Countdown

2 January 2014

Sejenak Rasa di Bukhara (Bahagian 2)

bersambung dari bahagian 1...
 
Hanya beberapa meter dari Menara Kalyan, tersergam satu lagi monumen yang menggabungkan pengaruh seni bina Arab dan India, iaitu Mir-i Arab yang membuktikan pengaruh dan peranan Bukhara sebagai pusat penyebaran Islam suatu ketika dulu. Kadang-kala boleh berlaku kekeliruan oleh kerana kebanyakan bangunan yang terdapat di dalam bandar adalah berhampiran antara satu sama lain.
 
Difahamkan bahawa madrasah ini dibina sekitar abad ke-16, di mana dua kubah besar yang berwarna hijau zamrud adalah merupakan reka bentuk yang paling utama dan dominan. Pintu gerbang dan dinding pula dihiasi dengan corak berwarna-warni dan tulisan khat yang kelihatan seperti bangunan Taj-Mahal. Madrasah ini pernah ditutup ketika penaklukan Soviet dan dibuka semula pada tahun 1944. Lebih banyak madrasah didirikan apabila pemerintah komunis cuba meraih dan mendapatkan sokongan daripada penduduk Islam ketika berlakunya Perang Dunia Kedua dan setelah Uzbekistan dibebaskan daripada dijajah dan merdeka pada tahun 1991.
 
Madrasah ini dikelilingi oleh blok-blok yang menempatkan asrama pelajar dan bilik darjah serta berorentasikan segi empat yang mengandungi ruang legar yang luas di bahagian tengah bangunan itu, lebih kurang seperti kebanyakan yang terdapat pada pusat pendidikan islam yang lain. Selain itu, sebanyak kira-kira 250 pelajar dapat dimuatkan di dalam madrasah yang mendapat pendidikan agama seawal umur empat tahun. Saya tidak berpeluang untuk mengunjungi ke sini kerana kelihatan pelajar-pelajar sedang khusyuk mendengar ceramah dan membaca buku kitab.

Kawasan di sekitar madrasah Mir-i Arab yang berdekatan dengan Masjid dan Menara Kaylan



Ukiran corak yang sangat detail dan teliti


Kemudian, meneruskan pengembaraan ke masjid yang dikatakan paling kuno atau tertua di Asia Tengah pada abad ke-12, iaitu Magoki Attari yang terletak di pusat bandar berhampiran dengan kompleks tayar Lyabi hauz. Ia dikenali sebagai Mosque in the pit iaitu masjid di dalam lubang atau masjid dalam kerana struktur bangunan masjid adalah lebih rendah dan seperti tenggelam daripada jalan-jalan sekitarnya pada abad ke-12. Hanya bahagian atas masjid sahaja yang kelihatan  apabila penggalian semula pada abad ke-20. Sebelum penakluan Arab, pasaran dagangan untuk rempah ratus dan jualan herba telah ditubuhkan di tapak masjid ini. 

Pada asalnya ia adalah sebuah kuil yang  dihuni oleh penganut Buddha, kemudian sebuah kuil Zoroaster dibina pula pada abad ke-5. Zoroastrianisme adalah kepercayaan monoteistik dan agama rasmi bagi  Empayar Parsi sebelum kebangkitan Islam. Masjid Maghoki-Attar dikatakan telah digunakan oleh orang-orang Yahudi sebagai rumah ibadat di malam hari sehingga ia telah dibina semula pada abad ke-16. Gempa bumi memusnahkan masjid pada tahun 1860 dan telah digali dan dibaik pulih pada tahun 1930-an. Di dalam masjid, pengunjung boleh melihat sebahagian daripada penggalian yang telah dibiarkan terdedah dan pameran permaidani Bukhara dan sejadah.






Permaidani yang dijual

Salah satu daripada tapak keagamaan yang  paling penting, terletak 12 kilometer dari di Bukhara, ialah Kompleks Memorial Bahauddin Naqshbandi. Ia merupakan makam yang tersohor Syekh Bahauddin, seorang wali Qutub yang masyhur pada tahun 717 di Qoshrul Arifan, Bukhara. Beliau adalah pengasas tariqat yang berpengaruh dalam gerakan mencari ilmu Tasawuf, iaitu mendekatkan diri kepada Allah. Agak susah untuk merungkaikan sejarah mengenai beliau kerana semasa hayat hidupnya,  para pengikutnya dilarang untuk mencatatkan segala ucapan-ucapannya. Beliau dilahirkan pada tahun 1318 dan meninggal dunia sekitar tahun 1389.  Syekh Bahauddin menghabiskan sebahagian besar semasa zaman hidupnya di Bukhara dan daerah yang berdekatan di Transoxiana demi menjaga prinsipnya di mana merupakan salah satu bentuk “laku” iaitu “melakukan perjalanan di dalam negeri”. Ianya ditulis di dalam buku bertajuk “ Ajaran atau Rahsia dari Tariqat Naqshbandi” oleh Omar Ali Shah yang mengisahkan perjalanan jauh yang ditempuhi oleh Syekh Bahauddin  pada waktu beliau menjalankan ibadah haji sebanyak dua kali. 

Makam Bahauddin Naqshbandi


Monumen di halaman utama makam Bahauddin

Pemandangan di sekitar Kompleks memorial Bahauddin



Tempat sejarah yang paling meninggalkan kesan di Bandar Bukhara  ialah makam Imam Bukhari, iaitu seorang yang mempunyai daya ingatan yang luar biasa dan berperwatakan alim sejak meniti di usia kecil lagi. Dikatakan beliau telah menghafal 70,000 hadis Rasulullah s.a.w ketika umurnya baru di dalam belasan tahun. Dilahirkan pada 13 syawal tahun 194 di Bukhara, beliau dijaga dan dibesarkan oleh ibunya ketika bapanya meninggal dunia waktu beliau masih kanak-kanak. Ibunya banyak berkorban untuk memberikan yang terbaik kepadanya lagi-lagi di dalam pendidikan.

Oleh kerana mempunyai kebolehan daya ingatan yang mengkagumkan, dia telah merakamkan hadis daripada Rasulullah sebanyak 7,525 buah hadis setelah meneliti lebih kurang 600,000 buah hadis dalam menyelidik kesahihahnya selama 16 tahun lamanya. Kesemua hadis yang telah dipilih itu telah dibukukan yang bertajuk "Al-Jami-al-Sahih” selepas menerbitkan bukunya yang pertama yang mengisahkan sahabat-sahabat Rasulullah dan buku sejarah iaitu "Al-Tarikh-al-Kabir" ketika umurnya mencecah 16 tahun. 

Ini adalah kerana minatnya yang sangat mendalam terhadap sejarah dan hadis-hadis Rasulullah sehingga beliau mengembara ke serata tempat untuk bertemu dengan tenaga pengajar yang terulung dalam mempelajari dan membincangkan hadis Rasulullah. Antaranya ialah mengunjungi ke Kaherah, Baghdas, Madinah, Damsyik dan lain-lain lagi. Beliau sering kali bertemu dan berbincang dengan pengasas fahaman mazhab Hanbali, iaitu Imam Ahmed Hanbal ketika berada di Baghdad.




Tempat pendidikan dalam mempelajari Hadis


Meluangkan masa sehari suntuk di bandar Bukhara banyak dapat saya pelajari mengenai kota tamadun islam yang masyur ketika suatu dahulu. Setidak-tidaknya, pendedahan mengenai sejarah di negara lain terutamanya dalam Islam ini sedikit sebanyak dapat menambahkan ilmu di dada. Seperti yang selalu kita dengar, tuntutlah ilmu sehingga ke menara gading. Makin lama ilmu yang kita dapat, makin banyak yang kita rasa perlu dipelajari. Sesungguhnya ilmu itu luas dan tidak akan habis! Insha Allah, jika diberikan kesempatan lagi, saya ingin pergi ke tempat-tempat sebegini serta menerokai sejarah dunia di muka bumi ini.

POTO Travel & Tours ada menawarkan pakej yang menarik ke Uzbekistan dengan harga RM 4,667 selama 8 hari dan 6 malam. Diskaun yang istimewa diberikan kepada warga emas dan juga kanak-kanak. Anda akan disajikan ke tempat-tempat bersejarah bukan sahaja di bandar Bukhara malah ke Tashkent dan Samarkand! Untuk mengetahui info lanjut, sila layari laman sesawang rasmi POTO di www.pototravel.com.my atau hubungi kami di talian 03-9200 6640.

2 comments: