Seawal
jam 7 pagi lagi saya sudah terpacak di depan hotel selepas mencubit sedikit
roti untuk breakfast memandangkan
perut ini masih terlalu awal untuk menerima sebarang makanan. Saya bangun pada jam
5 pagi untuk bersiap-siap kerana semata-mata ingin meluangkan seharian masa untuk
melawat ke tempat-tempat yang ada di Pamukkale. Gembira? Teruja? Usah ditanya!
Pamukkale,
memang tidak semua tahu mengenai keistimewaan yang terdapat pada bandar itu.
Rata-rata daripada mereka lebih mengenali Instabul, Izmir atau Ankara yang
sememangnya telah popular dan megah di kalangan para pelancong. Namun,
Pamukkale apa juga kurangnya? Mempunyai keistimewaannya sendiri sehingga diangkat
dan diwartakan oleh UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia. Alhamdulillah, sekali
lagi saya diberi kesempatan untuk mengunjungi ke bandar yang indah ini!
Pamukkale,
merupakan bahasa Turki, di mana “Pamuk” adalah kapas dan “Kale” pula bererti
benteng yang membawa maksud Cotton Castle
atau istana kapas. Ia juga digelar sebagai istana putih. Ia adalah sebuah kolam
air panas semula jadi yang terletak di Denizli di barat daya Turki. Mengapa ia
dikenali sebagai istana putih adalah kerana kepekatan calcite yang tinggi di dalam air sehingga menyebabkan
persekitarannya menjadi putih dan terbentuknya seperti mineral teres
berkarbonat.
Setelah
tiba di sini, kelihatan Travertines dari
jarak jauh semasa menuruni bas di mana ia
merupakan tarikan utama pelancong di sini. Apa itu Travertines? Ia terhasil akibat kolam air panas meninggalkan deposition batu kapur. Maka, terjadinya
pembentukan staglatit dan staglamit serta tekstur yang menarik hasil dari
pergerakan air yang secara bertingkat-tingkat. Mempunyai ketinggian kira-kira
100 meter, ia kelihatan juga seperti air terjun yang membeku jika diamati dari
jarak yang lebih dekat, mungkin disebabkan enapan batu kapur serta kawasan
landskap memutih yang bagaikan salji. Menarik kan?
Cantiknyaaa! |
Dari jarak yang jauh sedikit |
Terdapat
lebih kurang 17 mata air panas yang bersuhu antara 35 sehingga 100 darjah
celcius. Saya berserta dengan pengunjung lain datang ke sini dan tidak
melepaskan peluang untuk merendamkan kaki di dalam salah satu daripada takungan
air mineral ini! Tempat ini sememangnya menjadi kegemaran para pelancong dari
negara-negara barat terutamanya pada waktu musim panas. Tertulis di dalam
sejarah di mana kolam ini pernah dijadikan sebagai tempat untuk bermandi-manda.
Namun, telah berlaku kerosakan pada Pamukkale akibat pembinaan hotel di atas
runtuhan Hieropolis sejak pada abad pertengahan ke-20. Kesemua hotel-hotel
telah diruntuhkan dan dijadikan sebagai kolam buatan.
Disebalik
keseronokan dan keselesaan meletakkan kaki ke dalam air, lagenda ada mengatakan
bahawa air takungan mineral ini mempunyai banyak khasiat yang baik untuk
kesihatan. Ia boleh digunakan untuk merawat kebanyakan penyakit seperti tekanan
darah tinggi, masalah peredaran darah, gangguan saraf, keletihan, penyakit
kulit, penyakit jantung dan lain-lain
lagi penyakit. Untuk menjalankan proses penyembuhan dan mendapatkan hasil yang
berkesan, perlu merendam kaki ke dalam air panas sekurang-kurangnya selama 15
hari.
Terdapat
sebuah kisah yang berlaku di Istana Pamukkale, di mana seorang gadis tempatan
yang mempunyai wajah yang kurang jelita sehingga tiada seorang lelaki pun yang
ingin menikahinya. Oleh kerana tertekan, gadis tersebut telah memutuskan untuk
membunuh diri di salah satu kolam di Pamukkale. Gadis itu telah bertukar
menjadi seorang yang sangat jelita! Lalu, dia pun telah bernikah dengan seorang
pemuda bangsawan dan hidup bahagia buat selama-lamanya.
Kawasan
di sekitar Pamukkale ini dibawah perlindungan secara berterusan bagi tujuan
memelihara kecantikannya agar kekal dan tidak dimusnahkan. Hanya beberapa
kawasan sahaja yang boleh dilawati dan sentiasa dipantau oleh golongan polis.
