Pages

27 November 2013

Hong Kong: Sensasi Keriangan Seisi Keluarga (Bahagian Pertama)



Pada pertengahan bulan November yang lalu, saya amat bertuah kerana berpeluang untuk terbang ke kota Hong Kong bersempena dengan lawatan istimewa POTO Travel & Tours bersama-sama dengan Utusan Malaysia.

Lawatan ke Hong Kong ini amat saya tunggu-tunggu kerana saya pasti kota metropolitan ini bakal menjanjikan seribu satu cerita menarik untuk saya berkongsi dengan para pembaca.  

Hong Kong merupakan salah satu destinasi pelancongan yang paling sesuai untuk seisi keluarga. Banyak tarikan pelancongan hebat ada di sini. Tidak kira usia, jantina mahupun minat, Hong Kong ada sesuatu untuk semua.

Bagi para pelancong dari Malaysia, Hong Kong sering menjadi pilihan kerana jaraknya yang tidak begitu jauh daripada tanahair. Kebanyakan penerbangan hanya mengambil masa kira-kira empat jam sahaja. Tambahan pula, kadar tukaran matawangnya yang tidak terlalu tinggi membuatkan ia begitu cocok sebagai destinasi ‘makan angin’ mampu-pergi untuk semua.

Walaupun ini merupakan kali kedua saya melancong ke Hong Kong, namun rasanya seperti kali yang sulung. Saya berasa sangat teruja. Mungkin kerana kali ini, saya tahu saya bakal menjejakkan kaki ke taman tema ulung di sini, Hong Kong Disneyland!

Istana Cinderella di HK Disneyland
Pelawat yang memenuhi HK Disneyland
Tarikan baru di Disneyland

Sejak pintunya dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada tahun 2005, Hong Kong Disneyland tidak putus-putus menjadi tumpuan para pelancong yang datang ke tempat “paling gembira di dunia” ini.

Walaupun saiznya agak kecil jika dibandingkan dengan Disneyland yang asal di California U.S.A., namun ianya tidak bermakna “cawangan” di Hong Kong ini kurang daya penariknya.

Pemandangan menarik di HK Disneyland
Saya meluangkan satu hari suntuk bagi meneroka keseluruhan alam fantasi ciptaan manusia ini. Hong Kong Disneyland terdiri daripada empat kawasan bertema klasik, iaitu Main Street U.S.A., Adventureland, Fantasyland dan Tomorrowland.

Menjelang tahun 2014, Hong Kong Disneyland bakal merangkumi sejumlah tujuh kawasan bertema utama selepas penambahan Grizzly Trail, Mystic Point dan Toy Story Land baru-baru ini.

Setelah 8 tahun dibuka, kini Hong Kong Disneyland muncul dengan penambahan satu lagi daya tarikan yang terbaru iaitu taman tema Mystic Point. Ini merupakan tarikan kegemaran saya di sini.

Mystic Manor di HK Disneyland
Mystic Point berkonsepkan sebuah kawasan estet pada tahun 1896 dengan sebuah rumah agam besar kepunyaan Lord Henry Mystic. Lelaki kaya ini gemar mengembara ke serata dunia dan membawa pulang barang-barang antik yang pelik dan menakutkan.

Anda berpeluang untuk masuk ke dalam rumah agam beliau yang juga dikenali sebagai Mystic Manor.  Dengan menaiki kereta kabel kecil, anda akan dibawa ke seluruh kawasan rumah tersebut untuk menyelongkar segala misteri di sebalik barangan antik yang terdapat di dalamnya. Jangan melatah pula nanti jika terserempak dengan patung-patung yang bergerak!

Di sekitar kawasan Mystic Manor tidak kurang menariknya juga. Diberi nama Garden of Wonders dan Mystic Point Freight Depot. Kedua-dua tempat ini menyediakan pelbagai skulptur dengan ilusi 3D, tempat yang syiok untuk berseronok sambil bergambar sakan!

Pelawat bergambar dengan karakter-karakter di HK Disneyland
Persembahan musikal "Festival of Lion King"

Bertemu dengan karakter klasik Disney

Perarakan tengahari di Hong Kong Disneyland merupakan acara utama di sini yang tidak boleh para pengunjung tinggalkan. Perarakan penuh warna-warni ini dipanggil Flights of Fantasy.

Sejam sebelum perarakan bermula, bibir-bibir jalan yang menjadi laluan rasmi acara ini sudah pun mula dipenuhi dengan para pelancong yang mahu memastikan viewing spot yang cantik.

Perarakan ini amat istimewa kerana inilah masanya anda berpeluang untuk bertemu dengan karakter-karakter klasik Disney kegemaran anda seperti Mickey dan Minney Mouse, Donald Duck, Goofy, Cinderella, Winnie the Pooh dan sebagainya.

Hai, Mickey Mouse!
Belon istimewa yang dijual di HK Disneyland
Selain melihat maskot-maskot yang comel riang berdansa, perarakan ini juga diserikan lagi dengan pertunjukan akrobatik, persembahan tarian dan pancaragam yang begitu hebat.

Pastikan anda membawa kamera anda kerana acara perarakan ini adalah masa yang paling sesuai untuk anda mengambil gambar-gambar yang menarik sebagai kenangan terindah.

Perarakan yang mengambil masa 30 minit ini berlangsung setiap hari di kawasan Main Street U.S.A.

Snow White yang rupawan!
Penari di perarakan Flights of Fantasy
Persembahan akrobatik semasa perarakan Flights of Fantasy
Seorang penari di perarakan Flights of Fantasy
Restoran berstatus Halal kini dibuka di Hong Kong Disneyland

Setelah letih seharian berjalan-jalan di sekitar taman tema ini, perut pun menjadi lapar. Alhamdulillah, kepada pengunjung beragama Islam, hal mendapatkan makanan halal tidak perlu menjadi kerisauan.

Terletak di kawasan Adventureland, Tahitian Terrace merupakan restoran di dalam kawasan Disneyland ini yang telah mendapat status halal oleh Jabatan Agama Islam Hong Kong.

Tahitian Terrace
Restoran yang berkonsepkan taman dalam rimba
Restoran yang berkonsepkan taman dalam rimba ini menjual pelbagai makanan selera Asia seperti laksa kari, nasi beriyani, nasi ayam, nasi lemak dan sebagainya.


Hong Kong Disneyland juga dipenuhi dengan gerai-gerai kecil yang menjual minuman sejuk, bertih jagung perisa karamel, gula-gula kapas dan snek yang lain.

Nasi beriyani yang halal. Yummy!

[Bersambung]

No comments:

Post a Comment