Countdown

29 August 2012

Buletin: Misi Bantuan Ramadhan POTO

Bersempena dengan kedatangan bulan Ramadhan yang mulia yang lepas, ahli badan Lujnah Ibadah POTO telah mengaturkan satu program lawatan ke rumah-rumah anak yatim dan Maahad Tahfiz sekitar Gombak, Setapak dan Cheras sambil memberi sumbangan dan duit raya daripada kakitangan POTO Travel.

Antara ahli-ahli rombongan Misi Bantuan Ramadhan POTO

Laporan disediakan oleh Norazha Rafizzi Zorkornaini (azha@pototravel.com.my).

1. Pertubuhan Penyayang Raudhah, Gombak


Sebaik sahaja menjejakkan kaki di sini dan disambut oleh pengasasnya, Ustaz Mokhtarudin dan para penghuni, kami berasa sebak dengan kedaifan dan kekurangan kediaman yang menempatkan 45 penghuni termasuk kanak-kanak, remaja bermasalah dan ibu tunggal. Keadaan ini menyedarkan kami betapa beruntungnya ramai di antara kita dan pentingnya untuk kita sama-sama membantu bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mereka.


Umumnya pertubuhan ini amat memerlukan bantuan dari segi kewangan bagi membantu membina tempat tinggal baru yang lebih selesa kepada para penghuninya.Seterusnya kami menyampaikan sedikit sumbangan duit raya dan barang-barang keperluan daripada kakitangan POTO Travel kepada penghuni-penghuni di sini selain bergambar bersama anak-anak serta pengasas rumah ini. Walaupun sumbangan yang diberikan tidak seberapa namun anak-anak ini masih mengukir senyuman mengiringi kami untuk meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya.

Pertubuhan Penyayang Raudhah
Batu 11, 53100 Gombak, Selangor
Tel: 03-61852068

2. Maahad Tahfiz Baitul Ummah, Setapak


Destinasi kami yang seterusnya ialah Maahad Tahfiz Baitul Ummah yang terletak tidak jauh dari Pertubuhan Penyayang Raudhah. Kami kurang bernasib baik setelah diberitahu oleh pengasasnya Ustaz Abdul Rahman yang kebanyakan penghuni di maahad ini telah pulang ke rumah keluarga mereka untuk berbuka puasa pada hari hujung minggu.


Menurut pengasasnya, jumlah penuntut di sini ialah seramai 50 orang dan penghuni ini terdiri daripada anak-anak berumur 7-12 tahun malahan ada yang merupakan anak-anak yatim. Setelah menyampaikan sedikit bantuan barang-barang keperluan dan sumbangan duit raya untuk penghuni- penghuni di sini, kami bergerak menuju ke destinasi seterusnya.

Maahad Tahfiz Baitul Ummah
No 33, Jalan 3D/6, Taman Setapak Indah, 53300 Kuala Lumpur
Tel: 014-7262228 (Ustaz Abd Rahman)

3. Rumah Keluarga Besar Norlina Alawi


Lawatan diteruskan ke sebuah rumah teres kos rendah di Kg. Cheras Baru yang diasaskan oleh Puan Norlina Alawi yang dikenali dengan keikhlasan beliau menjaga anak-anak yatim dan HIV. Rumah keluarga besar Norlina Alawi ini dahulunya dikenali sebagai Persatuan Nurul Iman atau PERNIM. Setibanya kami di sana, kami telah disambut dengan gembiranya oleh anak-anak di situ yang ketika itu turut diziarahi oleh kerabat Di Raja Pahang bersama artis Hattan.


Selama berada di sana, pelbagai cerita suka-duka yang dikongsi Puan Norlina dan Encik Hazimi bersama kami. Antaranya dihentikan pemberian zakat oleh pihak berwajib dek kerana kehidupan anak-anak angkat beliau yang kelihatan mewah. Namun pada pandangan kami, kehidupan anak-anak dan suasana rumah ini tidaklah semewah seperti yang disangkakan.

Pelbagai inisiatif perniagaan telah dijalankan oleh suami isteri ini bagi menampung perbelanjaan isi rumah keluarga besar ini dan menampung perbelanjaan persekolahan anak-anak angkat mereka. Kami turut ditayangkan video mengenai 2 orang anaknya yang telah kembali ke rahmatullah pada tahun 2011 yang lepas. Malah ada di antara kami yang sebak dan mengalirkan air mata mendengar kesusahan dan penderitaan yang ditanggung oleh mereka semua.


Kami akhiri ziarah tersebut dengan menyampaikan sumbangan dan duit raya kepada anak-anak tersebut sebelum meninggalkan rumah tersebut dengan hati yang masih berbekas sayu dan pilu mengenangkan nasib anak-anak ini. Sejujurnya pihak yang berkenaan perlu menilai semula aspek pemberian wang zakat kepada rumah dan anak-anak ini.

Rumah Keluarga Besar Norlina Alawi Berhad
Lot 46, Jalan 47 Bukit C, Kg. Cheras Baru, 56100 Kuala Lumpur
Tel: 017-6088219 (En. Hazimi)

1 comment:

  1. Tahniah pada semua kakitangan yang terlibat dan semoga usaha-usaha murni kita ini berterusan sehingga keakhir hayat.
    Jumlah sumbangan yang tidak seberapa ini bukanlah sesuatu yang mereka inginkan tetapi kehadiran dan kesudian kita menjengok mereka adalah sesuatu yang amat mereka harapkan.Mereka mengetahu bahawa masih ada yang sayang dan inginkan mereka.
    Bersyukurlah kita semua diatas segala kurniaan Allah yang kita perolehi dan asuhlah hati kalbu kita untuk sentiasa memandang kebawah tunduk dan zuhud semata-mata kerana Allah.
    Semoga lahirnya kita kebumi ini membawa keberkatan kepada sekalian alam.

    ReplyDelete