Countdown

2 January 2014

London Yang Satu! (Bahagian 1)

Tower Bridge yang merupakan salah satu mercu tanda kota London

Goodbye Paris, Hello London!

Dari Paris, saya meneruskan siri penjelajahan akhir tahun saya ke kota London. Untuk mengelakkan diri saya daripada kesesakan di lapangan terbang, saya memilih untuk menaiki keretapi Eurostar. Keretapi berkelajuan tinggi ini hanya mengambil masa dua jam 15 minit sahaja untuk membawa para penumbang dari Paris ke London.

Harga tambang keretapi ini adalah kira-kira 70 British Pounds (kira-kira 350 Ringgit Malaysia), bergantung kepada bila dan dimana anda menempah tiket anda. Perjalanan saya bermula daripada stesen keretapi besar di Paris yang bernama Gare du Nord.

Gare du Nord Station, Paris
Pemandangan di dalam Gare du Nord Station, Paris
Keretapi Eurostar
Kabin penumbang keretapi Eurostar begitu bersih dan amat selesa. Kerusinya empuk, beberapa naskah majalah diletakkan di bahagian tempat duduk dan tandas yang bersih tersedia di setiap gerabak. Saya menghabiskan masa yang terluang dengan mengkaji fakta-fakta menarik tentang kota London di iPad saya.

Sepanjang perjalanan, saya juga dijamu dengan pemandangan kawasan pendalaman di Perancis dan England yang indah ketika waktu matahari terbenam. Subhanallah, pintarnya Kamu Ya Tuhan mencipta bumi yang penuh khazanah ini!

Keretapi Eurostar ini juga mempunyai sebuah gerabak yang diubahsuai menjadi sebuah kafe yang cantik. Pelbagai minuman, makanan dan snek ada dijual di sini. Dek perut yang mula berkeroncong, saya pergi ke café tersebut untuk membeli secawan cappuccino dan sehiris kek keju.

Saya sempat berbual pendek dengan pegawai kabin yang bekerja di kaunter pembayaran kafe tersebut. Langkah kanan saya kerana dia memberikan saya sekeping chocolate chip cookie secara percuma selepas saya memberitahu bahawa ini merupakan kali pertama saya menaiki Eurostar.

Peta perjalanan dari Paris ke London menaiki Eurostar
Pemandangan indah di sepanjang perjalanan
Gerabak cafe di dalam keretapi Eurostar
Kabin Eurostar yang selesa
Kemudian, saya beredar untuk duduk di meja yang berhampiran dengan tingkap untuk menikmati keindahan di luar keretapi. Tersentuh hati saya apabila terfikirkan betapa bertuahnya saya kerana mendapat peluang untuk merasai pengalaman hebat sebegini. Alhamdulillah.

Selepas dua jam 15 minit berlalu, saya tiba di Saint Pancras Station di London. Ini merupakan stesen keretapi yang baru dibuka bagi menggantikan stesen keretapi lama yang terletak di kawasan Waterloo.

Serba-serbi kelihatan baru di Saint Pancras Station ini. Kelihatan beberapa buah restoran dan kafe, butik pakaian, kedai menjual barangan, beberapa buah bank dan banyak lagi. Walaupun ianya adalah bangunan baru, namun stail senibinanya adalah rekaan klasik, selaras dengan imej kota London yang majestik.

Dari Saint Pancras Station, saya menaiki bas untuk ke daerah Wembley, tempat lokasi hotel yang telah ditempahkan untuk saya sepanjang berada di London.

Saint Pancras Station
Saint Pancras Station

Tempat penginapan ketika di London
Bilik hotel yang selesa
London – Hikayat 2 Kota Lama

Bandaraya London didiami oleh kira-kira 5 juta orang penduduk sahaja, tetapi seramai 3 juta orang lagi datang bekerja di sini setiap hari, terutamanya di sektor perkhidmatan kewangan. Aktiviti 3 juta pekerja kolar biru yang keluar-masuk ke bandaraya ini saban hari menjadikannya sedikit sesak pada waktu awal pagi dan awal malam.

Istilah “London” kini bermaksud bandaraya gabungan yang lebih besar berbanding dengan istilah sama yang dipakai beberapa dekat yang lalu. Kini, kota London adalah sebuah kawasan kerajaan setempat yang merangkumi 32 buah daerah perbandaran, termasuklah dua bandaraya besar iaitu Bandaraya Westminster (City of Westminster) dan juga Bandaraya London (City of London).

Pemandangan yang biasa dilihat di London
Westminster, London
Suatu pagi di kota London
Dua bandaraya utama ini merupakan tunjang keperkasaan London yang begitu penting untuk negara England. Bandaraya Westminster merupakan pusat pentadbiran dan pemerintahan, manakala Bandaraya London pula merupakan pusat kewangan dan perniagaan.

Majlis perbandaran setempat, yang dikenali sebagai Perbandaran Bandaraya London (City of London Corporation), adalah unik di United Kingdom kerana ianya memikul tanggungjawab yang agak luar biasa bagi sebuah lembaga setempat di Britain, seperti menjadi lembaga polis Bandaraya. Ia juga memikul tanggungjawab dan milikan di luar sempadan Bandaraya. Perbandaran ini diketuai oleh Datuk Bandaraya London (Lord Mayor of the City of London), iaitu jawatan yang berasingan dan lebih lama daripada Datuk Bandar London (Mayor of London).


Bandaraya London kini merupakan pusat kewangan dan perniagaan utama yang setaraf dengan Bandaraya New York sebagai peneraju pusat kewangan sedunia. Selama abad ke-19, London merupakan pusat perniagaan utama dunia, dan masih kekal sebagai tempat pertemuan utama untuk perniagaan hingga ke hari kini.

Pengawal keselamatan berkuda di kota London
Gambar rawak ketika di London
London yang cukup indah

1 comment: