Pages

28 November 2013

Semarak Shenzhen



Sejarah dan pembangunan Shenzhen

Setibanya saya di Shenzhen dari Hong Kong, saya begitu terpegun dengan kepesatan pembangunan bandar ini. Tidak sangka saiz kota Shenzhen ini sangat besar sekali. Kerdipan lampu-lampu neon pada bangunan-bangunan pencakar langit di sini mengingatkan saya tentang Tokyo. Wow, betul-betul tidak sangka!

Perjalanan ke Shenzhen dari Hong Kong tidaklah mengambil masa yang lama. Sama sahaja seperti mahu ke Singapura dari Johor Bahru. Segala urusan pemeriksaan hanya mengambil masa kira-kira satu jam sahaja sekiranya tiada apa-apa masalah.

Namun begitu, keadaan boleh menjadi lebih sesak di Terminal Imigresen bergantung kepada hari dan masa. Pada petang hari Jumaat dan Ahad, saya difahamkan trafik selalunya agak sedikit sesak dek rakyat dari Tanah Besar China yang mahu masuk ke Hong Kong dan sebaliknya.

Shenzhen adalah kota metropolitan termuda di negara China. 30 tahun yang lalu, bumi Shenzhen ini dilitupi oleh hutan tebal. Kawasan ini hanya didiami oleh para petani dan penternak ikan. Populasi di Shenzhen pada ketika itu hanyalah sekitar 300 ribu orang.

Oleh kerana lokasinya yang begitu strategik, terletak bersebelahan dengan kota besar dan pusat ekonomi Asia iaitu Hong Kong, Shenzhen telah dibangunkan pada tahun 1980an sebagai Zon Ekonomi Istimewa (Special Economic Zone) yang pertama di China.

Pembangunan yang pesat di Shenzhen ini adalah visi pemerintahan cara baru oleh pemerintah negara China pada ketika itu, Deng Xiaoping. Begitu berbeza dengan dasar “tutup pintu” yang diamalkan oleh pemerintah-pemerintah China sebelum beliau. Shenzhen dibangunkan sebagai pusat perindustrian utama di China. Kini, ianya mempunyai penduduk sejumlah lebih 12 juta orang.

Kota impian generasi muda

Saya difahamkan oleh beberapa penduduk tempatan di sini bahawa sekitar 85% daripada penduduk Shenzhen adalah golongan bekerja yang berumur di antara 20-an dan 40-an. Golongan muda ini rata-ratanya berasal daripada daerah-daerah yang lain di China. Mereka merantau ke Shenzhen untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik berbanding di kampung masing-masing.

Terdapat juga sebilangan besar penduduk Shenzhen yang bekerja di Hong Kong kerana gaji yang lebih besar di sana. Namun, mereka memilih untuk menetap di Shenzhen kerana kos sara hidup di sini yang jauh lebih murah berbanding di Hong Kong. Senario ini seakan sama seperti situasi penduduk di Johor Bahru yang bekerja di Singapura.

Kepesatan pembangunan industri perkilangan di sini banyak membantu membentuk peluang-peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Sepanjang pemerhatian saya ketika berada di Shenzhen, saya seringkali ternampak ramai ‘mat salleh’ yang berpakaian kemas di sekitar kawasan bandaraya ini. Barangkali banyak juga syarikat-syarikat antarabangsa yang melabur di Shenzhen.

Tidak hairannya ramai rakyat China yang berkelana ke Shenzhen. Bandar ini pastinya menjanjikan peluang untuk mengubah nasib hidup menjadi lebih baik. “The land of hopes and dreams” bak kata dalam bahasa Inggeris.

Jelajah satu dunia di Shenzhen!

Jika dahulu, sebut sahaja tentang pergi melancong ke China, pastinya Beijing dan Shanghai menjadi buah mulut perbualan. Namun kini, nama Shenzhen semakin meniti populariti di kalangan para pelancong asing. Lihat sahajalah kota Shenzhen ini, begitu besar sekali!

Salah satu tarikan pelancongan yang tersohor di Shenzhen adalah Window of the World. Taman tema seluas 120 ekar ini merupakan sebuah taman besar  yang mengandungi replika-replika monumen yang ternama dari seluruh pelusuk dunia seperti Menara Eiffel, Piramid Giza, Istana Buckingham, Air Terjun Niagara, Taj Mahal, bandaraya Manhattan dan sebagainya.

Saya merasakan Window of the World ini adalah suatu simbolik yang menunjukkan keterbukaan masyarakat China masa kini terhadap dunia luar. Berbeza dengan keadaan di sini beberapa dekat yang lalu. Segalanya begitu moden dan up-to-date sekarang.

Dengan bayaran serendah CNY120 (kira-kira MYR63), pengunjung berpeluang untuk mengelilingi dunia dalam masa satu hari sahaja! Sempat juga saya bergambar sakan di beberapa monumen di sini.

Begitu hebat orang China saya fikir, semua benda mereka boleh tiru dengan baik. Bukan sahaja barangan kegunaan harian, malahan Menara Eiffel juga mereka boleh klonkan! Dahsyat!

