Countdown

26 December 2013

Paris of the East, Budapest! (Part 1)


Pagi itu saya dikejutkan dengan deringan telefon bimbit yang memekik di telinga. Walaupun telah banyak kali berbunyi, entah kenapa mata saya amat berat untuk membukanya.  Tilam yang empuk serta bantal yang lembut membuatkan saya begitu malas untuk bergerak. Saya menjeling ke arah jam, terus terduduk. Masih tidak percaya yang kini saya telahpun berada di Budapest! Peluang yang julung-julung kalinya ke Eropah Timur ini tidak saya lepaskan bersama agensi yang sering menjadi pilihan utama, POTO Travel & Tours.

Budapest terletak di Hungary dan merupakan kota yang paling cantik di Eropah di mana ia digelar sebagai Paris Timur. Antara tempat yang dilawati di Eropah Timur, di sini merupakan destinasi yang menjadi kegemaran saya kerana di sinilah letaknya monumen sejarah serta seni binanya yang cantik.  Di tengah-tengah kota Budapest ini terdapat satu sungai yang terbesar di Eropah, iaitu Danube River.
 
Budapest merupakan gabungan antara dua kawasan yang berbeza di mana Buda ialah kawasan di sebelah barat manakala Pest terletak di sebelah Timur. Ia mempunyai tujuh jambatan yang menghubungkan Buda dan Pest di mana salah satu daripadanya ialah Chain Bridge, sebuah jambatan yang paling terkenal dan cantik. 

Chain Bridge dan juga Danube River

Tempat pertama yang harus dikunjungi ialah Fisherman’s Bastion, iaitu sebuah kubu pertahanan atau benteng yang dibina dari tahun 1895 sehingga 1902 dan merupakan mercu tanda bagi Hungary. Menurut sejarah, ia dibina sempena menghargai jasa nelayan-nelayan yang telah mempertahankan bandar ini daripada serangan pihak musuh dengan tujuh puncak menara yang melambangkan tujuh puak Magyar

Jika diamati, ia kelihatan mirip dengan istana Disneyland yang selalu kita lihat dalam animasi. Gaya seni binanya ini diilhamkan pada zaman awal pertengahan Neo-Romanesque sejak kira-kira 1000 tahun lamanya, bermula di bawah pemerintah  Raja Hungary. Saya dapati bahawa dinding yang terdapat di Fisherman’s Bastion agak baru, di mana keseluruhan struktur bangunan adalah lebih kepada teres-teres yang mewah, tidak kelihatan seperti benteng atau dinding istana kerana selain dindingnya yang dicat putih, terdapat banyak tingkap, bangku batu dan pintu gerbang di mana tidak dapat dilihat pada dinding istana yang lain.

Pemandangan sekitar Fisherman's Bastion      





Antara bahagian dalam yang terdapat di Fisherman's Bastion

Fisherman’s Bastion dikatakan dibina selepas istana gaya Gothic yang dikenali sebagai Buda Castle yang dibina pada tahun 1265. Ia  menjadi lambang kebangaan King Sigismund dan Raja Matthias sejak dari abad ke-14. Diberi pengisytiharan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 1987, kawasan istananya agak luas, merangkumi hampir seluruh kawasan bukit di tepian sungai.
 
Kebanyakan kawasannya telah musnah akibat berlakunya serangan pengeboman German dan Soviet ketika perang dunia kedua sehingga terpaksa menjalani pembinaan semula pada tahun 1950-an. Istana ini sebenarnya didirikan di hujung selatan Castle Hill yang dikelilingi oleh Varbegyed, iaitu daerah istana yang terkenal dengan zaman pertengahan, Baroque, rumah-rumah abad ke-19, gereja dan bangunan awam. 

Saya dapat melihat sambil  menikmati pemandangan sekitar kawasan Pest dari sini dengan jelas apabila mendaki ke bukit ini. Terdapat banyak cara untuk sampai ke puncak ini  selain berjalan kaki, iaitu dengan menggunakan pengangkutan awam seperti teksi, bas dan funicular atau dipanggil Budavari Siklo. Funicular bermaksud kereta api yang digerakkan menggunakan kabel.

Pemandangan yang dilihat dari puncak Castle Hill



Sangat cantik ketika waktu malam

Terletak di hadapan Fisherman’s Bastion dan ditengah-tengah daerah Buda Castle, di situ boleh menemukan sebuah gereja Roman Katolik iaitu Matthias Church. Menurut informasi yang saya dapat, pada asalnya gereja ini dibina sekitar tahun 1015 dengan seni bina gaya Romanesque yang terkenal dengan bercirikan pintu gerbang yang berbentuk separa bulat pada zaman pertengahan Eropah. Digelar sebagai Church of Our lady sempena Raja Matthias yang telah melakukan transformasi terhadap menara selatan, gereja ini telah menjalani beberapa adegan pertabalan termasuklah Charles IV pada tahun 1916 (Raja Habsburg yang terakhir). 

Selain itu, gereja ini juga dijadikan sebagai tempat berlangsungnya majlis perkahwinan bagi Raja Matthia bersama Catherine dari Podebrady dan Beatrice dari Naples. Majoriti khazanah dari gereja ini dihantar ke Pressburg yang kini dikenali sebagai Bratislava apabila ia ditawan pada tahun 1541 dan menjadi masjid utama di bandar ini. Lukisan yang terdapat di dinding itu telah dibersihkan dengan menggunakan cat putih dan segala hiasan dibawa keluar dari situ.  Difahamkan bahawa gereja ini dibangunkan semula pada abad ke 13 selepas mengalami kebakaran ketika dikepung oleh Holy League.





Seni bina yang unik di bahagian dalam gereja

Saya hanya bercadang untuk meninjau di sekitar gereja Matthias dan juga Opera House, yang terletak di pusat bandar Budapest. Opera House ini merupakan bangunan yang terbesar di Hungary dimana auditorium yang boleh memuatkan sehingga 1200 orang. Terdapat patung Ferenc Erkel yang berdiri di hadapan Opera House ini, yang merupakan komposer lagu kebangsaan Hungary dan juga pengarah muzik opera yang pertama. Selain itu, terdapat juga patung bernama Ferenc Liszt, yang juga merupakan komposer Hungary yang terkenal. 




Kawasan Auditorium





Bersambung...

No comments:

Post a Comment