Countdown

29 April 2014

Mengembara ke South Island, New Zealand! (Bahagian Pertama)

Alhamdulillah, dengan planning beserta kajian yang saya buat dalam masa tiga bulan untuk pemilihan ke destinasi luar negara, akhirnya saya telah memutuskan percutian untuk kali ini ke South Island, New Zealand! Berpenat lelah dengan pelbagai research yang dilakukan untuk mengetahui destinasi mana yang menarik di bumi Kiwi ini, agar perjalanan ke sana nanti akan menjadi lebih bermakna. Iyalah, walaupun saya pergi bersama agensi pelancongan, namun perlu juga kita sebagai pelanggan untuk mengambil inisiatif sendiri untuk mengetahui tempat-tempat yang menarik untuk dilawati.
Perjalanan bermula sekitar beberapa bulan yang lalu, meninggalkan negara tercinta sementara waktu untuk menjelajah ke bumi New Zealand.  Menurut pembacaan saya, New Zealand adalah sebuah negara kedua terbesar di dunia. Terbahagi kepada dua, iaitu Pulau Utara dan Pulau Selatan. Dikatakan masyarakat Maori menamakan New Zealand sebagai Aotearoa yang membawa maksud ‘Tanah berawan putih yang panjang’. Kepulauan Niue dan Cook, yang berkerajaan sendiri tetapi merupakan negara bersekutu ini juga disenaraikan dibawah kerajaan New Zealand.
Perjalanan dari Christchurch hingga ke Queenstown membuahkan kenangan yang sangat manis. Christchurch merupakan sebuah bandar yang terletak di pesisir timur Pulau Selatan di New Zealand dan merupakan bandar terbesar di pulau itu. Ia juga merupakan kawsan urban kedua terbesar di New Zealand selepas Auckland.
Bandar Christchurch diambil namanya dari kolese katedral Christ Church di Universiti Oxford di mana ianya ialah Otautahi dalam Bahasa Maori. Namanya telah diberikan oleh Pertubuhan Canterbury, John Robert Godley dan mendapat persetujuan pada 27 Mac 1848 ketika mesyuarat pertama ditubuhkan.
Untuk pengetahuan, bandaraya Christchurch sangat terkenal sebagau sebuah bandar yang membekalkan air minuman yang bersih serta berkualiti, tulen dan jernih. Ia merupakan pembekal air yang terbaik di dunia kerana air yang dibekalkan itu disalurkan dengan menggunakan saluran paip awam yang sesuai untuk kegunaan domestik dan tujuan minuman. Airnya ditapis secara semulajadi dan tidak perlu dirawat terlebih dahulu dengan menggunakan system bekalan air. Sumber air yang diperolehi ini datangnya dari air sungai di kaki bukit Pergunungan Alps selatan.
Bandar Christchurch

Christchurch City Mall
Tiba di Christchurch, saya bersama yang lain disajikan dengan pemandangan indah Canterburry Plains, iaitu pertanian perdagangan. Ia adalah kawasan jalinan sungai dan pastoral yang terletak di antara Selatan Alps dan Lautan Pasifik. Apa itu pastoral? Saya mencarinya di dalam dewan Bahasa dan pustaka. Maknanya ialah ladang ternakan secara tradisi yang berasal dari Eropah yang berasaskan pastura. Sistem perladangan ini menunjukkan keadaan dan kaedah penternakan tradisi seperti dalam kampung yang tidak menggunakan banyak jentera. Sistem ini juga mempunyai kaitan dengan sistem perladangan integrasi kerana penternakan haiwan dengan tanaman wujud di dalam satu ladang. Sistem sebegini masih diamalkan dengan meluas di Eropah Timur dan di Afrika. Aktiviti utama di sini setelah tiba ialah posing dan menangkap gambar! Terasa damai bila duduk sambil menikmati suasana dan keindahan di kawasan ini. Wah, macam tak nak berganjak dah! Walhal, ini baru lawatan pertama, masih ada banyak lagi lawatan-lawatan yang bersusun untuk dikunjungi.





