Pages

27 November 2013

Memorabilia di Kota Lama Medina, Fez, Maroko. (Bahagian 1)


Saya melihat di sekeliling saya. Lama saya amati tempat ini, masih terpinga-pinga seolah-olah sekarang saya berada di dunia yang lain. Mimpikah ini? Sudah banyak acap kali saya mengunjung ke luar Negara tetapi kali ini terasa cukup asing bagi saya. “Wah, begini rasanya berada di Fez” kata saya bersendirian.

Dimaklumkan bahawa di Fez ini kaya dengan bandar-bandar yang bersejarah. Fez merupakan bandar ketiga terbesar di Maroko dan terdapat dua bangunan kota lama yang dipanggil sebagai Fes el-Bali dan Al-Qarawiyyin. Sudah 1000 tahun lamanya ataupun lebih namun seni bina dan strukturnya masih sama dan tiada sebarang perubahan yang dilakukan. Apa dilihat dari zaman dahulu, ia tetap sama walau ditatap pada zaman sekarang. 

Fes el-Bali merupakan bangunan yang tertua di tempat itu sementara pula Al-Qarawiyyin adalah Universiti yang telah wujud lamanya dan masih lagi beroperasi sehingga kini. Saya juga diberitahu bahawa usianya melebihi dan sebelum lahirnya Universiti Oxford, yang kita sedia tahu bahawa ianya juga merupakan universiti yang tertua di London, England. Sebelum ini saya tidak berapa didedahkan dengan sejarah lagi-lagi dari luar Negara. Apabila mendengar penjelasan daripada pembawa pelancong terasa diri ini begitu cetek. Itulah, bila ada kelas sejarah pergi memonteng je kerjanya. 
 
Pemandangan sekitar bandar Fes el-Bali
Saya bersama kumpulan yang lain akan dibawa untuk melawat kota lama Medina setelah selesai diberikan taklimat mengenai bandar di Fez. Keunikan kesemua bangunannya difahamkan bahawa ia disumbangkan oleh tokoh-tokoh islam dalam bidang seni bina dari Maroko pada zaman kegemilangan kerajaan Islam di Sepanyol. Kesannya masih dapat dilihat sehinggalah sekarang. Medina di Fez juga dianggap sebagai bandar bersejarah yang paling meluas dan ia terperlihara kerana bangunannya yang masih mengekalkan ciri-ciri pada zaman arab pertengahan. 

 “Okay, kita dah sampai ke kota lama Medina.” Maklum si pemandu pelancong itu. Sekali lagi saya terpinga-pinga. Entah kenapa, satu perasaan yang berlainan seperti dibawa pada zaman itu walhal saya sendiri tidak pernah laluinya. Saya betul-betul berada di pintu gerbang Bab Bou Jelod atau The Blue Gate untuk masuk ke Medina. Agak lama saya menjamah suasana di situ. Terdapat jurang perbezaan di antara Fez dan tempat yang berada di Marrakech yang kebanyakan terdiri dari orang yang kaya-raya. Di situ, saya dapat lihat dari struktur bangunan, suasana amatlah berbeza sekali. 

Gerbang utama Bab Bou Jelod



Universiti dan juga masjid Al-Qarawiyyin




Pemandu pelancong itu memberitahu bahawa Medina Fes el-Bali ini diwartakan oleh UNESCO dan telah mengangkat gelarannya sebagai World of Heritage atau Tapak Warisan Dunia. Dari pandangan saya, ianya perlu dijaga untuk mengekalkan warisan agar tidak ditelan dek zaman. Bukan itu sahaja, penting untuk disaksikan oleh generasi yang akan datang nanti. Dahulu, ia pernah menjadi ibu kota Maroko dan sebagai  tempat perlindungan untuk rakyat daripada ancaman musuh-musuh luar, yang di antaranya terdiri dari Andalusia dan Cardoba. Patutlah terdapat banyak tembok dalam sepanjang perjalanan kami. Tembok-tembok ini katanya telah dibina oleh pemerintah pada zaman itu untuk melindungi rakyat jelata.

