Countdown

23 January 2014

Manisnya Berbulan Madu di Bali!

Wanita-wanita di Bali berpakaian kebaya tradisional mereka

Selepas majlis akad nikah dan persandingan selesai, soalan pertama yang sering menjadi tanda tanya oleh kebanyakan pasangan mempelai adalah destinasi yang sesuai untuk pergi berbulan madu. Banyak faktor yang memainkan peranan penting di dalam proses membuat pilihan yang tepat; kos, jarak, masa, minat si suami dan si isteri serta banyak lain.

Ramai yang terbang ke Eropah, tidak ketinggalan juga yang memilih destinasi dalam negara sahaja. Namun begitu, bagi pasangan yang inginkan suatu pengalaman yang unik, destinasi yang tidak terlalu jauh dan berkos sederhana, Bali merupakan jawapan yang terbaik.

Bali, yang juga dikenali sebagai Pulau Dewata, adalah sebuah pulau jajahan Indonesia yang terletak di antara Pulau Jawa dan Pulau Lombok. Ibu kota Bali ialah kota Denpasar, manakala kota Ubud merupakan pusat kesenian. Destinasi pelancongan yang utama di Bali termasuk Kuta, Sanur, Seminyak, Jimbaran dan Nusa Dua.

Tarian klasik masyarakat Bali

Istana Cinta di Bali

Pulau Bali menyediakan pelbagai jenis penginapan menarik di lokasi-lokasi yang terindah bagi pasangan yang baru sahaja diijab kabul.

Bagi mereka yang mementingkan kemudahan dan keselesaan ketika bercuti, pilihan hotel-hotel bertaraf 4 dan 5 bintang di Bali sememangnya menjanjikan kenangan bulan madu yang istimewa. Hotel-hotel seperti Harper Kuta Hotel, Ramada Bintang Bali Resort, Hard Rock Hotel dan Pullman Bali Legian Nirwana sering menjadi pilihan para pengunjung dari serata dunia.

Pengunjung boleh memilih jenis bilik yang standard ataupun suite mewah, bergantung kepada bajet masing-masing. Kelebihan menginap di hotel-hotel seperti di atas adalah ianya tersedia dengan kelengkapan asas seperti restoran, spa, kolam renang dan servis pengangkutan.

Selain hotel, Bali juga terkenal dengan penginapan di villa-villa untuk pasangan yang gemarkan privasi. Villa-villa ini mempunyai keluasan yang besar dan dilengkapi dengan kolam renang, ruang tamu, dapur dan servis tukang masak sekiranya diperlukan. Lokasi-lokasi yang strategik untuk penginapan villa di Bali adalah seperti Kuta, Legian, Ubud, Seminyak dan Nusa Dua.

Hard Rock Hotel Kuta, Bali

Sejoli Bercanda

Bali tidak pernah kontang dengan aktiviti-aktiviti menarik yang tersedia untuk para pengunjungnya, terutama pasangan yang sedang berbulan madu. Perkara paling romantis yang sesuai dilakukan di Bali adalah melihat sunset ataupun waktu matahari jatuh di Tanah Lot. Pemandangan cukup indah yang sangat tidak ternilai.

Tanah Lot merupakan tebing tinggi menganjur ke laut di pulau Bali, Indonesia. Di atasnya telah dibina kuil agama Hindu, Pura Tanah Lot yang menjadi tarikan utama para pelancong yang bertandang di situ.

Tanah Lot dikatakan dibina oleh sami abad ke-15 bernama Nirartha. Semasa dia mengembara sepanjang pantai selatan dia melihat batuan tinggi yang menarik dan berehat di sana. Nelayan-nelayan ada yang memberi hadiah-hadiah kepadanya. Nirartha memberitahu para nelayan untuk membina sebuah makam, satu tempat suci untuk mengagungkan Tuhan laut Bali.

Tanah Lot
Tanah Lot ketika senja
Selepas menyaksikan senja merah di Tanah Lot, pasangan boleh pergi menikmati makan malam ala candlelight dinner di kawasan persisiran pantai Bali. Terdapat banyak restoran yang menawarkan ruang makan malam outdoor di tepi pantai dan rata-ratanya menghidangkan pelbagai jenis makanan laut yang segar.

Memang enak bersantap bersama-sama insan yang tersayang sambil dibuai angin bayu laut yang menyamankan serta bunyi deraian ombak yang menghempas pantai. Masa ini amat sesuai bagi pasangan untuk berbual tentang kenangan-kenangan manis ketika majlis perkahwinan berlangsung. Aduhai, romantis sekali!

Setelah penat menghabiskan masa di luar, pasangan suami isteri boleh bersama-sama mengunjungi pusat-pusat spa untuk memanjakan diri masing-masing. Servis rawatan seperti urutan kaki refleksologi, urutan badan aromaterapi, rawatan muka dan rawatan mandi stim memang cukup popular sekali.

Makan malam di kawasan persisiran pantai
Panorama yang Menenangkan Jiwa

Tiada apa yang boleh menenangkan jiwa selain daripada menatap pemandangan yang indah. Setelah mengharungi riuh-rendah majlis perkahwinan, menghabiskan masa di Bali berduaan pasti boleh membuat minda menjadi rileks.

Salah satu tempat yang paling popular di Bali dek kerana keindahan semulajadinya adalah daerah Ubud. Kawasan ini acap kali dikunjungi pelancong yang ingin melihat kecantikan teres-teres sawah padi yang menghijau di lereng-lereng bukit. Begitu berbeza sekali dengan hamparan sawah padi di Malaysia yang mendatar rata.

Kawasan sawah padi di Ubud
Selain Ubud, daerah Uluwatu juga tidak kurang menariknya. Terdapat curam tinggi di Uluwatu yang menghadap hamparan laut yang membiru. Terdapat  beberapa pura (kuil hindu Bali) dengan senibina yang sangat menarik di kawasan ini. Uluwatu juga popular kerana pertunjukan tarian kecak yang dipersembahan setiap hari ketika waktu senja.

Penulis di Uluwatu
Pertunjukan tarian kecak di Uluwatu
Daerah Kintamani pula merupakan kawasan tanah tinggi di Bali, persis Cameron Highlands dan Fraser’s Hill. Kintamani terletak di bahagian timur Bali, berada sekitar 400 meter di atas permukaan laut. Dengan udara yang sejuk, Kintamani menawarkan pemandangan Gunung Batur serta Danau Batur yang merupakan danau terbesar di Bali.

Kawasan pergunungan di Kintamani
Membeli-belah Dekor Rumah

Pasangan suami isteri yang baru sahaja mendirikan rumah tangga boleh juga meluangkan masa di Bali untuk membeli barangan perhiasan dalaman rumah seperi lukisan kanvas, perabot kayu jati, barangan tembikar dan perkakasan dekor rumah yang lain. Pasti sang isteri rambang mata memilih yang mana harus dibeli. Sang suami pula tidak perlu risau, barangan di Bali dijual pada harga yang berpatutan. Malahan, harga-harga tersebut boleh ditawar bagi mendapatkan lebih diskaun.

Tempat-tempat yang sesuai untuk membeli-belah di Bali adalah seperti Kuta, Ubud, Legian, Seminyak dan Kerobokan.

Salah sebuah kedai yang menjual kedai perabot unik di Bali
Selain bershopping barangan dekor rumah, pastikan peluang untuk mencuba juadah-juadah enak ketika di Bali tidak dilepaskan. Walaupun makanannya seakan sama sahaja dengan masakan orang Melayu di Malaysia, namun terdapat sedikit kelainan daripada aspek rasa dan cara penyediaan. Pengunjung muslim tidak perlu risau kerana rata-rata restoran di Bali menyediakan makanan yang halal. Paling popular adalah sajian nasi goreng ala Bali bersama ayam bakar.

Nasi goreng ala Bali
Sebuah kawasan pasar di Bali
Ikatan Cinta Terpateri

Percutian bulan madu di Bali pastinya tidak akan menghampakan pasangan yang baru berkahwin. Kecantikan semulajadi dan keunikan budaya masyarakat Bali bakal memukau deria para pengunjung.

Tambahan pula, jaraknya dari Malaysia hanyalah 2 jam menaiki penerbangan sahaja dan kos berbelanja di Bali tidaklah begitu tinggi. Faktor-faktor ini membuatkan Bali sentiasa menjadi pilihan untuk destinasi bulan madu yang ideal.

Kepada bakal-bakal pengantin, peluang berbulan madu di Bali semestinya tidak boleh dilupakan. POTO Travel & Tours, sebuah syarikat pelancongan 100% bumiputera ada menawarkan pakej-pakej premium ke Bali yang sangat sesuai untuk dijadikan percutian bulan madu.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.pototravel.com.my atau hubungi kami di 03-9200 6640 dan email di info@pototravel.com.my.

Ibu Pura di Bali
Penari-penari kebudayaan di Bali
Penulis di salah sebuah kuil di Bali

1 comment: