Countdown

23 July 2013

Ceritera Kapali Carsi Istanbul

Nota perjalanan penulis di Turki beberapa bulan yang lepas:

Tidur saya dikejutkan oleh laungan azan Subuh dari sebuah masjid berdekatan dengan hotel tempat saya menginap di Istanbul. Waktu yang tertera di iPhone saya menunjukkan jam 4.30 pagi. Betul kah jam ini? Oh ya, hampir terlupa bahawa ketika awal musim panas, matahari akan terbit lebih awal dan terbenam lebih lewat di sini. Terdetik juga di fikiran sekiranya saya berada di bumi Turki ketika bulan Ramadhan. Semestinya saya harus bangun bersahur sekitar jam 2-3 pagi kerana waktu Imsak tamat lebih awal berbanding dengan di tanahair Malaysia.

Setelah selesai solat Subuh, saya mengambil kesempatan untuk meneliti aturcara rombongan POTO di Turki untuk hari ini. Hati saya sangat teruja kerana inilah harinya saya dapat melihat sendiri keunikan tempat membeli-belah paling popular dan bersejarah di Turki iaitu Grand Bazaar Istanbul. Kebetulan pula beberapa minggu yang lalu, saya menonton filem Argo arahan Ben Affleck yang telah memenangi anugerah filem terbaik di malam Oscar 2013. Grand Bazaar adalah salah satu lokasi utama penggambaran filem tersebut. Ternyata keindahan pasar besar ini amat dikenali di serata dunia sehingga terpilih sebagai lokasi penggambaran filem Hollywood.

Di kalangan masyarakat tempatan, Grand Bazaar lebih dikenali sebagai Kapali Carsi, yang bermaksud “Pasar Berbumbung” dalam bahasa Turki. Terkenang pula saya tentang Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu. Ketika masih kecil, saya sering ke sana bersama arwah nenek untuk membeli kuih-muih, baju melayu dan barangan persiapan Hari Raya yang lain. Namun, berdasarkan cerita teman-teman yang pernah ke Istanbul sebelum ini, mereka berkata terdapat tidak kurang daripada 4000 kedai di kompaun Grand Bazaar. Ternyata ianya jauh lebih besar dari Pasar Siti Khadijah. Barangkali Grand Bazaar juga adalah destinasi utama membeli-belah bagi masyarakat tempatan setiap kali menjelang Aidilfitri.

Saya bersama-sama 26 peserta rombongan POTO ke Turki yang lain menaiki bas yang telah disediakan daripada hotel penginapan ke Grand Bazaar. Di dalam perjalanan, saya berbual panjang dengan Puan Zalilah, salah seorang peserta rombongan. Bertanya juga saya kepada Puan Zalilah tentang adakah ini kali pertama dia menjejakkan kaki di bumi Turki. Tersenyum lebar dia sebelum menjawab soalan saya itu. Katanya, dia pernah ke Turki 19 tahun yang lalu untuk percutian bulan madunya bersama suami, yang duduk di sebelahnya di dalam bas tersebut. Tambahnya lagi, percutian bulan madu tersebut merupakan hadiah perkahwinan oleh arwah bapa mertuanya.

Lantas sampuk suami Puan Zalilah, “Ini kira honeymoon kedua kami. Jalan-jalan sambil mengenangkan kembali memori manis bulan madu kami. Anak-anak kami tinggalkan bersama Atuk mereka. Susah nak dating kalau bawa anak-anak”. Tergelak sakan kami bertiga. Terlintas di fikiran saya, pasti peserta-peserta yang lain juga ada cerita menarik mereka sendiri mengenai rombongan ini.

Ketika bas rombongan tiba di Nuruosmaniye Gate, salah satu pintu masuk utama Grand Bazaar, perasaan saya agak kaget melihatkan saiz pasar tersebut. Saya diberitahu oleh tour guide tempatan kami yang ianya meliputi kawasan seluas 31 hektar dengan 61 lorong yang dilawati sebanyak 400 ribu orang setiap hari. Ya Allah, tolonglah jangan tersesat pula nanti!

