Saya
melihat di sekeliling saya. Lama saya amati tempat ini, masih terpinga-pinga
seolah-olah sekarang saya berada di dunia yang lain. Mimpikah ini? Sudah banyak
acap kali saya mengunjung ke luar Negara tetapi kali ini terasa cukup asing
bagi saya. “Wah, begini rasanya berada di Fez” kata saya bersendirian.
Dimaklumkan
bahawa di Fez ini kaya dengan bandar-bandar yang bersejarah. Fez merupakan bandar
ketiga terbesar di Maroko dan terdapat
dua bangunan kota lama yang dipanggil sebagai Fes el-Bali dan Al-Qarawiyyin.
Sudah 1000 tahun lamanya ataupun lebih namun seni bina dan strukturnya masih
sama dan tiada sebarang perubahan yang dilakukan. Apa dilihat dari zaman
dahulu, ia tetap sama walau ditatap pada zaman sekarang.
Fes
el-Bali merupakan bangunan yang tertua di tempat itu sementara pula
Al-Qarawiyyin adalah Universiti yang telah wujud lamanya dan masih lagi
beroperasi sehingga kini. Saya juga diberitahu bahawa usianya melebihi dan sebelum
lahirnya Universiti Oxford, yang kita sedia tahu bahawa ianya juga merupakan
universiti yang tertua di London, England. Sebelum ini saya tidak berapa
didedahkan dengan sejarah lagi-lagi dari luar Negara. Apabila mendengar
penjelasan daripada pembawa pelancong terasa diri ini begitu cetek. Itulah,
bila ada kelas sejarah pergi memonteng je kerjanya.
Saya
bersama kumpulan yang lain akan dibawa untuk melawat kota lama Medina setelah
selesai diberikan taklimat mengenai bandar di Fez. Keunikan kesemua bangunannya
difahamkan bahawa ia disumbangkan oleh tokoh-tokoh islam dalam bidang seni bina
dari Maroko pada zaman kegemilangan kerajaan Islam di Sepanyol. Kesannya masih
dapat dilihat sehinggalah sekarang. Medina di Fez juga dianggap sebagai bandar
bersejarah yang paling meluas dan ia terperlihara kerana bangunannya yang masih
mengekalkan ciri-ciri pada zaman arab pertengahan.
“Okay, kita dah sampai ke kota lama Medina.” Maklum
si pemandu pelancong itu. Sekali lagi saya terpinga-pinga. Entah kenapa, satu
perasaan yang berlainan seperti dibawa pada zaman itu walhal saya sendiri tidak
pernah laluinya. Saya betul-betul berada di pintu gerbang Bab Bou Jelod atau
The Blue Gate untuk masuk ke Medina. Agak lama saya menjamah suasana di situ.
Terdapat jurang perbezaan di antara Fez dan tempat yang berada di Marrakech
yang kebanyakan terdiri dari orang yang kaya-raya. Di situ, saya dapat lihat
dari struktur bangunan, suasana amatlah berbeza sekali.
Gerbang utama Bab Bou Jelod |
Universiti dan juga masjid Al-Qarawiyyin |
Pemandu
pelancong itu memberitahu bahawa Medina Fes el-Bali ini diwartakan oleh UNESCO
dan telah mengangkat gelarannya sebagai World
of Heritage atau Tapak Warisan Dunia. Dari pandangan saya, ianya perlu
dijaga untuk mengekalkan warisan agar tidak ditelan dek zaman. Bukan itu
sahaja, penting untuk disaksikan oleh generasi yang akan datang nanti. Dahulu,
ia pernah menjadi ibu kota Maroko dan sebagai tempat perlindungan untuk rakyat daripada ancaman
musuh-musuh luar, yang di antaranya terdiri dari Andalusia dan Cardoba.
Patutlah terdapat banyak tembok dalam sepanjang perjalanan kami. Tembok-tembok
ini katanya telah dibina oleh pemerintah pada zaman itu untuk melindungi rakyat
jelata.
