PERU
Peru sangat kaya dengan keunikan tradisi, sejarah, tamadun, penderitaan dan keajaiban. Juga destinasi shopping! Destinasi wajib ialah Machu Picchu! Rugi kalau anda tidak lawati.
Dari Buenos Aires, kami terbang ke Lima, kemudian ke Cusco. Ini satu pengalaman yang sangat unik. Boleh dikatakan sesiapa yang baru sampai di Cusco tiba-tiba saja akan rasa macam nak demam. Kepala sakit dan badan letih. Mengapa? Nanti kami beritahu puncanya.
Tempat yang menarik ialah Dataran Pahlawan (Plaza de Armas), Cusco: Mula-mula ke Gereja Kemenangan, yang dibina oleh Sepanyol di atas tapak istana raja Inka, Huayna Qapac. Kemudian ke Quricancha, Kuil Matahari yang dahulu dindingnya disaluti dengan emas. Bagaimanapun, emas itu telah diambil oleh penjajah Sepanyol dan difaraidkan sesama mereka.
Dataran yang cantik ini menyimpan pelbagai kisah duka. Di sinilah dahulu tempat pahlawan-pahlawan Inca serta pejuang-pejuang kemerdekaannya dibunuh oleh penjajah Sepanyol. Antaranya ialah Tupac Amaru. Mereka bukan setakat dibunuh, malah dikeji, diseksa, mayat dipotong-potong dan dikelar-kelar di hadapan ahli keluarga. Hiruplah udara di sini dan cuba rasai kisah duka mereka.
Sacsayhauman terletak di puncak bukit setinggi 3,700 meter dari aras laut, dibina sekitar tahun 900-1200 Masihi. Ia merupakan kubu pertahanan Inka yang dibuat daripada bongkah-bongkah batu dalam kawasan seluas 3,100 hektar. Anda pasti terkejut melihat kehebatan arkitektur kaum Inka. Bayangkan, bongkah-bongkah batu itu ada di antaranya seberat 200 tan.
Apabila Sepanyol sampai, mereka terkejut. Tetapi disebabkan jahat dan sengalnya orang Sepanyol ini, mereka runtuhkan binaan yang ada, kemudian ambil batu-batu besar tadi dan digunakan untuk membuat bangunan-bangunan kerajaan serta rumah mereka.
Tidak jauh dari Sacsayhuaman, terdapat sebuah lagi kubu, Pukara Pukara. Juga dibina menggunakan bongkah-bongkah batu.
Korikancha (Kuil Emas) dibina oleh orang Inka menggunakan arkitektur yang sangat hebat. Dindingnya dahulu disalut dengan emas.
Tetapi emas itu telah diumpil untuk menebus nyawa raja terakhir mereka, Atahualpa yang ditangkap Sepanyol. Malangnya, selepas Sepanyol mendapat emas yang dianggarkan berpuluh-puluh tan beratnya, mereka paksa Atahualpa memeluk Kristian dan kemudian menggantungnya sampai mati!
Oh ya, kenapa kepala kami pening dan rasa nak demam sebaik menjejakkan kaki di Cusco? Itulah kesan sampingan apabila berada di altitud tinggi seperti Cusco (3,400 meter di atas paras laut). Hampir setiap orang akan merasainya pada hari pertama sampai di Cusco.
Untuk itu, dinasihatkan supaya berehat dulu, banyakkan minum air dan bernafas dalam-dalam. Jangan tergesa-gesa sebab kawasan altitud tinggi kurang oksigen. Semua akan jadi normal semula pada hari kedua.
Machu Pichu ialah binaan ajaib dan menakjubkan! Tidak ada ertinya melancong ke Peru kalau tidak menjejakkan kaki ke Machu Picchu. Untuk ke sana, kita perlu keluar dari hotel sekitar pukul 7.30 pagi. Dari situ kita akan ke Sacred Valley, seterusnya menaiki kereta api dari Ollantaytambo menuju ke kaki gunung Machu Picchu.
Perjalanan memakan masa 1 jam setengah. Tapi pemandangannya memang thumbs up! Bukit-bukau, gunung-ganang, glasier dan sungai yang indah menemani sepanjang perjalanan.
Dari situ, kita akan menaiki bas pula mendaki gunung Machu Picchu. Di kiri dan kanan adalah hutan menghijau serta tebing yang curam. Nun di bawah, sungai melingkar-lingkar seperti ular. Di keliling kelihatan puncak gunung bertanjak-tanjak. Di atas, hamparan awan berarak menghiasi langit yang membiru. Indahnya bumi ciptaan Ilahi!
Keajaiban Machu Picchu sama seperti Piramid. Bayangkan, kompleks kediaman kaum Inka ini dibina pada kurun ke 15, di puncak setinggi 2,430 meter dari aras laut dan seluas 32,500 hektar.
Bagaimana mereka membuatnya? Apa teknologi yag digunakan? Semuanya masih misteri, membuatkan ia diiktiraf sebagai salah satu binaan paling ajaib di dunia. Ingat, hanya orang yang istimewa saja dapat berada di Machu Picchu. Anda perlu menjadi orang yang istimewa itu.
Kalau hendak shopping, di sinilah tempatnya. Di sekitar setesen kereta api ini terdapat banyak kedai yang menjual cenderamata seperti T-shirt, fridge magnet, baju sejuk dan beg. Barangan di sini lebih banyak pilihan dan lebih murah berbanding di tempat-tempat lain.
Kadar tukaran wang adalah sekitar 5.5 peso : ASD1. Sehelai T-shirt biasanya berharga 20 peso saja, atau lebih kurang RM12. Murah, kan? Harga itu takkan anda dapat di Cusco.
Ollantaytambo adalah sebuah lagi kompleks batu binaan kaum Inka yang membuatkan mulut kita terlopong.
Shopping time di Pasar Pisaq! Macam-macam ada, berwarna-warni dan murah.
Sedikit lagi fakta, bahasa utama di Peru ialah Spanish. Tapi jangan risau, ramai juga yang boleh bercakap Inggeris, walaupun tidak lancar.
Biarpun Peru nampak macam tidak glamor, tetapi apabila sampai di sana, anda akan terkejut. Peru rupa-rupanya negara yang sangat cantik, unik dan eksotik. Cuma kita saja yang tidak tahu. Anda akan terpegun melihat keindahan taman-taman bunga di sekitar rumah serta hotel. Gunung-ganang yang berglasier di puncaknya menambahkan lagi kecantikan Peru.
Kotaraya Lima yang terletak di tepi pantai Lautan Pasifik pula menyajikan pemandangan laut yang indah. Jangan terkejut, Lima adalah sebuah padang pasir yang hampir tidak dituruni hujan sepanjang tahun. Tapi uniknya, ia mempunyai sistem pengairan yang sangat hebat hingga pokok-pokok boleh hidup subur dan berjuta-juta penduduknya tidak menghadapi masalah air.
[Bersambung]
ada buat trip ke machu picchu tak? :(
ReplyDelete