Pemandu pelancong itu berkata bahawa kita akan menemui banyak gerai makanan, seramik, tekstil dan lain-lain tidak kira di mana kita lalui di pelosok jalan. Kita akan temui kedai-kedai secara satu persatu. Sangat senang untuk tersesat di dalam kota ini jika kita tidak biasa dengan tempat ini. Setelah berasak-asak di situ, akhirnya tiba di kedai menjual makanan. Kota lama di Medina ini juga terkenal dengan makanan tempatan seperti buah-buah kering dan makanan laut segera. Memang tidak akan nampak kereta yang lalu lalang di situ, yang ada cuma keldai. Saya difahamkan bahawa pada zaman itu beginilah cara mereka membawa segala barangan mereka untuk perniagaan yang hanya menggunakan keldai takpun kereta sorong yang memuatkan tenaga sebanyak tiga orang untuk menolaknya. Hendaklah berhati-hati ketika melalui di kawasan itu agar tidak disodok dengan kereta sorong itu. Tambahan pula, jalan di situ selalunya basah dan licin.
 
Antara kawasan pasar untuk membeli-belah

Keldai sebagai pengangkutan untuk barangan perniagaan

Kemudian, kami terus dibawa ke tempat yang paling dinanti-nantikan, bak kata orang kalau datang ke sini tapi tidak pergi ke tempat itu, memang merugikan. Kami perlu menaiki tangga yang sememangnya sempit untuk ke sana. Tidak lama kemudian, akhirnya tibalah kami di kedai kulit binatang ternakan tempatan. Di Fez, barangan kulit adalah merupakan tempat penyamakan kulit binantang yang paling lama di dunia yang diberi nama sebagai Leather Souq. Di situ kita boleh belajar sedikit sebanyak bagaimana mereka memproses kulit binatang. Penyamakan bermaksud zat yang digunakan untuk memasak serta mewarnai kulit binatang. Kulit-kulit yang sudah dimasak akan menjadi lembut supaya boleh untuk membuat produk barangan. Orang ramai menunjukkan riak wajah yang gembira dan teruja. Maklumlah, di sinilah boleh membeli-belah barangan kulit dengan harga yang murah! Ada yang membuat tawar-menawar sehingga 50%.

Kami pun dibawa ke balkoni di mana di situlah tempat penyamakan kulit binatang dilakukan. Proses penyamakan ini terdiri daripada bekas-bekas batu yang besar yang dipenuhi dengan pelbagai pewarna dan cecair yang berbau. Deria saya terus menangkap satu bau yang kurang menyenangkan. Ya Allah, boleh tahan dasyatnya. Rasanya tidak semua orang boleh tahan dengan baunya yang agak tidak selesa itu. Jadi, kami diberikan daun perisa mint untuk dijadikan sebagai topeng. Kebanyakan mereka menyamak kulit dari kambing atau biri-biri di mana ianya diproses sehingga menjadi produk kulit berkualiti tinggi seperti beg, baju, kasut, selipar dan lain-lain.
 
Kami lihat para pekerja berdiri di dalam bekas yang disusun seperti sarang lebah jika kita lihat dari pandangan atas. Setiap bekas itu dipenuhi dengan pelbagai warna yang berbeza. Kulit binatang yang telah disamak akan direndam dan dicairkan dengan menggunakan sejenis asid dari najis merpati sebelum dipindahkan ke bekas lain yang mengandungi pewarna sayuran seperti inai, kunyit dan pudina. Apabila proses penyamakan ini telah selesai, ianya dikeringkan di atas bumbung Medina. Ini semua dicapai secara kaedah manual, tanpa memerlukan jentera moden. Mereka ini bekerja dalam keadaan yang sangat panas sehingga suhu sebanyak 40 darjah dan  ke atas. Mungkin kaedah yang digunakan adalah melalui proses tradisional sahaja, oleh itu saya dapat lihat kurangnya penekanan terhadap pembersihan dan keselamatan. Walaupun begitu, bagi saya ia tetap unik kerana bukan senang kita lihat pemprosesan yang menggunakan kaedah orang-orang dahulu. Dikatakan tempat ini telah wujud dalam abad yang ke-9 lagi dan kita dapat lihat pemandangan kota lama Medina melalui balkoni, sememangnya ianya tidak berubah sejak abad yang ke-11. 

Tempat proses penyamakan kulit dilakukan
Kulit yang telah disamak akan dikeringkan di bumbung atap atau balkoni

Produk barangan kulit yang telah siap diproses sepenuhnya
 bersambung.....

 

No comments:

Post a Comment