Masa untuk berada di sini sudahpun berakhir, maka kami perlu ke tempat seterusnya, iaitu Tasik Pukaki, tasik yang paling besar di antara ketiga-tiga tasik yang terdapat di Southern Island iaitu Lake Tekapo dan Ohau. Dikatakan terjadinya tasik ini juga sama seperti Tasik Tekapo, iaitu daripada pengaliran glasier yang mencair dan batu-batu halus. Tasik ini meliputi kawasan seluas 178km persegi dengan ketinggian 518-532 meter di atas paras laut. Ia berhampiran dengan Aoraki/Mount Cook. Semasa tiba di destinasi, saya teruja! Begitu jernihnya air tasik ini, kebiru-biruan! Sudah tentu airnya tidak dicemari dengan bendasing-bendasing kotor. Kemudian, kami dibawa pula ke Tasik Tekapo. Ketika kaki saya menjejaki Tasik Tekapo, saya terpaku. Subhanallah, begitu indah ciptaan yang Maha Esa. Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata begitu cantiknya pemandangan di sini. Saya difahamkan bahawa Tasik Tekapo ini merupakan tasik kedua besar daripada tiga tasik utama yang terletak di Selatan New Zealand. Kawasan ini mempunyai keluasan kira-kira 83km persegi dengan ketinggian sehingga 700 meter di aras paras laut. Tekapo adalah berasal dari perkataan Maori, iaitu Taka (sleeping mat) dan Po (night).

Perjalanan menghala ke Tasik Pukaki




Tasik Tekapo yang indah dari jauh!



Kawasan tasik ini dihiasi dengan sejenis bunga Lupins yang tumbuh di sini, iaitu tumbuhan eksotik yang boleh membesar sehingga 1.5 meter! Lupines Russell menghasilkan bunga berwarna-warni . Bunga yang seperti kacang dan datang dalam pelbagai warna seperti biru, ungu, oren, kuning, merah jambu, putih atau campuran dua warna. Ya, tasik ini memang terkenal dengan warna biru turqois yang unik, hasil dari pancaran matarhari di bawah batu tanah yang halus dan glasier yang mencair. Cantik seperti di dalam lukisan!

Tasik ini juga sangat popular dan menjadi kegemaran destinasi pelancongan di mana terdapat beberapa hotel resort yang terletak di sepanjang persisiran tasik ini. Rasa bertuah memandangkan ketika itu cahaya matahari memancar dan memang berpeluang melihat keindahan biru turqois. Jika tiba ketika cuaca mendung, maka tasik itu akan kelihatan berwarna keruh. Kami mengambil masa yang agak lama singgah di sini, rasa sayang pula hendak meninggalkannya. Oleh kerana terdapat beberapa tempat lagi yang perlu disinggah, maka dengan berat hati kami meneruskan perjalanan Mount Cook. Sebelum memulakan pengembaraan di sana kami berhenti sebentar di sekitar Church of the Good Shepherd. Gereja tua ini telah dibangunkan pada tahun 1935 dan merupakan destinasi utama yang wajib disinggahi di Tasik Tekapo. Bangunan yang cantik ini cukup fotogenik apabila diambil gambarnya dari pelbagai jenis sudut. Patutlah gereja ini mendapat jolokan sebagai gereja yang paling popular dan digemari di seluruh New Zealand. Oh ya, jika teringin melihat kerdipan bintang, bolehlah ke sini ketika waktu malam, itupun kalau berani. Gelak saya di dalam hati.

Tasik Tekapo juga. Nampak tak Church of the Good Shepherd yang jauh nun di sana? 



Setelah selesai, kami ke Mount Cook yang merupakan sebuah gunung yang tertinggi di New Zealand. Mempunyai ketinggian kira-kira 3.724 meter, ia merupakan destinasi yang popular bagi pendaki tegar! Perjalanan ke Mt Cook dari Tasik Tekapo ini memakan masa lebih kurang 1 jam lebih. Pada awal rancangan ialah membuat aktiviti walking yang berdekatan Mt.Cook Valley itu. Kawasan lain yang menarik untuk dilawati ialah Mount Cook Village, Edmund Hillary Alpine Centre, Tasman Valley dan Tasman Glacier lake. Oleh kerana matahari mula semakin condong, maka kami hanya melakukan aktiviti biasa mengambil gambar setiap destinasi yang berdekatan di situ. Perjalanan mesti diteruskan, iaitu ke Queenstown pula!



Edmund Hillary Alpine Centre


Tasman Glacier lake

Bersambung...

24 April 2014

Tip melancong: Jangan Takut Melancong Solo


Semua orang suka melancong, tetapi berapa ramaikah yang suka melancong solo atau bersendirian? Berjalan berseorangan di kota yang sibuk memberikan pelbagai perasaan berlainan.  Bersiar-siar tanpa berteman di tepi pantai sambil melihat keindahan alam sangat mengasyikkan. Hilang sejenak segala pemasalahan yang melanda.