Selera makanan Halal

Seperti Beijing dan Shanghai, mendapatkan makanan halal di Shenzhen tidaklah begitu sukar. Dianggarkan seramai 100 ribu warga China yang beragama Islam tinggal di Shenzhen. Lantaran itu, restoran-restoran halal tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan di sini.

Ketika saya di Shenzhen, saya sempat singgah di beberapa restoran muslim yang menyediakan makanan ala cina yang halal. Restoran-restoran halal di sini bukan sahaja dikunjungi oleh pelanggan yang beragama Islam, malah oleh orang lain juga.

Cara masakan di kebanyakan restoran halal di sini sama seperti restoran-restoran yang lain. Perbezaannya hanyalah pada sumber daging yang digunakan. Oleh itu, restoran-restoran halal di sini mendapat sambutan baik daripada seluruh penduduk tempatan yang semakin memahami konsep penyediaan makanan cara muslim ini.

Paling istimewa adalah juadah kebab daging lembu, kambing dan ayam yang sering dijual diperkarangan kawasan masjid. Daging yang digunakan untuk membuat kebab ini disembelih di kawasan masjid itu sendiri pada hari yang sama. Sekali cuba, memang terasa kesegaran dagingnya.  Sungguh enak sekali!

Syurga membeli-belah

Dengan menaiki bas persiaran, saya pergi pusing-pusing ke sekitar bandaraya Shenzhen. Terlalu banyak pusat membeli-belah eksklusif seperti Pavilion yang saya lihat. Butik-butik jenama tersohor antarabangsa seperti Chanel, Gucci, Prada, Zara dan H&M juga melimpahi segenap sudut kota muda ini. Ternyata ekonomi di sini sedang berkembang dengan begitu pesatnya.

Bercakap tentang membeli-belah di Shenzhen, salah satu tempat yang wajib dikunjungi adalah Dongmen. Kawasan ini memang sangat happening, terutamanya ketika waktu malam. Ianya juga mengingatkan saya tentang Shibuya di Jepun. Kemeriahan dan keriuhan suasana di sini seakan sama seperti Shibuya.

Terdapat pelbagai kedai-kedai menarik di Dongmen yang menjual pelbagai jenis barangan seperti pakaian, kasut, beg tangan, fabrik, kosmetik dan sebagainya. Ada juga beberapa department store di sini yang menjual barangan yang lebih berkualiti berbanding dengan kedai-kedai lain di bibir jalanan.

Pada waktu hujung minggu, Dongmen pasti dibanjiri oleh anak-anak muda yang bertandang ke sini untuk lepak-lepak sambil membeli-belah bersama rakan-rakan. Pancaran cahaya lampu neon daripada seluruh arah juga menjadikan Dongmen tempat yang cocok untuk bergambar sakan. Pendek kata, sungguh meriah kawasan Dongmen ini seperti Jalan TAR ketika menjelang Hari Raya.

Bagi mereka yang ingin membeli barangan elektronik seperti powerbank dan external hard drive, Luohu Commercial City adalah tempatnya! Gedung borong yang mempunyai 5 tingkat ini bersedia untuk memuaskan selera shopping anda.  Bukan sahaja barangan elektronik, pakaian dan eksesori juga ada dijual di sini.

Namun pengunjung harus berhati-hati. Pastikan anda bijak tawar menawar di sini supaya anda tidak ditipu oleh penjual di sini yang sering mengambil kesempatan ke atas pelancong asing. Tambahan lagi, sebelum meninggalkan kedai, periksa dahulu barangan yang dibeli. Pastikan ianya barangan yang betul, tiada kerosakan dan semuanya berada di dalam keadaan yang baik.

Shenzhen sentiasa di hati

Pertama kali ke Shenzhen, hati saya memang tertambat. Kota besar ini tertanya “mengejutkan” saya dengan pembangunannya yang begitu pesat. Seiring dengan aliran kemajuan di Hong Kong, Shenzhen bangkit menjadi pusat perkasaan ekonomi di negara China.

Bukti kekuatan ekonomi boleh dilihat di mana-mana sahaja di Shenzhen. Daripada bilangan bangunan pencakar langit yang semakin bertambah sehinggalah kepada jumlah penghijrahan masuk rakyat China daripada pelbagai daerah lain ke sini.

Pada pendapat saya, Shenzhen seharusnya menjadi lokasi yang wajib dilawati ketika berada di China. Banyak yang boleh dilihat dan dipelajari di sini.

Biarpun persinggahan saya di sini cuma untuk beberapa hari sahaja, namun banyak pengalaman yang sempat saya kutip. Kota metropolitan ini akan tetap bersemarak di hati saya. Saya akan kembali lagi untuk menyambung penerokaan saya di sini. In Sha Allah…


Dongmen yang sangat happening!
Dongmen sesak dengan pengunjung terutamanya pada hujung minggu
Salah sebuah masjid di Shenzhen 
Taman tema Window of the World
Window of the World tidak putus-putus menerima kunjungan pelancong tempatan dan antarabangsa 
Klon Menara Eiffel di Window of the World, Shenzhen




2 comments: