Pages

27 November 2013

Hong Kong: Sensasi Keriangan Seisi Keluarga (Bahagian Kedua)



Bershopping sakan di kota Hong Kong

Sekiranya bertandang ke Hong Kong, tidak sah kunjungan anda jika tidak ke Ladies Market. Di sinilah salah satu tempat terbaik untuk membeli-belah di kota metropolitan ini.

Saya berkesempatan untuk berjalan-jalan di pasar malam ini pada hari pertama saya berada di sana. Wow, saya suka akan limpahan cahaya lampu-lampu neon yang terdapat di sekitar kawasan pasar ini. Begitu happening!

Ladies Market
Ladies Market ini kelihatan sama seperti Petaling Street di Kuala Lumpur. Terdapat beratus-ratus gerai menjual pelbagai jenis cenderahati seperti pakaian, jam tangan, beg tangan, key chain, lukisan, fabrik dan macam-macam lagi.

Para pelancong digalakkan untuk berhati-hati ketika membeli-belah di Ladies Market. Oleh kerana tempat ini sering dikerumuni oleh ratusan orang pada setiap masa, risiko berlakunya kecurian adalah agak tinggi. Jadi, jangan terlalu leka membeli-belah sehingga terlupa pula tentang keselamatan diri dan barangan peribadi anda.

Hasil lukisan tangan yang dijual di Ladies Market
Tambah lagi, anda perlu tahu untuk tawar-menawar sekiranya ingin membeli sesuatu di Ladies Market ini. Para peniaga di sini sering kali meletakkan harga yang terlalu tinggi, jadi anda jangan begitu lekas membayar. Pastikan anda meminta diskaun agar harga yang dibayar adalah berpatutan.

Satu pantang besar yang tidak boleh anda lakukan di sini adalah tidak membeli barang selepas anda melakukan proses tawar-menawar. Sekiranya anda telah memulakan proses tawar-menawar, anda perlu membeli barangan tersebut. Para peniaga di sini akan “naik angin” sekiranya anda membuang masa mereka sedemikian. Ada kalanya para pelancong ditengking teruk oleh peniaga kerana tidak membeli sesuatu barangan selepas peniaga bersetuju memberikan harga yang terbaik.

Begitulah cara berniaga di sini, jadi kita sebagai pengunjung luar perlu akur dengan rentak mereka. Bak kata pepatah, masuk kandang kambing kita kenalah mengembek!

Ladies Market menjadi tumpuan para pelancong asing
Macam-macam ada dijual di Ladies Market
Melihat panorama Hong Kong dari atas bukit

Tempat yang paling strategik untuk menikmati panorama indah kota Hong Kong adalah di Victoria Peak.

Dengan ketinggian 552 meter, tempat ini merupakan kemuncak tertinggi di pulau Hong Kong. Untuk ke sini, para pelancong boleh menaiki teksi, bas ataupun dengan keretapi tram.

Victoria Peak
Look-out Point ataupun pusat cerap di Victoria Peak ini sentiasa sesak dengan kunjungan orang ramai. Namun begitu, penat lelah anda pasti berbaloi apabila anda melihat permandangan kota Hong Kong daripada tempat ini. Saujana mata memandang.

Tempat ini juga amat sesuai untuk anda bergambar sakan dengan ahli keluarga ataupun teman-teman. Tiada tempat lain yang seperti ini di Hong Kong.

Para pelancong sedang sibuk bergambar di Victoria Peak
Selain menikmati panorama yang indah, anda juga boleh membeli-belah di Victoria Peak. Terdapat sebuah pusat membeli-belah di sini yang dilengkapi dengan banyak kedai-kedai menarik termasuklah Hard Rock Café.

Di dalam pusat membeli-belah ini terdapat juga sebuah tarikan yang baru iaitu Madame Tussauds Hong Kong. Anda boleh bergambar dengan patung-patung lilin personaliti ternama dunia seperti Lady Gaga, Brad Pitt, Angelina Jolie, Micheal Jackson, Shah Rukh Khan, Jackie Chan, Bruce Lee dan sebagainya.

Dengan bayaran masuk kira-kira HKD200 seorang, anda pasti dapat bergembira menemui selebriti kegemaran anda!

Untuk menghilangkan rasa lapar dan dahaga, terdapat juga café-café seperti Starbucks dan Pacific Coffee di kawasan Victoria Peak ini. Sambil anda duduk-duduk, anda boleh menikmati keindahan permandangan Hong Kong dari altitud yang tinggi.

Pemandangan kota Hong Kong yang begitu indah dari puncak Victoria Peak

Kenangan yang terindah

Hong Kong sememangnya destinasi yang perfect untuk keriangan seisi keluarga yang maksima. Macam-macam tarikan terhebat ada di kota ini. Sesuai untuk semua peringkat usia dan citarasa.

Bagi saya, kenangan terindah adalah ketika berada di Hong Kong Disneyland. Seolah-olah seperti sehari tersesat di alam fantasi yang begitu menyeronokkan. Taman tema ini sememangnya terbina bukan untuk kanak-kanak sahaja, bahkan untuk orang dewasa juga.

Kota Hong Kong pada awal pagi...
Walaupun 3 hari di Hong Kong terasa begitu singkat sekali, tetapi saya berasa amat puas. Banyak pengalaman yang sempat saya kutip dan beribu-ribu gambar berjaya saya rakamkan sebagai tanda kenang-kenangan.

Sememangnya saya perlukan masa yang lebih untuk meronda-ronda ke seluruh bandar Hong Kong. Terlalu banyak lagi tempat yang ingin saya lawati di sini namun masa tidak mengizinkan saya untuk berbuat demikian. In Sha Allah mungkin di masa yang akan datang.

Baca catatan perjalanan saya ke Shenzhen pada artikel yang akan datang.




1 comment:

  1. Victoria Peak memang tempat menarik, tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Prasarana yang disediakan di puncak ini dan dari puncak ini juga kita dapat melihat Kota Raya Hong Kong yang tersegam indah dengan bangunan-bangunan pencakar langit bagaikan pucuk buluh madu yang tumbuh amat menarik sekali.

    ReplyDelete