Sedang saya asyik leka berjalan dan mengambil gambar persekitaran Grand Bazaar, terdengar sapaan seorang lelaki dari kedai barangan tembaga di sebelah kiri saya. “Hello Mister! Are you from Indonesia? Selamat Siang!”. Saya tersenyum kecil sambil memberitahunya, “I’m from Malaysia!” Dia menjawab dengan loghat yang agak kelakar, “Oh Malaysia! Saya Harun. Apa khabar? Mari mari, harga murah!” Apabila saya mendekati Harun dan menyambung perbualan kami dalam Bahasa Melayu, dia terus mengaku bahawa dia tidak fasih berbahasa Melayu. Sekadar tahu untuk memulakan perbualan, itu sahaja.

Namun Harun agak petah berbahasa Inggeris. Katanya, dia cukup gemar berbual dengan pelancong dari Malaysia. Berbeza dengan pelancong dari negara lain, pelancong Malaysia katanya lebih peramah dan lebih banyak membeli. “Women from Malaysia are so beautiful. Can you help me to find a Malaysian wife?”, Harun berjenaka. Saya hanya ketawa sambil mengangkat tangan tanda mahu meneruskan perjalanan. 

Para pedagang di Grand Bazaar rata-ratanya mengetahui hampir semua bahasa utama dunia. Penting barangkali bagi mereka untuk menarik perhatian pengunjung yang datang. Akan tetapi, percakapan yang mampu mereka lakukan hanyalah yang bersangkut-paut dengan urusan jual-beli dan tawar-menawar sahaja. Itu pun sudah cukup mengagumkan saya.

Senibina Grand Bazaar juga amat unik sekali. Dinding-dindingnya dihiasi indah oleh ornamen bercorak klasik. Sebahagian daripada bumbungnya pula adalah separa lutsinar bagi membenarkan cahaya matahari membolos dan menerangi lorong-lorong kecil yang membentuk seakan labirin itu. Bazaar ini juga dilengkapi dengan lampu-lampu listrik dan penghawa udara bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengunjung yang datang membeli-belah.

Kedai-kedai di sini dikelompokkan mengikut jenis barang dagangan yang sama. Setiap lorong dikhususkan untuk satu jenis barang dagangan. Saya difahamkan ianya dilakukan sebegini bagi beberapa tujuan; menggalakkan persaingan sihat di kalangan pedagang, memudahkan para pengunjung untuk mendapatkan barangan dengan harga terbaik, dan membantu kelancaran sistem kawalan keselamatan di pasar tersebut.

Lebih ramai pegawai keselamatan diletakkan di blok kedai-kedai barangan kemas berbanding dengan blok barangan tembikar. Ini adalah bagi mengelakkan kejadian rompakan atau kerugian besar sekiranya berlaku kebakaran. Menurut sejarah, Grand Bazaar pernah terbakar sebanyak lima kali di antara tahun 1546 dan 1651. Tambahan lagi, sebahagian besar pasar ini musnah teruk dalam kejadian gempa bumi pada tahun 1894.

Dua setengah jam berjalan di Grand Bazaar, banyak informasi dan pengalaman baru yang dapat saya timba. Seribu satu ceritera dikupas melalui perbualan bersama para pengunjung dan pedagang. Pasar yang gah dan bersejarah ini menampung pelbagai memori indah bagi yang pernah berkunjung ke sini seperti Puan Zalilah, dan menakung segunung harapan bagi pedagang yang datang ke sini saban hari untuk mencari pendapatan seperti Harun. Keindahan dalam keusangan Grand Bazaar menambat hati saya untuk bertandang ke sini lagi. Kapali Carsi, saya pasti kembali!

Salah satu pintu masuk Grand Bazaar (Sumber: WikiMedia)

Sebuah kedai menjual lampu lentera tradisional Turki di Grand Bazaar (Sumber: http://www.hotelbuyukkeban.com/)
Sebuah kedai menjual pelbagai jenis fabrik buatan orang Turki di Grand Bazaar
(Sumber: www.theconstanttourist.com)

Sebuah kedai menjual barangan seramik di Grand Bazaar (Sumber: Devianart)
Nota:

Bagi mereka yang berminat untuk ke Turki dan Uzbekistan pada bulan Ogos ini, anda masih belum terlambat! POTO Travel & Tours ada menyediakan pakej istimewa pada harga yang menarik:


Untuk tempahan, sila hubungi wakil jualan kami:


No comments:

Post a Comment