Countdown

28 February 2014

[ARTIKEL] Penerbangan Batal? Nah... Tip Tidur Di 'Airport'!

Artikel asal oleh Majalah LIBUR boleh dibaca di sini.

Penerbangan Batal? Nah... Tip Tidur Di 'Airport'!


Kredit gambar - huffingtonpost.com

Ia bukan satu gurauan tetapi penulis sendiri pernah mengalaminya apabila penerbangan malam telah dibatal dan ditukar ke esok pagi hari. Mahu tidak mahu, bermalam di lapangan terbang bukan perkara luar biasa. Bertenang... Tidur di lapangan terbang pun selamat dan menarik juga jika anda mengikuti tip-tip ini.

Tidur di lapangan terbang bukan hanya kerana masalah penerbangan tetapi boleh jadi anda mahu jimat wang daripada tidur di hotel dan juga mungkin takut terlepas waktu penerbangan. Maka, jalan mudah adalah tidur di lapangan terbang.

Sentiasalah berfikir risiko-risiko yang mungkin berlaku supaya anda lebih bersedia. Risiko penerbangan anda dibatalkan atau ditangguh akibat masalah cuaca, keadaan kapal terbang atau keadaan lapangan terbang yang tiba-tiba 'black out' mungkin berlaku.

Oleh itu, pastikan anda mempunyai beg empuk untuk dijadikan alas kepala yang boleh membantu kepala anda berehat dengan selesa.  Kaca mata hitam juga penting kerana mana mungkin anda mahu lelap mata di kawasan yang ramai orang lalu lalang, bukan?

Pastikan anda membawa makanan ringan dan botol air kerana kebanyakan kedai di dalam lapangan terbang tutup lewat malam. Jangan lupa bawa majalah, buku atau diari untuk elak bosan semalaman. Sekurang-kurangnya, anda berjaya menghabiskan masa anda dengan membaca dan menulis catatan perjalanan pengalaman anda. Tentu jalan cerita yang menarik!

Alat muzik seperti mp3 atau apa saja yang mengeluarkan muzik boleh membantu anda melupakan masalah yang anda hadapi. Tidak ada sesiapa yang akan menyalahkan anda jika anda membawa selimut nipis khas yang boleh dilipat untuk kegunaan anda tidur di lapangan terbang.

Pastikan anda mengunci jam loceng pada telefon bimbit anda supaya anda tidak terlajak tidur. Minyak angin atau apa saja krim wangi juga berguna jika anda tiba-tiba saja terhidu bau yang kurang menyenangkan di sekitar anda.

Untuk lebih selamat, pastikan anda tidur di kawasan yang mempunyai penjaga, berdekatan dengan rakan-rakan dan dekat dengan kamera litar cctv. Jika anda mempunyai barangan berharga, ada baiknya anda simpan di loker khas supaya anda boleh tidur tanpa risau. Anda juga boleh tidur bersama beg berharga anda dengan memastikan zip berdepan dengan muka anda. Sekurang-kurangnya, anda boleh dengar apabila berlaku sesuatu seperti zip beg terbuka.

Oh ya! Tidur di lantai lapangan terbang adalah tidak digalakkan. Jika anda tidak mahu mencipta sejarah dihalau, lebih baik anda pilih bangku sebagai langkah selamat. Selamat bermalam di lapangan terbang!


1 comment:

  1. erkkk... mintak2 takde la pengalaman kena tidur kat airport nanti... ( "-__-)

    ReplyDelete