Countdown

5 February 2015

Kenangan Indah Hari Pertama di Star Cruise Libra (Hari ke-3)

Pada hari ketiga, kapal berhenti seketika di Perairan Krabi, Thailand. Pada hari ini, kami turut keluar dari kapal untuk mengadakan lawatan sekitar Bandar Krabi. Tepat jam 10 pagi, kami diminta berkumpul untuk ke Stardust Lounge untuk berkumpul berdasarkan pelekat-pelekat yang diberi.
Untuk aktiviti di Krabi, kami memilih aktiviti bebas (Free & easy) dan kami diberikan pelekat berwarna putih. Lebih kurang jam 10.30 pagi, kami bergerak menuju ke feri kecil (Tendering boat)  untuk di bawa ke Jeti Krabi. Seramai 100 orang dimuatkan dalam sebuah feri dan perjalanan ke jeti pesisiran pantai Krabi mengambil masa selama 45 minit.


Dalam “tendering boat”

Lebih kurang jam 11.30 pagi, kami tiba di Jeti Klong Jilad, Krabi. Disebabkan kami tidak mengambil sebarang pakej lawatan, kami terus mengambil tut-tut untuk ke Pekan Krabi. Memandangkan kami perlu kembali ke kapal sebelum jam 5.30 petang kerana tendering boat yang terakhir adalah pada jam 5.30 petang, kami bersepakat untuk menyewa 2 motosikal untuk melawat sekitar Pekan Krabi.

Kos untuk menyewa 2 motosikal sangat berpatutan iaitu 300 Thai Baht bagi penggunaan selama 3 Jam. Dengan berbekalkan minyak motor yang diisi sebanyak 70 Thai Baht, kami meneruskan perjalanan ke tempat tarikan pelancong yang paling popular di Krabi iaitu PantaiAo Nang. Perjalanan dari Pekan Krabi ke Pantai Ao Nang mengambil masa selama 45 minit.

Setibanya di Pantai Ao Nang, perkara pertama yang dituju adalah kedai makan kerana perut  kami sudah berkeroncong. Menu yang pasti sudah semestinya tomyam. Tidak lengkap sekiranya percutian di Thailand tidak dilengkapi dengan hidangan tomyam dan juga pulut ayam. Jangan risau kerana mudah untuk mendapatkan kedai makan halal di sekitarAo Nang.


Jalan-jalan di sekitar Pantai Ao Nang, Krabi.
Selesai sahaja mengisi perut, kami meneruskan perjalanan ke pesisir pantai Ao Nang. Walaupun masa berganjak ke tengahari, kelihatan ramai pelancong yang mengambil angin di pesisiran pantai. Berhampiran pantai juga terdapat deretan kedai cenderamata, kedai makan, kiosk pengurup wang dan pelbagai lagi. Pasti anda akan rambang mata sekiranya masuk ke dalam kedai cenderamata. Kalau boleh, semua barangan hendak diborong untuk dijadikan sebagai buah tangan. Harga yang ditawarkan juga turut berpatutan.



Beraneka cenderamata dapat dibeli sebagai kenang-kenangan

Setelah penat bersiar-siar di Pantai Aonang, kami terus bertolak pulang ke Jeti untuk menaiki feri. Kami bersepakat untuk pulang ke cruise pada jam 3.30 petang untuk mengelakkan sebarang kesesakan pada saat akhir.
Di Jeti Klong Jilad, Krabi setiap peserta dikehendaki menunjukkan ‘access card’ sebelum memasuki ruang menunggu bot. Masa menunggu pula dianggarkan dalam 10 minit. Sekali lagi perjalanan ke cruise mengambil masa selama lebih kurang 45 minit.



Kelihatan cruise dari “tendering boat”

Sebab utama kami kembali ke cruise dengan awal kerana ingin menyiapkan diri sebelum menghadiri makan malam Gala. Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, makan malam ini perlu ditempah pada hari pertama kerana tempat duduk sangat terhad. Kami berpeluang untuk menikmati makan malam di Restoran Four Season.