Namun, mengapakah masih di antara kita terutamanya golongan wanita ini begitu takut untuk melancong bersendirian? Tahukah anda, melancong secara solo ini dapat memeberikan lebih banyak pengalaman yang berbeza yang penuh dengan cabaran serta keseronokan yang tidak terhingga!

Selain itu, ia juga dapat memberikan banyak manfaat lagi-lagi kepada mereka yang ingin meluangkan masa untuk diri sendiri dan mendapatkan istirehat yang cukup.

Di sini, terdapat beberapa alasan dan sebab mengapakah anda perlu mencuba untuk mengembara atau melancong secara bersendirian. Jom kita lihat di bawah!

Bertemu dengan orang baru
 
Jika melancong secara berteman atau dengan pasangan, anda tidak cenderung untuk mendapatkan teman baru kerana anda hanya akan tertumpu bersama kelompok anda sendiri setiap masa. Jika anda bercuti seorang diri, anda akan lebih banyak masa untuk berinteraksi dan melakukan aktiviti-aktiviti bersama orang baru. Insha-Allah, keakraban akan terjalin dan mungkin persahabatan ini akan terus kekal sehingga pulang ke tanah air. Sebab itulah melancong secara solo amat berbeza jika dibandingkan dengan percutian bersama teman dan pasangan. Masa inilah peluang untuk mendapatkan rakan baru! Bukankah itu bagus untuk anda juga?

Rasa bebas
 
Ketika bercuti, anda berpeluang bertukar pendapat dan fikiran mengenai destinasi-destinasi yang menarik untuk dilawati. Anda juga bebas melakukan apa-apa perancangan yang terlintas di minda, tidak perlu terikat dengan pemasalahan dalam kumpulan. Ini adalah baik untuk memperluaskan lagi rancangan percutian anda dengan melawati ke tempat yang menarik!

Mengurangkan rasa takut
 
Sudah menjadi lumrah dan kebiasaan apabila perasaan takut dan cemas ini menghantui diri anda saat akan melakukan percutian secara bersendirian. Pelbagai persoalan akan singgah di minda seperti bagaimana kalau ditimpa masalah atau terjadi sesuatu yang tidak diingini berlaku selama anda melancong nanti. Ya, kita tidak akan terlepas dari berfikiran begitu, Oleh itu, kita perlu mempelajari lebih mendalam akan sesuatu destinasi yang ingin dituju. Perbanyakkan bacaan dan kajian agar ia dapat memudahkan kita di kemudian hari. Jika sudah berada di tempat orang, jangan berasa segan-silu untuk bertanyakan tempat, keadaan di sekitar penginapan dan lain-lain dengan orang lain, moga mereka juga dapat membantu untuk melengkapkan perjalanan anda! Ingat, sentiasalah menghormati budaya tempatan di sana apabila sudah berada di destinasi.

Manjakan diri
 
Dengan melancong secara solo juga dapat memanjakan diri dari kehidupan harian yang sibuk dan stres dengan pelbagai tekanan atau bebanan kerja. Secara tidak langsung, ia dapat memberikan ruang untuk anda merehatkan diri dan minda. Pelbagai tempat yang boleh dikunjungi misalnya berjalan-jalan di pantai sambil menikmati suasana, melakukan senaman yoga dan banyak lagi mengikuti citarasa dan keselesaan masing-masing.

Cabaran
 
Ya, anda akan menghadapi pelbagai cabaran yang kadang-kala anda sendiri tidak dapat menduganya. Jangan pernah merasa takut atau menyesal untuk melancong secara solo kerana sebenarnya ia menguji anda bagaimana anda mengatasi sesuatu masalah yang datang. Siapa tahu, dengan cara ini dapat meningkatkan taraf keyakinan dan pengetahuan di dalam sesuatu perkara ketika anda ingin melancong lagi suatu hari nanti.

Masa untuk diri sendiri
 
Berikan ruang untuk anda beristirehat tanpa dibebani pelbagai masalah yang berkaitan dengan tempat kerja anda yang membuatkan anda sentiasa stres dan penat! Cuba tinggalkan segala yang berkaitan dengan kerja anda seperti telefon atau tablet untuk berhubung sementara waktu. Dengan cara itu, fikiran anda akan bebas sengan e-mel tugasan di pejabat. Namun, jangan pula lupa untuk menghubungi keluarga mengenai keadaan anda selama bercuti!

