[SAMBUNGAN DARIPADA BAHAGIAN 2]
Menara Eiffel pada waktu malam |
Syurga roti dan manisan
Bagaikan
isi dengan kuku, begitulah warga Perancis dan roti-roti mereka. Rugilah bagi mereka yang berdiet ketika berada
di kota Paris. Rambang mata dibuatnya ketika melihat roti-roti dan
pastri-pastri mereka. Semuanya comel-comel dan sedap-sedap belaka. Selera saya
memang rebah dek digoda kelazatan roti-roti orang Perancis.
Hasrat
hati saya untuk mencuba beberapa pastri buatan orang Perancis tercapai juga
akhirnya. Roti croissant di kota Paris begitu berbeza dengan yang dijual di
Malaysia. Saiznya lebih kecil dan teksturnya lebih rangup. Memang sangat sedap!
Sekali duduk, memang habis tiga atau empat biji. Di Perancis, mereka gemar
menikmati roti croissant dengan sapuan Nutella dan mentega untuk sarapan
pagi.
Roti croissant yang sangat enak |
Selain
croissant, macarons juga tidak kurang sedapnya. Di kota Paris, rata-rata
restoran dan gerai makanan ada menjual macarons. Malah, di McDonald’s juga ada
menjual macarons. Sememangnya ia merupakan makanan ruji rakyat Perancis. Kalau
orang Malaysia suka makan durian, orang Perancis nampaknya sukakan macarons.
Macarons boleh dibeli dalam pelbagai jenis perisa dan saiz. Saya sempat membeli
sekotak macarons di buah gerai dengan harga sepuluh Euro untuk tujuh biji. Sangat
berbaloi pada fikiran saya. Lazat tak terperi!
Antara jenis-jenis macarons yang dijual di Paris |
Pastri-pastri lazat yang mudah dijumpai di Paris |
Walaupun
kaya dengan pelbagai jenis roti, pastri dan manisan yang membuatkan kecur air
liur, warga Paris masih begitu mementingkan kesihatan. Hanya 9% daripada jumlah
populasi di Perancis yang menghidapi penyakit diabetes.
Oleh
kerana ramai di kalangan mereka yang mementingkan penampilan yang menarik,
secara tidak langsung mereka juga begitu menjaga pemakanan dan tahap kecergasan
diri masing-masing. Sejujurnya memang amat sukar untuk saya menemui orang
Perancis yang obes ketika saya berada di Paris. Tapi itu hanya hasil
pemerhatian saya sahaja. Namun, saya tetap begitu kagum! Di dalam fikiran saya,
mungkin saya perlu berpindah ke Paris bagi mencapai berat badan ideal saya.
Ketagih kopi
Dek
cuaca yang begitu sejuk ketika berada di Paris, sekitar 4 darjah celcius, saya
sentiasa memerlukan kopi untuk memanaskan badan saya. Tambahan pula, memegang
cawan kopi yang panas membuatkan saya berasa selesa di dalam kedinginan udara.
Tidak perlu memakai sarung tangan untuk mengelakkan kesejukan.
Kota
Paris memang tidak kekurangan dengan café-café yang menjual kopi dan minuman
panas lain. Di setiap ceruk dan penjuru, pasti akan terjumpa café menjual kopi.
Saya berasa seperti berada di dalam syurga kopi.
Salah satu cafe yang terdapat di kota Paris |
Setiap
hari ketika di kota Paris, saya sentiasa sibuk ke hulu dan ke hilir untuk
melawat tempat-tempat yang menarik dan mengambil foto-foto. Jadual saya memang
begitu padat. Kadang-kala memang saya tidak sempat untuk meluangkan masa untuk
makan tengahari. Akibatnya, kopi dan roti croissant menjadi teman baik saya sepanjang
hari.
Saya
amat gemarkan kopi di kota Paris. Rasanya lebih pekat dan fresh! Aroma kopinya yang wangi amat menusuk deria bau saya. Sebagai
self-tought coffee expert, saya
berupaya memberitahu samada kopi yang saya minum adalah kopi yang berkualiti
atau tidak. Di kota Paris, amat sukar untuk mendapatkan kopi yang tidak
berkualiti. Semua café bagaikan bertanding siapakah yang mempunyai kopi yang
paling sedap. Paling untung adalah para pelanggan yang mempunyai banyak
pilihan. Tepuk dada tanyalah selera.
Kopi yang enak di Paris |
Al-kisah wanita bertudung
Tidak
berapa lama dahulu, dunia digemparkan dengan kontroversi berita pihak kerajaan
Perancis yang berhajat untuk melarang wanita di negara itu memakai tudung di
universiti-universiti dan pejabat-pejabat kerajaan. Usul itu mendapat tentangan
dan juga persetujuan daripada pelbagai pihak dan puak.
Ketika
berada di kota Paris, saya terkejut melihat betapa ramainya kaum hawa di sana yang
mengenakan hijab di tempat awam. Saya terkejut kerana dua sebab. Sebab pertama
ialah saya tidak menyangka terdapat ramai umat Islam di negara Perancis. Sebab
kedua adalah saya terkejut dengan keberanian kaum hawa di sana mempertahankan
pegangan agama mereka walaupun mendapat tentangan oleh pemimpin mereka sendiri. Nampaknya, agama Islam sememangnya sedang brkembang di benua Eropah.
Wanita muslim di Paris |
Satu
pagi ketika saya sedang bersarapan di hotel tempat saya menginap, seorang
lelaki pelayan meja datang menegur saya dan bertanya dari negara mana saya
berasal. Saya menjawab soalannya dan dia bertanya lagi samada saya seorang
muslim. Sejurus saya menjawab ya, dia memberitahu saya bahawa dia juga seorang
muslim namun beliau masih merahsiakan perkara tersebut kerana takut dipulaukan
keluarga dan rakan-rakan.
Dia
berkata lagi, masih ramai orang di Perancis yang masih belum betul-betul
memahami konsep ajaran Islam yang sebenarnya. Malah, masih terlalu ramai yang
bertanggapan serong tentang ajaran Islam. Dia berkata dia bercadang untuk
memberitahu ahli keluarganya tidak lama lagi dan berdoa agar mereka akan
menerima keputusan jalan hidupnya itu.
Berdasarkan
selidikan saya di internet, terdapat lebih daripada 7 juta umat Islam di negara
Perancis. Angka ini dijangka bakal mencecah 12 juta orang menjelang tahun 2020.
Paris pasti dirindui
Kenangan
di kota Paris memang begitu manis buat saya. Banyak yang telah saya pelajari
sepanjang berada kota cinta ini.
Bagi
saya, kota Paris begitu sesuai untuk dikunjungi oleh mereka yang cintakan
sejarah, seni dan makanan yang enak. Kota ini juga sangat sesuai sebagai
destinasi bulan madu bagi pasangan yang baru sahaja mendirikan rumah tangga.
Walaupun
saya tidak sempat untuk melawati kesemua tempat-tempat bersejarah yang terdapat
di sana, namun saya berasa puas kerana saya berjaya untuk menyelami beberapa
aspek menarik tentang negara tersebut.
In
Sha Allah, saya akan pastikan saya berpeluang untuk berkunjung ke kota Paris
lagi pada masa yang akan datang.
Paris, I will see you again!
Paris, I will see you again!