai oleh Arpad, menakluki kawasan yang kini  dikenali sebagai Hungary.

Heroes Square dan juga Millenium Monument


Patung malaikat yang terletak di atas tugu Millennium Monument

Patung-patung yang terdapat yang direka oleh Gyorgy Zala di Millennium Monument

Millennium Monument berbentuk separa bulatan



Lawatan terakhir di Budapest ialah Parliament Building yang dibina pada tahun 1885 dan menjadi bangunan parlimen yang terbesar di dunia selepas ia telah siap 17 tahun kemudian pada tahun 1902. Mempunyai keluasan 268 meter panjang dan 118 meter lebar, bangunan ini terdiri daripada 10 halaman tengah serta mengandungi tangga yang melebihi 20 km panjangnya dan dilengkapi dengan 691 bilik! Ia dihiasi dengan 27 menara serta kubah yang menakjubkan, jika dilihat dari jarak jauh ia seperti mencapai ketinggian sebanyak 96 meter. 

Apabila cuba memasuki ke dalamnya, saya terpana seketika. Subhanallah, cantiknya! Dikatakan bahagian dalaman ini direka oleh artis yang terbaik dari Hungary dengan digayakan gabungan Neo-Gothic dan Renaissance di bawah pengaruh Byzatine, terutamanya pada tangga dewan yang direka dengan begitu cantik dan teliti serta tiang granit Corinthian, hiasan emas dan juga lukisan yang terdapat di siling oleh artis terkenal, Karoly Lotz

Terdapat beberapa bahagian daripada bangunan ini dijadikan sebagai dewan negara dan juga dewan persidangan apabila Hungary menerima perlembagaan baru yang berdasarkan dan berasaskan kepada perundangan sekitar pada tahun 1989.

Sangat cantik permandangan di Parliament Building atau Parliament House


Pemandangan pada waktu malam

Pemandangan di atas siling

Antara bahagian dalam yang terdapat di Parliament Building

Bilik Mesyuarat

Mungkin orang tidak berapa mengenali Budapest ini, tetapi pada pandangan saya, ia perlu disenaraikan sebagai salah satu destinasi yang mesti kita kunjungi. POTO Travel & Tours ada menawarkan pakej ke Eropah Timur selama 13 hari 10 malam  yang menawarkan pelbagai tempat yang menarik, bukan sahaja ke Budapest tetapi juga dapat melawat di sekitar Kavlory Vary, Prague, Bratislava dan banyak lagi! Harga RM 7299 untuk dewasa dan harga diskaun diberikan kepada warga emas dan kanak-kanak. Sila layari laman sesawang rasmi POTO Travel & Tours di www.pototravel.com.my atau hubungi kami di talian 03-9200 6640 untuk sebarang maklumat lanjut.