Pages

27 November 2013

Memorabilia di Kota Lama Medina, Fez, Maroko. (Bahagian 2)


Sambungan dari Bahagian 1...

Sudah puas membeli barangan, kami dibawa ke Masjid al-Qawariyyin untuk menunaikan solat jamak dan qasar apabila tibanya waktunya.  Masjid ini merupakan masjid yang kedua terbesar selepas masjid King Hassan ll di Casablanca. Orang bukan muslim tidak dibenarkan untuk memasuki kerana ia merupakan masjid yang paling suci di Maroko. Masjid ini sememangnya bersih dan pintunya yang besar itu amat selesa untuk beribadah. Masjid ini mempunyai dua menara iaitu menara yang asal dan Burj an-Naffara (Menara trompet). Menara asal ini merupakan monumen Islam yang tertua di Fes, bertarikh kira-kira pada tahun 956.
 
Menurut sejarah, ia ditubuhkan pada tahun 859 oleh Fatima al-Fihri, anak kepada orang kenamaan.  Namun masjid ini susah untuk dilihat kerana ia dibanjiri dengan bangunan-bangunan dan juga rumah yang lain. Pemandu pelancong itu berkata tempat yang sesuai untuk melihat keseluruhan masjid itu ialah dari atap bumbung Medersa el Attarin, yang hanya kadang-kadang ia dibuka kepada orang ramai tetapi sangat susah untuk kita masuk ke dalamnya. Kami hanya dapat menghayati keindahannya di dalam masjid itu sahaja. Tidak mengapalah, asalkan tempatnya bersih dan selesa untuk kita solat.

Setelah selesai menunaikan solat, kami dibawa melawat ke  Muzium Belghazi. Menurut sejarah, muzium ini ditubuhkan dan diasaskan oleh seorang usahawan terkemuka yang bernama Abdelila Belghazi Fandi pada tahun 1991. Tujuan muzium ini ditubuhkan ialah  untuk mempamerkan koleksi seni tradisional Magribi. Di sini kami lihat banyak tembikar, ukiran kayu, sulaman, manuskrip, alat muzik, senjata dan banyak lagi sehingga tidak tahu mana satu yang perlu lihat terlebih dahulu. Kebanyakan karya yang dipaparkan adalah lebih kurang dengan Muzium Dar Batha tetapi boleh membeli sesetengah barangan yang kita suka di sini. Ukiran di muzium ini juga sangat cantik dan unik baik di luar mahupun di dalam sehingga membuatkan kami semua terpesona melihatnya. Kami diberikan masa selama 45 minit untuk berjalan-jalan di muzium sambil memerhatikan karya yang terpampang.

Kawasan di Muzium Belghazi
 
Karya-karya yang terdapat di Muzium Belghazi

Akhirnya kami kembali ke pintu gerbang Bab Bou Jelod dan ingin menjamah sedikit makanan sebelum pulang. Lalu kami mengunjungi ke restoran yang dinamakan Guenoune. Dengan harga sebanyak 50 Dirham atau mungkin lebih, kita boleh mendapatkan satu sup ataupun salad, couscous (sejenis pasta daripada adunan suji dan air yang dikukus, berasal dari Mediterranean), pastri dengan kopi atau teh. Porsi yang disediakan adalah banyak dan kualiti lebih dijamin berbanding dengan Restoran des Jeunes yang hanya menyediakan kuantiti makanan yang sangat sedikit dengan harga 35 Dirham. Mata saya terarah kepada seorang lelaki tua yang berpakaian sangat tradisional. Bajunya yang lusuh, dia hanya tersenyum memandang kami. Justeru, ia membawa perasaan yang sangat autentik. 

Restoran Guenoune

Pastille yang mesti dicuba jika bertandang ke sini. Pastille yang paling sedap adalah di Restoran Guenoune

Bagi saya, tempat ini hanya sesuai untuk kita datang melawat sahaja. Di sini saya diberikan gambaran terhadap kehidupan orang pada zaman dahulu yang rata-ratanya terdiri daripada orang yang miskin. Ianya tidak selaras dengan gelaran Tapak Warisan Dunia kerana pendidikan dan taraf kehidupan rakyat di situ masih lagi ketinggalan dan tidak berkembang maju. Talian internet juga hanya terdapat di Bab Bou Jaloud untuk 10 Dirham per jam dan beberapa lagi tempat di kota baru dengan harga 7 Dirham per jam. Mungkin ada di tempat lain, cuma kita tidak tahu. Namun, di sinilah antara tempat yang paling banyak memberi informasi mengenai sejarah-sejarah di bandar ini, secara tidak langsung memberi kesedaran bahawa masih ada lagi insan yang berada di tahap kemiskinan. Lawatan di Medina selama satu hari ini cukup memberi impak kepada saya dan juga rakan-rakan yang mengikuti rombongan ini.

Rasailah bagaimana suasana di sana dan dari situ anda boleh menilainya sendiri. Bukan sahaja dapat menimba pengalaman yang baru, malah dapat mencedok sedikit ilmu mengenai sejarah-sejarah yang terdapat di Maroko ini. Kota lama Medina ini juga wajib dilawati oleh sesiapa yang bertandang di Maroko. Pakej lawatan ini menawarkan harga yang berpatutan dan tempat-tempat sejarah yang menarik amat berbaloi untuk semua. Kepada yang berminat dan ingin tahu lebih lanjut, sila layari laman sesawang rasmi POTO Travel & Tours di www.pototravel.com.my atau hubungi kami di talian 03-92006640.

No comments:

Post a Comment