Pemandu
pelancong itu berkata bahawa kita akan menemui banyak gerai makanan, seramik,
tekstil dan lain-lain tidak kira di mana kita lalui di pelosok jalan. Kita akan
temui kedai-kedai secara satu persatu. Sangat senang untuk tersesat di dalam
kota ini jika kita tidak biasa dengan tempat ini. Setelah berasak-asak di situ,
akhirnya tiba di kedai menjual makanan. Kota lama di Medina ini juga terkenal
dengan makanan tempatan seperti buah-buah kering dan makanan laut segera. Memang
tidak akan nampak kereta yang lalu lalang di situ, yang ada cuma keldai. Saya
difahamkan bahawa pada zaman itu beginilah cara mereka membawa segala barangan
mereka untuk perniagaan yang hanya menggunakan keldai takpun kereta sorong yang
memuatkan tenaga sebanyak tiga orang untuk menolaknya. Hendaklah berhati-hati
ketika melalui di kawasan itu agar tidak disodok dengan kereta sorong itu.
Tambahan pula, jalan di situ selalunya basah dan licin.
Keldai sebagai pengangkutan untuk barangan perniagaan |
Kemudian,
kami terus dibawa ke tempat yang paling dinanti-nantikan, bak kata orang kalau
datang ke sini tapi tidak pergi ke tempat itu, memang merugikan. Kami perlu
menaiki tangga yang sememangnya sempit untuk ke sana. Tidak lama kemudian,
akhirnya tibalah kami di kedai kulit binatang ternakan tempatan. Di Fez,
barangan kulit adalah merupakan tempat penyamakan kulit binantang yang paling
lama di dunia yang diberi nama sebagai Leather
Souq. Di situ kita boleh belajar sedikit sebanyak bagaimana mereka memproses
kulit binatang. Penyamakan bermaksud zat yang digunakan untuk memasak serta
mewarnai kulit binatang. Kulit-kulit yang sudah dimasak akan menjadi lembut
supaya boleh untuk membuat produk barangan. Orang ramai menunjukkan
riak wajah yang gembira dan teruja. Maklumlah, di sinilah boleh membeli-belah
barangan kulit dengan harga yang murah! Ada yang membuat tawar-menawar sehingga
50%.
Kami pun dibawa ke balkoni di mana di situlah
tempat penyamakan kulit binatang dilakukan. Proses penyamakan ini terdiri
daripada bekas-bekas batu yang besar yang dipenuhi dengan pelbagai pewarna dan cecair yang berbau. Deria
saya terus menangkap satu bau yang kurang menyenangkan. Ya Allah, boleh tahan
dasyatnya. Rasanya tidak semua orang boleh tahan dengan baunya yang agak tidak
selesa itu. Jadi, kami diberikan daun perisa
mint untuk dijadikan sebagai topeng. Kebanyakan mereka
menyamak kulit dari kambing atau biri-biri di mana ianya diproses sehingga menjadi produk
kulit berkualiti tinggi seperti beg,
baju, kasut, selipar dan lain-lain.
Kami lihat para pekerja berdiri di dalam
bekas yang disusun seperti sarang lebah jika kita lihat dari pandangan atas.
Setiap bekas itu dipenuhi dengan pelbagai warna yang
berbeza. Kulit binatang yang telah disamak akan direndam dan dicairkan dengan menggunakan sejenis asid dari
najis merpati sebelum dipindahkan ke
bekas lain yang mengandungi pewarna
sayuran seperti inai, kunyit dan pudina. Apabila
proses penyamakan ini telah
selesai, ianya dikeringkan di atas
bumbung Medina. Ini semua dicapai secara kaedah manual, tanpa memerlukan jentera moden. Mereka ini bekerja dalam keadaan yang sangat panas sehingga suhu sebanyak 40 darjah
dan ke atas.
Mungkin kaedah yang digunakan adalah melalui
proses tradisional sahaja, oleh itu saya dapat lihat kurangnya penekanan
terhadap pembersihan dan keselamatan. Walaupun
begitu, bagi saya ia tetap unik kerana bukan senang kita lihat
pemprosesan yang menggunakan kaedah orang-orang dahulu. Dikatakan tempat ini
telah wujud dalam abad yang ke-9 lagi dan kita dapat lihat pemandangan kota
lama Medina melalui balkoni, sememangnya ianya tidak berubah sejak abad yang
ke-11.
Tempat proses penyamakan kulit dilakukan |
Kulit yang telah disamak akan dikeringkan di bumbung atap atau balkoni |
Produk barangan kulit yang telah siap diproses sepenuhnya |
No comments:
Post a Comment