Paradise Valley di Bukit Broga, Semenyih
Berlangsung 26 April yang lepas, Tourism Selangor Sdn Bhd kembali mengadakan aktiviti TS DAY OUT di mana ia memang terkenal dengan program mencabar kecekalan peserta. Kali ini, Paradise Valley di Bukit Broga, Semenyih dipilih sebagai lokasi untuk menilai tahap adrenalin peserta termasuk media.
Bergerak dari pusat berkumpul di perkarangan pejabat Tourism Selangor iaitu di tengah bandar Shah Alam pada jam 8.30 pagi, perjalanan hanya mengambil masa lebih kurang satu jam lebih untuk sampai ke destinasi. Jika sebelum ini, hanya peserta yang terdiri daripada blogger tetapi kali ini ia turut disertai oleh sekumpulan media dan selebriti bagi memeriahkan perjalanan program.
Pemilihan blogger dan media adalah secara tidak langsung dapat membantu menaikkan lagi nama Selangor sebagai pusat pelancongan yang berpotensi seiring dengan kedatangan Tahun Melawat Selangor pada tahun depan.
Penganjuran TS DAY OUT pada tahun ini bukan sekadar membawa peserta mengenali keindahan dan kemudahan yang terdapat di Selangor tetapi mahu membuktikan kepada peserta bahawa Selangor juga mempunyai lokasi untuk melakukan sukan ektrim. Menerusi program ini, para peserta berpeluang mencabar diri sendiri dalam sukan lasak yang terdapat di Paradise Valley selain berpeluang menikmati keindahan panorama hijau di sekitar Bukit Broga.
Sebaik saja menjejak kaki ke Paradise Valley, anda pasti merasa lebih teruja kerana ia menawarkan pelbagai aktiviti seperti 'flying fox', 'wall climbing', berkayak dan berbasikal. Inilah masanya anda mencuba kesemua aktiviti dan menilai kekuatan fizikal tanpa perlu pening memikirkan lokasi sukan lasak.
Menariknya ketika program TS DAY Out ini, terdapat satu pertandingan telah diadakan malah hadiah wang tunai turut diberi jika para peserta berjaya merakamkan gambar atau kenangan yang paling kreatif. Terdapat empat kategori yang dipertandingkan iaitu 'Blogging', 'Instagram', 'Fotografi' dan 'Video YouTube'.
Menjelang Tahun Melawat Selangor 2015, program seumpama ini bukan sekadar hiburan semata-mata tetapi sebagai satu usaha positif dari Tourism Selangor dalam mempromosi industri pelancongan khususnya berkaitan sukan lasak. Jom layan beberapa gambar menarik dari para peserta yang bertungkus-lumus menamatkan sukan lasak ini!
|
No comments:
Post a Comment