Countdown

2 January 2014

Sejenak Rasa di Bukhara (Bahagian 1)


Tersenyum riang walaupun ia telah berlalu seminggu yang lepas. Memori indah berada di Uzbekistan meggamit rasa dan tidak lekang berada di minda. Banyak ilmu yang dapat saya timba sambil memerhati sepanjang pengalaman berada di negara orang. Bak kata pepatah “ a traveler without observation is a bird without wings” oleh Moslih Eddin Saadi. Alhamdulillah, banyak perkara saya pelajari untuk menghargai sesebuah perjalanan dan pengembaraan yang diniatkan atas kerana Allah SWT.

Kali ini saya ingin kongsikan pengalaman yang tidak saya lupakan ketika berada di Bukhara, yang merupakan ibu kota Uzbekistan. Bukhara ialah sebuah bandar muzium, mempunyai kira-kira 140 buah monumen seni bina dan dinobatkan sebagai bandar kelima yang terbesar di mana ia diduduki seramai 263,400 orang pada tahun 2009. Kawasan di sekitar Bukhara ini didiami lebih kurang lima ribu tahun lamanya. Terletak di Road Silk atau Jalan Sutera, bandar ini telah dijadikan sebagai pusat perdagangan, biasiswa, budaya dan agama. Pusat sejarah Bukhara yang mengandungi banyak masjid dan madrasah ini telah disenaraikan oleh UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia.  Bandar ini telah lama bercampur populasi termasuklah orang-orang yahudi dan etnik minoriti yang lain. Parsi berbahasa Tajik atau Persian-speaking Tajik merupakan unsur yang terbesar dalam penduduk bandar ini.

Lawatan yang pertama dikunjungi di sekitar bandar Bukhara ialah ke Ismael Samani Mausoleum iaitu makam yang terletak di bandar bersejarah Bukhara, yang merupakan sebuah taman di atas tapak tanah perkuburan purba. Makam ini dibina antara tahun 892 sehingga 943 dan dikatakan adalah salah satu pemandangan yang paling dihormati dalam seni bina Asia Tengah sebagai tempat beristirehat bagi Ismail Samani. Beliau merupakan seorang tokoh yang berkuasa  dan berpengaruh semasa Dinasiti Samani pada abad ke-9 dan ke-10. Walaupun pada mulanya Samanids adalah dari Gabenor Khurasan dan Transoxiana yang di bawah kekuasaan Khalifah Abbasiyyah, dinasti ini telah ditubuhkan tidak lama kemudian sebagai  tanda kemerdekaan dari Baghdad.





Ukiran yang terdapat di dalam Makam Ismail

Pandangan atas siling dengan ukiran yang menakjubkan!


Terletak tidak jauh dari bangunan Ismail Samani, berdekatan dengannya pula ialah juga sebuah makam yang diberikan nama sebagai Chashma Ayub. Makam ini merupakan perpustakaan yang telah menyimpan pelbagai khazanah lama terutamanya dari Nabi Ayyub Alaihissalam. Menurut Artikel yang saya baca, tempat ini dinamakan sebagai Perigi Nabi Ayub, di mana sejarah mengatakan Nabi Ayub telah membina sebuah perigi yang berisi air dengan hanya mengetuk tanah menggunakan tongkatnya. Air yang keluar dari tanah itu dapat menyembuhkan penyakit apabila  orang-orang yang tinggal di sana pada ketika itu meminta baginda untuk berdoa kepada Allah untuk menyediakan mereka air. Sejak daripada itu, air yang dikeluarkan dari tanah ini dianggap sebagai air yang suci . Makam ini juga dijadikan tempat pengebumian wali tempatan, iaitu Hassan Bashir, di mana kuburnya telah dibina sekitar pada abad yang ke-11. Ia telah didirikan pada zaman Kalaxani, seorang pemerintah  di rantau ini sebelum kedatangan Amir Timur.




