Countdown

7 December 2013

[TIPS] 5 Cenderahati Popular Wajib Beli

Artikel asal di laman sesawang rasmi Majalah LIBUR


Tidak lengkap rasanya jika melancong tidak membawa balik cenderahati sebagai tanda kenangan mahupun buat hadiah kepada teman-teman. Kali ini, kami senaraikan barang pemberian paling popular yang sering dibeli oleh pelancong.

1. Rantai Kunci
Pemberian rantai kunci atau keychain adalah pemberian yang paling popular saat melancong. Kebanyakan rantai kunci sangat mudah untuk diperolehi. Jika anda tidak berkesempatan atau lupa membeli buah tangan, rantai kunci turut boleh diperolehi di lapangan terbang. Kebanyakan rantai kunci lebih murah dijual apabila anda membeli dalam jumlah yang banyak. Rantai kunci menjadi satu pemberian yang berguna dan boleh diingati sampai bila-bila kerana ia pemberian yang mudah dibawa ke mana-mana.

2. Magnet
Ada sesetengah pelancong gemar mengumpul besi berani atau magnet dari negara yang dikunjungi sebagai tanda bahawa sudah menjejakkan kaki ke negara tersebut. Pemberian magnet yang pelbagai corak dan warna ini cukup bererti jika diberi kepada teman yang mengharapkan pemberian dari anda.  Selain murah dan mudah didapati, mengumpul dan menampal magnet seperti di pintu peti sejuk kini boleh menjadi hobi seseorang setelah balik melancong.

3. Baju T
Pemberian baju T biasanya untuk rakan-rakan yang sudah membuat pesanan. Harga setiap baju T yang mempunyai mesej tentang negara yang dikunjungi adalah berbeza mengikut fabrik dan rupa. Namun, kebanyakan pelancong gemar membeli baju t yang ringkas dan tidak banyak corak. Baju t popular yang menjadi kegemaran ketika melancong untuk dibawa pulang adalah tulisan ringkas dan terdapat simbol negara.

4. Minyak Wangi
Minyak wangi biasanya dibeli untuk seseorang yang istimewa dan ahli keluarga yang terdekat. Ada sesetengah minyak wangi dari negara tertentu dijual murah tapi pembelian agak terhad menjadikan minyak wangi bukanlah hadiah yang boleh disenarai paling atas.

5. Aksesori Lain
Gelang manik, rantai, pen atau apa saja aksesori kecil turut menjadi cenderahati untuk dibawa pulang sebagai kenang-kenangan. Selain boleh dibeli dengan banyak dan tidak mempunyai masalah ruang untuk menyimpan di dalam beg, ia boleh dipakai pada bila-bila masa dan di mana saja. Meskipun jam tangan yang anda beli bukanlah yang asli tetapi nilai hadiah yang dibeli dari negara yang anda kunjungi lebih penting. Maklumlah, ia diperolehi dari jauh!

Melanconglah ke mana sekalipun, walau sekadar poskad menjadi cenderahati tetapi tetap memberi seribu kenangan buat si penerima. 

No comments:

Post a Comment