Pusat bandar Kuala Lumpur adalah lokasi tepat dengan beberapa pilihan lokasi yang mampu memberi keseronokan pada waktu malam terutamanya anak-anak muda dan juga pelancong yang gemarkan hiburan sepanjang jalan. Mana hendak lepak malam ini?

Chinatown Nightlife
Hiburan malam di Chinatown mempunyai tarikannya yang tersendiri. Tolak tepi kelab malam, pab mahupun bar yang biasanya menawarkan alkohol! Sebaliknya, kunjungan anda di Petaling Street memberi harapan buat peniaga di sana. Lampu neon, bunyi bising tawar-menawar dan mainan lampu berwarna-warni akan lebih bertenaga jika anda berkunjung di malam hari.

Pasar malam Petaling Street memang tidak perlu diperkenalkan lagi. Lot-lot kedai dan gerai di sini menjadi lebih 'hidup' apabila peniaga cuba menarik perhatian pengunjung. Jika anda menjiwai suasana pasar malam Petaling Street, anda boleh melihat gelagat peniaga yang gigih mencari rezeki, pelancong yang mahukan buah tangan untuk dibawa pulang dan rakyat tempatan yang yang mahukan barangan 'berjenama' dengan harga murah.

Jalan Bukit Bintang
Jalan Bukit Bintang menawarkan hiburan tanpa had terutama menjelang tengah malam. Biarpun Jalan Bukit Bintang adalah antara jalan yang tidak pernah lengang baik siang mahupun malam, Jalan Bukit Bintang menjadi laluan pilihan ramai pelancong dari luar negara.

Terdapat banyak restoren yang menyediakan hiburan dan suasana meriah bermula dengan mainan lampu berwarna-warni sehinggalah live band. Selain deretan kelab malam dan pusat karaoke disekitarnya, anda boleh terhibur dengan gelagat anak-anak muda yang berbakat dan berjiwa seni membuat persembahan.

Bazar Larut Malam (Uptown)
Jika kota Kuala Lumpur menyesakkan anda, lokasi bazar larut malam yang terletak pinggir kota bukan lagi perkara baru buat pengunjung tempatan. Danau Kota yang terletak di Setapak dan KL Downtown Cheras adalah lokasi menarik untuk dilakukan pada malam minggu. Biasanya, aktiviti perniagaan bazar larut malam bermula jam 10 malam sehingga 4 pagi.

Lokasi bazar larut malam bukan saja terkenal dengan barangan bundle tetapi terdapat jualan produk kraftangan, barangan antik, barangan berbentuk hobi dan produk tradisional. Pada masa yang sama, anda boleh mencuci mata untuk membeli pakaian, aksesori,cenderahati, kasut, perhiasan dan lain-lain.

Kami tahu ada banyak lokasi lain tetapi lokasi diatas hanya sebahagian hiburan malam yang boleh diperolehi sekitar Kuala Lumpur. Sesekali memandu untuk lepak bersama teman-teman setelah penat bekerja tidak ada salahnya asalkan anda tidak melakukan kesalahan.

Terasa seperti hendak menjamu hidangan mamak pula malam ini. NZ Curry House yang terletak di Bukit Bintang juga merupakan 'port' lepak terbaik pada waktu malam sambil mencuci mata melihat gelagat pengunjung kelab malam yang berdekatan!