Tapak pengebumian wali tempatan, Hassan Bashir

Makam yang dikatakan sebagai pembekal air. Perigi Nabi Ayub yang berada di belakang tempat mengambil wuduk

Perigi Nabi Ayub

Selain itu, bangunan yang tinggal berhampiran dengan Makam Chasma Ayub pula ialah sebuah kubu kota Ark yang juga dipanggil sebagai Citadel Ark yang telah dibina pada kurun pertama ini dikelilingi tembok setinggi 30 meter. Namun, sejarah mengenai Bandar ini dipercayai telah wujud jauh lebih awal dari tarikh itu. Pernah menjadi kediaman bagi pemimpin Bukhara yang menempatkan istana, mahkamah, penjara, masjid, bengkel kuda, bangunan pentadbiran dan lain-lain lagi, tempat ini pernah diserang dan dibom oleh tentera Soviet sehingga hampir musnah pada tahun 1920. Kubu kota ini telah menjalani beberapa pemulihan dan pembaikan selepas berlakunya peperangan di mana salah satu daripada dua gerbang di kubu kota ini telah berjaya dibaiki iaitu pintu masuk yang terletak di sebelah barat. Kini, ia telah dijadikan sebagai muzium di mana peniaga tempatan dapat mencari rezeki di sini dengan menjual pelbagai jenis barangan untuk cenderahati termasuklah buku-buku lama hasil karya Imam Bukhari kepada para pengunjung yang datang melawat. 

Sebenarnya, terdapat kisah-kisah yang disimpan di sebalik dewan penghakiman dan penjara di dalam kota itu mengenai ketegasan pemerintahan emir iaitu ketua Bukhara. Dikatakan Kolonel Stoddard, seorang utusan British mahukan jaminan di mana Bukhara tidak akan dijadikan lalukan kepada tentera Soviet untuk meyerang India pada 1839. Ia mengundang kemarahan kerajaan Emir apabila Stoddard berkata dan berjanji bahawa British tidak akan menakluk Bukhara dengan syarat jika emir tidak bersekongkol dengan Soviet. Akhirnya, beliau dimasukkan ke dalam penjara dan dihukum bunuh kerana seperti menghina kerajaan Emir bersama Kapten Conolly, yang datang untuk menuntut pembebasan Stoddard.



Pintu gerbang Kubu Kota Ark

Bahagian dalam Kubu Kota Ark

Ukiran pada bahagian dalam pintu gerbang

Perjalanan diteruskan ke Poi Kolon atau Foot of Great Minaret yang terbahagi kepada dua bahagian iaitu kompleks yang merangkumi Madrasah dan tempat jualan dari hasil tangan masyarakat Bukhara dan juga tempat mendirikan solat. Bahagian masjid dikenali sebagai Kalyan Mosque ini dibina oleh Ubaidullah antara tahun  1512 dan 1539 yang dikenali sebagai Blue Dome atau Kubah biru. Mempunyai sebanyak 208 tiang dan kubah,  ia merupakan salah satu monumen yang paling cemerlang sejak pada abad ke-15. 

Bahagian Madrasah pula mempunyai kehebatan binaan kompleks terutama pada menara yang sangat tinggi walaupun ketika itu tidak bersandangkan kepada teknologi. Menara yang digelar sebagai Kalyan Minaret ini dibina oleh seorang pemerintah Karakhanid, iaitu Arslan Khan pada tahun 1127 yang dipenuhi dengan ukiran ayat suci al-Quran dan mempunyai 14 lapisan lukisan geometri Islam . 

Menurut lagenda, beliau telah membunuh seorang imam akibat berlaku pertelingkahan antara mereka. Pada suatu malam, roh imam itu telah datang kepadanya dan menyuruh beliau meletakkan mayatnya di satu tempat yang tidak dijumpai oleh orang ramai. Oleh itu, menara ini telah dibina menduduki dan menutupi di atas kuburnya. Apabila ia telah siap dibina, menara ini merupakan bangunan yang tertinggi di Asia tenggara dengan mempunyai ketinggian kira-kira 47 meter pula dan menjadi struktur paling menonjol selepas Kubu Kota Ark dengan keunikan reka bentuknya yang tersendiri

Menara ini pernah berfungsi sebagai menara tinjau bagi mengawal keselamatan Bukhara dan menempatkan rumah api untuk memandu pedagang di laluan Sutera. Ia tidak perlu menjalani apa-apa pembaikan struktur kerana telah kukuh selama 850 tahun kerana mempunyai hasil campuran tanah liat dan susu unta dalam bahan binaannya. 
Masjid Kalyan bersama kubah biru serta kubah-kubah kecil di sekitarnya

Halaman depan Masjid Kalyan
 


Bahagian dalam masjid

 
Mihrab dan Minbar di dalam Masjid Kalyan

Menara Kalyan yang tersergam indah



 
Antara ukiran yang terdapat pada menara Kalyan


 

bersambung...


No comments:

Post a Comment