11 April 2014

Ada Apa Dengan Moscow?


Moscow! Dengar namanya sahaja sudah cukup buat diri ini tertarik, apatah lagi berpeluang melancong ke sana. Orang kata, peluang tidak datang bergolek, oleh itu jangan sia-siakannya. Seperti mimpi di siang hari, sebenarnya sudah lima hari berlalu selepas kepulangan ke Malaysia tempoh hari. Jika orang masih tercari-cari percutian yang tidak pernah alami sebelum ini, jom ke Moscow!

Moscow ini terletak di tebing Sungai Moskva, Daerah Pusat Persekutuan di bahagian barat Persekutuan Rusia. Moscow yang merupakan bandar raya yang terbesar di Eropah serta ibu negara ini dijadikan sebagai pusat politik, kewangan, ekonomi, pendidikan dan pengangkutan yang utama di Rusia. Bilangan penduduk yang menetap adalah sebanyak kira-kira 10 juta orang, di mana 7% daripada jumlah penduduk Rusia. Moscow yang dahulunya dijadikan sebagai tempat untuk Kremlin yang termasyur kini merupakan tempat kerja bagi Presiden Rusia.

Bercerita mengenai negara Rusia,  ia merupakan sebuah negara besar yang meliputi 1/5 daripada tanah di muka bumi ini. kalau diikutkan, sebenarnya ia sangat asing di kalangan rakyat Malaysia. Secara sejarah pula, Rusia adalah ibu negara untuk bekas Kesatuan Soviet, serta Rusia Muscovy, negara pra-Empayar Rusia yang terletak di pusat tanah air Rusia. Rusia ini amat menarik kerana dilengkapi dengan pelbagai kemudahan antaranya ialah kemudahan pengangkutan yang efisyen seperti bas, trolleybus, metro dan mashrut (van). Bukan itu sahaja, para pelajar yang menuntut di sini serta penduduk tempatan mudah untuk keluar melancong ke negara-negara lain kerana kedudukan lapangan terbang antarabangsa yang terletak di Moscow. Memang best lah tiap-tiap bulan melancong!

Kata orang, apabila berkunjung ke Moscow, wajib singgah ke sini iaitu kota Kremlin yang menjadi tempat kegemaran para pelancong. Kremlin di dalam Bahasa Rusia ini membawa maksud benteng yang telah dinamakan pada tahun 1147. Disenaraikan di dalam Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada tahun 1990, kompleks bangunan yang dikelilingi tembok ini terdapat beberapa bangunan iaitu istana, gudang senjata, gereja dan lain-lain lagi. Selain dikaitkan dengan pemerintahan dan budaya Rusia, Kremlin memiliki taman yang indah di sekitarnya yang dipelihara dengan baik serta dilengkapi penjalan kaki untuk pengunjung.

Sekitar tahun 1100, Kremlin merupakan sebuah kota benteng tertutup. Kompleks ini lantas diperluaskan lagi pada abad ke-12 dan menjadi sebuah pusat kekuasaan Rusia. Pada tahun 1703, pusat kekuasaan ini telah dipindahkan ke St Petersburg. Setelah berlakunya Revolusi Rusia tahun 1918, Moscow ini telah dikembalikan  sebagai ibu kota Rusia. 

Pada tahun 1703, pusat kekuasaan dipindahkan ke St Petersburg. Setelah Revolusi Rusia tahun 1918, Moskow dikembalikan lagi sebagai ibu kota Rusia. Kremlin kini juga menjadi lokasi rumah presiden sejak tahun 1992 sekaligus lokasi pertemuan anggota Pusat Kerajaan Rusia. Dinding luar memiliki serangkaian menara pengawas tinggi. Seperti dindingnya, menara tersebut dibangunkan dari batu bata merah dengan puncak berwarna hijau yang berbentuk khas.


Indahnya waktu malam!




Cantik binaan yang terdapat di dalam Istana Kremlin


Lawatan seterusnya ialah ke Catheral Square yang terkenal sebagai tapak pertabalan dan pengebumian semua Tsars Rusia dan Grand Duke Moscow. Malah pada hari ini, dataran itu digunakan untuk majlis perasmian Presiden Rusia. Cathedral Square atau Sobornaya Square adalah sebuah pusat dataran Kremlin. Terdapat 3 buah gereja besar yang berhadapan dengannya iaitu Cathedral of the Dormition, Cathedral of the Archangel, dan Cathedral of the Annunciation. Selain itu, terdapat juga sebuah istana yang dipanggil sebagai Palace of Facets, the Church of the Deposition of the Robe dan Church of the Twelve Apostles. Struktur binaan yang tertinggi di dataran Cathedral adalah sebuah menara, Ivan Bell Tower Great yang memisahkan antara Dataran Sobornaya dari Dataran Ivanovskaya. Kami mengambil gambar di kawasan sekitar itu sahaja sambil menjamah kecantikan seni binanya.



 

Setelah puas bergambar dengan pelbagai aksi dan posing, kami dibawa pula ke Armoury Chamber, iaitu sebahagian dari kompleks Grand Kremlin Palace. Merupakan lokasi yang wajib dikunjungi jika singgah di Kremlin! Ia adalah sebuah muzium yang tertua di Moscow di mana ianya telahpun dibuka secara rasmi kepada umum sejak tahun 1813 lagi. Lama bukan? Waktu itu pun saya belum lagi dilahirkan di dunia. Kiranya, umur muzium itu sudah menjejaki 200 tahun! Asalnya, ianya adalah tempat menyimpan senjata diraja pada tahun 1508 di mana muzium ini digunakan untuk sebarang pengeluaran, pembelian dan penyimpanan senjata. Ia juga tempat pengumpulan barang kemas serta hadiah yang telah diberikan oleh negara-negara luar selain penyimpanan barang rumah dari tsars. Tukang senjata api yang terbaik (Vyatkin), tukang emas (Gavrila Ovdokimov), dan pelukis (Simon Ushakov) pernah berkhidmat dan bekerja di sana. Pada tahun 1640 dan 1683, mereka telah membuka studio ikonografi dan penggambaran, di mana ilmu mengenai lukisan dan kraf tangan boleh didapati di situ. Pada tahun 1700, muzium ini telah diperkaya dengan Emas dan Perak oleh tsars Rusia.  Banyak lagi sejarah mengenainya yang telah diterangkan satu persatu oleh Tour Guide yang membawa kami ke sini, sedikit sebanyak menambahkan lagi pengetahuan mengenai sejarah negara lain.










Kemudian, kami beralih arah pula ke GUM Department Store. Dengar namanya sahaja, sudah tentu semuanya telah tahu bahawa ianya adalah sebuah pusat membeli-belah terkenal dengan butik dan barangan berjenama. Kawasan kompleks ini dikelilingi tembok bersejarah yang berbentuk segi tiga di mana sempadan selatannya adalah Sungai Moskva, sebelah baratnya Alexander Garden dan pada bahagian timurnya ialah gereja St. Basil serta juga Red Square, atau dataran merah. Orang lain sakan membeli-belah, namun saya hanya memerhatikan sahaja memandangkan saya datang ke sini adalah tujuannya hanya untuk melihat keindahan dan suasana bandar Moscow sahaja. Saya hanya bersiar-siar di sekitar shopping mall ini, memang terpegun melihatnya.










Setelah muka masing-masing kelihatan gembira dan ceria, kami meneruskan perjalanan menuju ke St Basil Cathedral, iaitu sebuah gereja yang menjadi simbolik  dan  paling dikenali di Rusia. Kubah yang berwarna-warni dengan seni bina bangunannya yang unik menarik perhatian para pelancong. Menjadi satu kemestian, pasti gambar perlu di ambil setibanya di sini, jika tidak sangat rugi! Memang terpegun dengan seni binaanya seolah-olah seperti gambaran bangunan istana di dalam cerita dongeng. Selalu saya lihat gereja ini di dalam bentuk poskad, seperti bermimpi seakan tidak percaya apabila saya betul-betul berada di hadapan bangunan ini. Menurut informasi yang saya telah telaah, gereja ini telah didirikan pada abad ke -16 semasa pemerintahan Tsar yang zalim, iaitu Tsar Ivan The Terrible. 

Gereja ini dibangunkan selepas bandar Kazan ini Berjaya ditakluki dan ditawan oleh pihak Rusia daripada orang Islam untuk dijadikan sebahagian dari empayar besar Rusia. Terdapat satu lagenda yang yang mengatakan bahawa Tsar yang kejam ini akan memanggil seorang ahli arkitek untuk bertanya adakah terdapat bangunan yang secantik dan menandingi gereja ini di masa akan datang selepas permbinaannya. Artkitek yang terlalu jujur itu bernasib malang apabila matanya dibutakan oleh Tsar Ivan The Terrible agar beliau tidak dapat membina bangunan yang lebih cantik dari gereja ini apabila beliau menjawab bahawa beliau mampu untuk membina bangunan yang lebih indah.