Makan malam Gala bermula pada jam 6 petang. Oh ya! Makan malam Gala ini ada etika pemakaian. Jangan lupa untuk mengikutinya atau anda tidak dibenarkan masuk. Antara etika pemakaiannya ialah baju berkolar bagi lelaki dan berkasut. Selipar tidak dibenarkan sama sekali.


Setiap orang mempunyai meja makan yang telah ditetapkan. Menu pertama adalah pembuka selera, sup dan  pelbagai lagi. Sangat sedap. Senang enak kami menikmati hidangan yang disediakan, tetiba kami dikejutkan dengan persembahan yang amat bertenaga dari krew restoran tersebut.


Pembuka selera kami


Menu utama


Dessert yang terakhir

Tamat sahaja malam gala dinner, kami meneruskan langkah ke Stardust Lounge untuk menyaksikan persembahan Gala Showtime: Simply The Best.


Pertunjukkan ‘Simply The Best”

Bagi sesiapa yang meminati bidang nyanyian, boleh menyanyi di Skyline KTV yang terletak di Deck 10. Semua perkhidmatan dan lagu disediakan secara percuma. Akan tetapi, sekiranya ingin mendapatkan minuman atau makanan, caj tambahan dikenakan. Terdapat pelbagai lagu yang disediakan dalam pelbagai bahasa. Pastikan mempunyai vocal yang cukup mantap untuk menyanyikan lagu-lagu tersebut.

Pada jam 11.15 malam, kami semua dijemput ke Pool Deck pada Deck 10 untuk menyertai “Viva De Libra Farewell Party” . Ini merupakan parti terakhir bersama-sama dengan “Cruise Entertainment Team’ dan “Hotel Representatives”. Macam seperti biasa, ada parti tentulah ada makanan. Jadinya, kita makan lagi.

Memandangkan semua pembayaran di atas cruise menggunakan access card, kami bersepakat untuk menyelesaikan pembayaran pada malam terakhir ini. Pembayaran boleh diselesaikan di Activity Centre yang terletak di Tingkat 5. Lebih senang selesaikan pembayaran pada awal waktu untuk mengelakkan sebarang kesesakkan pada waktu akhir.

Bagi yang ingin membeli belah untuk hari terakhir, boleh menjenguk di Duty Free Shop yang terletak di Deck 4. 

Bagi yang ingin melihat atau membeli gambar-gambar yang diambil sepanjang berada di atas cruise, boleh menjenguk Photo Gallery yang terletak di Deck 5


Photo Gallery

Manakala bagi yang inginkan membeli barang-barang cenderamata yang bertulis atau bercop “Star Cruise”, boleh pergi ke kedai Ports O’ Call. Pelbagai barangan cenderamata dijual di sana dengan harga yang berpatutan. Antaranya ialah keychain, pen, tuala, t-shirt dan macam-macam lagi. Jangan lupa untuk membelinya sebagai kenang-kenangan atau sebagai hadiah kepada yang tersayang.

Pada jam 11 pagi, kedengaran pengumuman oleh pihak cruise untuk memaklumkan setiap peserta boleh mendapatkan kembali passport masing-masing. Dengan syarat, segala pembayaran hendaklah dijelaskan terlebih dahulu. Untuk mendapatkan passport, perlu di bawa access card untuk rujukan pihak cruise.

Bagi sesiapa yang ingin keluar awal dari cruise, mereka boleh berkumpul Ocean Palace Restaurant bermula jam 11.30 pagi. Bagi mereka yang tidak tergesa-gesa untuk keluar awal, bolehlah berada di kabin selewat-lewatnya sehingga jam 01.30 petang. Kami bersepakat keluar dari Cruise pada jam 12 tengahari. Apabila melangkah keluar sahaja dari cruise bermaksud selesai sudah pengembaraan kami seramai 4 orang bagi tempoh 4 hari 3 malam. Yang pasti pengalaman menaiki kapal persiaran mewah ini merupakan pengalaman yang sangat berharga dan akan diingati sampai bila-bila. Jika berkesempatan, kami pasti akan kembali lagi menaiki STAR CRUISE SUPERSTAR LIBRA



No comments:

Post a Comment