Bagi mereka yang ingin memijak batu kapur serta merasai mata air, stoking dan
kasut hendaklah ditanggalkan sebagai langkah penjagaan.
Terletak
bersebelahan dengan Istana kapas ialah Kota Hierapolis dengan
keluasan sebanyak 2,700 meter panjang dan 160 meter tinggi. Ia berasal dari
perkataan Greek iaitu bandar suci, iaitu kota lama kerajaan Greek-Roman yang telah
wujud lebuh 2,000 tahun dengan kesan peninggalan runtuhan kota purba ini.
Diasaskan oleh Raja Eumenes II, ia hampir musnah akibat berlakunya gempa bumi
semasa dibawah penaklukan Rom pada abad ke-17 Masihi. Terletak kira-kira 450km
dari bandar Bursa di Lembah Sungai Menderes, bandar lama ini telah menyimpan
sejarah awal kerajaan Turki.
Sebuah
kuil telah didirikan oleh orang Phrygia pada sekitar awal abad ke-3 sebelum Masihi.
Lokasi pembangunan kuil ini telah bertukar menjadi Hierapolis dan dikembangkan
menjadi sebuah spa pada abad ke-2 untuk ditunjukkan kepada Raja Pergamon,
Eumenes II oleh Roma. Namun begitu, nama Hierapolis ini masih lagi
diperdebatkan kerana sebahagian daripada mereka mempercayai bahawa namanya
telah diambil sebagai penghormatan kepada Hiera, isteri Telephos yang telah
menubuhkan dinasti Attalid. Ada juga yang berpendapat bahawa ia diambil dari
sebuah kuil Hieron yang telah dibina di tempat itu.
Tinggalan yang ada di kota purba Hierapolis |
Colonnade atau deretan tiang yang terdapat di kota Hierapolis |
Seperti
yang dinyatakan sebelumnya, kota lama ini telah dirosakkan oleh gempa bumi dan
hampir hancur keseluruhannya oleh gempa yang lain. Kemudian, ia dibangunkan
semula ala-ala gaya Romawi pada awal abad pertama Masihi. Kota Hieropolis terus
berkembang selama tempoh dua abad serta didirikan sebuah teater yang terkenal
oleh Kaisar Hadrian, Roman Theater. Teater besar yang terletak di bandar
ini dibina pada tahun 206 di lereng bukit dan di bawah pengaruh Teater Greek
yang mampu memuatkan seramai 12 ribu penonton. Selepas berlakunya gempa bumi
yang besar , ia mengambil masa kira-kira selama 144 tahun untuk membangunkannya
semula. Jangan lepaskan peluang untuk singgah di sini dan melawat teater yang
sudah menjangkau 1800 tahun ini. Walaupun mungkin terdapat teater Rom yang lain
di Turki, namun di sini merupakan salah satu teater yang terbaik yang
dipelihara oleh orang-orang yang tinggal di Efesus dan Bodrum. Teater purba ini
telah menjadi tuan rumah bagi majlis perayaan dan konsert selepas pemulihan
dijalankan pada tahun 2013.
Saya
mengangguk-angguk tanda faham apabila diceritakan oleh tour guide yang membawa kami ke sini. Banyak perceritaan sejarah mengenainya
yang telah dikongsikan sedikit sebanyak menambah ilmu pengetahuan dari luar
negara. Lanjutan penjelasan yang diberikan ialah kota Hieropolis ini diberikan
status khusus yang disebut sebagai Neocoros oleh Kaisar Caracalla pada awal abad
yang ke-3, secara tidak langsung memberikan Hieropolis jumlah hak istimewa di
dalam sistem hukum Romawi.
Tambahan
oleh Tour Guide kami, Hieropolis
terus berkembang maju dengan populasi yang mencapai sehingga lebih dari 100
ribu orang! Kota ini semakin dikenali ramai kerana mata air dan juga pelbagai
kuil yang dibina. Selain itu, terdapat sejumlah 50 orang Yahudi yang dijadikan
sebagai tempat tinggal bagi orang-orang Kristian dan Yahudi.
Separuh
dari abad yang pertama Masihi, orang Kristian mula keluar dan berpindah ke
Hieropolis dan dipercayai hampir secara keseluruhannya membanteras kepercayaan
pagan yang dahulunya telah berkembang di kota ini. Plutonium, yang merupakan gua
suci ini pula diisi dengan batu oleh orang-orang kristian untuk melambangkan
dominasi mereka. Ia dijadikan sebagai pintu masuk menuju dunia bawah tanah dan
tempat mandi yang dibina tidak ubah seperti sebuah gereja. Gua ini selalu
ditutup kerana dipercayai mempunyai aroma gas yang beracun.
Hierapolis
telah direbutkan semasa berlaku Perang Salib namun ditinggalkan apabila tiba
akhir abad ke-14. Sekali lagi, kota ini dilanda gempa sekitar abad ke-16 tetapi
tiada seorang pun yang mendiami kota itu, lalu ianya tidak lagi diperbaiki
apabila mengalami kerosakan. Keruntuhan dan kerosakan pada kota lama yang tidak
tersentuh itu dilakukan penggalian semua pada akhir abad ke-19 sehingga pada
awal abad ke-20.
Plutonium dan di hadapnnya ialah tempat mandi-manda |
Aroma gas yang keluar dari gua itu menyebabkan kehidupan mati seperti burung |
Bagi
saya, kota Hieropolis ini merupakan tapak yang menawan yang dpenuhi dengan
pelbagai runtuhan arkeologi serta saki-baki keindahan seni bina Hellanistik dan
Rom. Saya telah menghabiskan masa selama hampir 2 jam untuk mencari
selok-belok mengenai kota purba ini. Yang
menariknya, saya dapat melihat Roman Theather di atas bukit kecil apabila
berdiri di sekitar kawasan sacred pool
yang hanya memakan masa 10 minit sahaja dengan mendaki bukit kecil itu.
Sacred pool adalah
kawasan yang mudah dijadikan sebagai landmark
kerana sekitar kolam ini boleh menemukan bangunan lain seperi Hierapolis Museum, Travertines
dan Kuil Apollo. Merupakan kolam air tinggalan Roman yang dibangunkan serta
dimajukan, ianya terbuka untuk para penungujung yang ingin bermandi-manda air
mineral semula jadi di kawasan tertutup. Kos kemasukan selama dua jam ke dalam
kolam ini adalah berharga 18 TL untuk dewasa dan 7 TL untuk kanak-kanak
lingkungan 6 hingga 12 tahun. Sememangnya kolam ini juga adalah bagus sebagai
rawatan kesihatan!
Keruntuhan
Kuil Apollo yang
terletak tidak jauh dari kolam renang suci itu dipercayai telah dijadikan
sebagai dewa pelindung kota ini. Terdapat saki-baki dan beberapa anak tangga
kuil yang dibangunkan dengan model Yunani. Ia juga terletak di sebelah selatan gua
Plutonium. Boleh lihat runtuhan tiang
yang telah terhumban di dalam kolam suci itu. Jika ini bermandi-manda di sini,
perlu diingatkan agar tidak membuka mata semasa menyelam kerana akan membuatkan
mata menjadi pedih.
Hierapolis Museum, adalah sebuah
muzium khas di istana kapas yang dibina bagi menarik lebih ramai pengunjung
sebagai langkah insiatif pihak berkuasa Turki di atas tapak bekas mandian Rom
di kota lama Hierapolis pada tahun 1984. Pelbagai tinggalan artifak bersejarah
yang dipamerkan termasuklah artifak dari Attuda,
Collossae, Laodiceia dan kawasan-kawasan lain di Lembah Lycos selain kota kuno itu.
Sacred pool atau kolam suci dengan timbunan tiang, saki baki runtuhan kuil Apollo |
Kuil Apollo |
Muzium Hierapolis |
Patung Artemis |
Perayaan Dionysus |
Saya
pulang ke Malaysia dengan satu perasaan yang gembira. Sememangnya, sangat
berbaloi melawat ke kawasan Pamukkale, biarpun kota ini tidaklah sebesar mana
jika nak dibandingkan dengan yang lain. Kerana keunikan yang terdapat di bandar
ini, maka tidak hairanlah mengapa ia diangkat dan diiktiraf sebagai Tapak
Warisan Dunia oleh UNESCO. Pastikan ada memasukkan Pamukkale ini sebagai antara
senarai destinasi lawatan yang utama
jika ingin melancong ke Turki!
Dengan
mengikuti pakej ke Turki, banyak lagi tempat menarik yang akan dikunjungi iaitu
Konya, Bursa, Instanbul dan lain-lain lagi selama 9 hari 7 malam, dengan harga
RM 5,288! Diskaun istimewa diberikan kepada warga emas dan juga kanak-kanak.
Untuk mengetahui info lengkap mengenai pakej ini untuk perlepasan bulan
April-Jun, sila layari laman sesawang rasmi POTO di www.pototravel.com.my
atau hubungi kami di talian 03-9200 6640.
No comments:
Post a Comment