Ok, sekarang berpindah pula ke kawasan perlancongan yang lain. Kami dicadangkan untuk berkunjung ke Sparrow Hiils. Sparrow Hills, atau lebih dikenali sebagai Lenin Hills antara tahun 1935 hingga 1991 adalah sebuah bukit di tebing kanan Sungai Moskva dan merupakan salah satu daripada puncak yang tertinggi di Moscow. Bukit ini mencapai ketinggian kira-kira 220 meter (720 kaki), atau 60-70 meter (200-230 kaki) di atas paras sungai. Bukit ini diabadikan olej penyair dan penulis Rusia, di mana namanya diambil dari sebuah kampung yang bernama Vorobyovo Village dan telah diambil alih oleh Grand Duchess Sophia Vitovtovna, satu-satunya anak perempuan Vitovt daripada seorang paderi, Vorobey pada tahun 1451. Dikatakan Alexander I Rusia ingin membina sebuah gareja, iaitu Cathedral of Christ the Saviour di sana, malangnya penggantinya terpaksa menangguhkan kerja-kerja pembinaan. Akhirnya, gereja itu didirikan berhampiran dengan kota Kremlin.

Di situ juga terletaknya stesen sungai, tempat penjalan kaki dan lain-lain yang memberikan panorama yang indah di bandar. Boleh juga melihat Universiti Moscow dari sini, yang merupakan mercu tanda utama di Sparrow Hills, di mana ketika dahulu ia merupakan bangunan yang tertinggi di Eropah! Stadium Luzhniki (yang dahulunya Stadium Lenin), di mana majlis perasmian dan penutup bagi tahun 1980 Sukan Olimpik diadakan. Terletak bersebelahan dengannya ialah biara iaitu Novodevichy Convent, dengan menara Naryshkin Baroque. Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata betapa cantiknya bandar Moscow ini yang memang kaya dengan pemandangan!

Pemandangan Stadium Luzhniki dari Sparrow Hills



Universiti Moscow

Lawatan di Moscow diakhiri dengan kunjungan ke Arbat Street Walking Tour, iaitu jalan yang paling terkenal di Moscow. Ia merupakan sebuah pasar seni elektrik yang penuh dengan pelukis potret, penyair kotak sabun, dan pemuzik jalanan, dengan beberapa kafe di kaki lima serta gerai cenderamata. Arbat Street, atau Arbat, adalah kawasan untuk pejalan kaki yang terletak kira-kira satu kilometer panjang di pusat bersejarah Moscow. Arbat ini telah wujud sejak abad ke-15, sekali gus menjadikannya sebagai salah satu daripada jalan-jalan yang masih hidup dan tertua di Ibu Negara Rusia. 

Pada asalnya jalan itu menjadi sebahagian daripada laluan perdagangan yang penting dan juga dijadikan sebagai rumah kepada sebilangan besar tukang kraf yang tinggal di situ. Pada abad ke-18, Arbat dianggap oleh golongan bangsawan Rusia sebagai tempat tinggal yang paling berprestij di Moscow. Jalan ini hampir musnah disebabkan kebakaran besar semasa pendudukan Napoleon Moscow pada tahun 1812 dan ianya terpaksa dibina semula. Pada abad ke-19 dan awal abad 20-an, ia telah didiami oleh golongan bangsawan kecil, artis, dan ahli akademik. Pada zaman Soviet, ia adalah merupakan rumah dan tempat tinggal bagi kebanyakan pegawai tinggi kerajaan. Kini, Arbat merupakan tarikan pelancongan yang utama oleh kerana terdapat banyak bangunan sejarah yang ditinggalkan di sini serta beberapa pelukis yang tinggal dan bekerja di sini.






Tidak puas rasanya berjalan-jalan di Moscow, kerana keunikan bangunannya serta tempat yang menarik untuk dikunjungi. Tidak perlu risau datang ke sini kerana terdapat banyak pengangkutan awam yang disediakan! Jika ingin melancong di sana, tempahlah pakej bersama POTO Travel & Tours. Harga berpatutan, penginapan hotel yang selesa, dan paling penting ialah penjagaan waktu solat serta makanan yang dijamin halal. Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang rasmi di www.pototravel.com.my atau hubungi di talian 03-9200 6640. Jangan lepaskan peluang!