Republik Turki. Terkenal dengan sejarah keagungan empayar Islam Uthmaniyyah yang bermula pada abad ke-13 (1299) oleh
Sultan Uthman 1 dari keturunan
Oghuz Turks sehinggalah
Sultan Abdul Mejid pada pertengahan abad ke-19 (1922). Besarnya empayar khalifah Islam terakhir ini bermula dari Hungary hingga ke Somalia dan dari Algeria ke negara Iran. Kejayaan terbesar empayar ini adalah ketika menakluk kota Constantinople pada tahun 1453 oleh
Sultan Mehmed II yang ketika itu hanya berusia 21 tahun dan lantas nama kota ini ditukar kepada Istanbul sehingga ke hari ini. Selain itu, kesan-kesan sejarah empayar kerajaan
Byzantine (Empayar Rom Timur atau Rom Baru selepas kejatuhan Empayar Rom Barat),
Hittite,
Assyria dan juga kerajaan
Troy di mana kisah kejelitaan
Helen yang dilarikan
Putera Paris menjadi punca
Peperangan Trojan dengan kerajaan
Sparta (
Archaens) seperti yang diceritakan oleh
Homer dalam karyanya
Iliad juga terdapat di serata Turki. Menariknya negara ini juga pernah menjadi sebahagian jajahan takluk
Iskandar Zulkarnain dari empayar
Macedon.
|
Pemandangan indah kota Istanbul dan Lautan Marmara |
Kota
Istanbul merupakan antara kotaraya yang terbesar di dunia dan menarik tentang kotaraya ini ialah kebanyakan penempatan kotaraya ini ialah di Asia manakala pusat komersil dan sejarah terletak di Eropah. Ini adalah kerana kotaraya ini terbahagi oleh kehadiran
Selat Bosphorus yang menghubungkan Lautan Hitam dan Lautan Marmara. Kota penuh bersejarah ini diasaskan oleh kerajaan Byzantine pada tahun 660. Ramai yang beranggapan bahawa Istanbul merupakan ibu negara Republik Turki namun sebenarnya ialah kota Ankara.
|
Masjid Ortakoy menghadap Selat Bosphorus dan jambatan Fatih Sultan Mehmet |
Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Ataturk dan menuju ke kotaraya Istanbul, anda akan dapat menyaksikan sebuah binaan zaman empayar Byzantine yang dipanggil
Valens Aquaduct. Tali air sepanjang 971m ini dibina oleh
Maharaja Rom Valens pada tahun 368. Binaan tali air ini seakan-akan menjadi gerbang pintu masuk ke dalam kotaraya Istanbul.
|
Valens Aquaduct seakan menjadi pintu gerbang masuk ke kota Istanbul |
Selain itu, tetamu juga dapat melihat kesan-kesan peninggalan
Walls of Constantinople yang dibina mengelilingi kota ini pada zaman kerajaan Roman bagi mempertahankannya dari serangan musuh. Pada mulanya ia telah dibina oleh
Constantine the Great pada penghujung abad ke-4 dan kemudian telah diperbesarkan lagi oleh maharaja-maharaja selepas itu. Dengan dinding yang tebal dan kukuh menyukarkan serangan pihak musuh menawan kota Constantinople termasuklah penakluk terkenal Balkan,
Attilia the Hun. Pada hari ini, dinding kubu kota ini telah musnah sebahagian besarnya namun yang tinggal telah di jaga dengan baik oleh pihak badan pelancongan Turki.
|
Theodosian Walls yang dibina pada tahun 413 yang masih kukuh berdiri |
Kota Istanbul yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 1985 menawarkan pelbagai kesan peninggalan zaman keagungan Islam di Eropah yang masih dapat dilihat sehingga ke hari ini. Yang paling terkenal sudah tentulah
Masjid Biru atau nama sebenarnya
Masjid Sultan Ahmed. Mendapat gelaran Masjid Biru kerana jubin berwarna biru pada dinding di bahagian dalam masjid tersebut, bukan kerana warna luarannya biru. Masjid yang mempunyai 6 menara setinggi 64m ini dibina oleh
Sultan Ahmed I pada tahun 1616. Ia mempunyai 8 kubah dan 1 kubah utama dan mampu memuatkan 10,000 jemaah buat satu-satu masa. Menarik mengenai masjid ini ialah mimbarnya kerana ia dibina dengan begitu strategik sehinggakan biarpun masjid tersebut penuh namun jemaah masih boleh melihat imam memberikan khutbah.
|
Masjid Biru sebenarnya bukanlah berwarna biru |
Berhadapan dengan Masjid Biru ialah sebuah muzium yang dipanggil
Hagia Sophia atau
Aya Sofya. Bangunan ini mempunyai sejarah yang teramat panjang bermula sebagai sebuah gereja (360-1453) kemudian dijadikan masjid (1453-1931) dan akhirnya dijadikan sebuah muzium (1931-sekarang). Di dalamnya boleh dilihat kesan-kesan peninggalan agama Kristian Ortodoks dan Islam. Bangunan asalnya dibina pada tahun 360 sebelum dibakar ketika rusuhan dan bangunan yang sedia ada sehingga kini dibina pada tahun 537 oleh
Maharaja Byzantine Justinian. Ketika
Mustafa Kamal Ataturk menjadi Presiden Turk yang pertama selepas menggulingkan khalifah Uthmaniyyah, beliau mengubah masjid ini menjadi sebuah muzium. Lukisan Virgin Mary memangku Jesus dan
Omphalion (kawasan di mana maharaja-maharaja Byzantine ditabalkan) yang telah ditutup sekian lama telah dibuka semula.
|
Aya Sofya yang terletak berhadapan dengan Masjid Biru |
Sekiranya ke kawasan ini, anda akan dapat melihat beberapa batang tiang yang menandakan sebuah dataran yang dahulunya dikenali sebagai
Hippodrome of Constantinople namun kini digelar
Sultan Ahmet Square. Bermula dari zaman empayar Byzantine pada tahun 203 lagi, dataran ini menjadi pusat sukan dan sosial di mana perlumbaan kuda dan kereta kuda
chariot sering diadakan. Ada beberapa monumen yang masih terdapat di situ seperti
Serpent Column,
Obelisk of Thutmose III,
Walled Obelisk dan
Statues of Porphyrios.
|
Tiang yang dipanggil Walled Obelisk |
Terletak di dalam kotaraya Istanbul ialah sebuah istana yang cukup besar menghadap ke Lautan Marmara iaitu
Topkapi Palace. Pada zaman dahulu istana ini cukup terkenal sebagai pusat pemerintahan kerajaan Uthmaniyyah dan sebagai kediaman khalifah selama hampir 400 tahun (1465-1856). Pada masa sekarang pula istana ini cukup terkenal kerana selain dari binaannya, di sini turut dipamerkan koleksi-koleksi peribadi khalifah-khalifah ini terutamanya berlian yang keempat terbesar di dunia,
Spoonmaker's Diamond di samping pemberian-pemberian lain dari raja-raja empayar yang mempunyai hubungan diplomatik dengan kerajaan Uthmaniyyah seperti
Nadir Shah dari Parsi dan
Czar Nicholas II dari Russia. Selain itu, barang-barang kepunyaan nabi-nabi yang terdahulu juga dipamerkan di sini.
|
Pemandangan Topkapi Palace di atas bukit dari Lautan Marmara |
|
Spoonmaker's Diamond ini mempunyai 3 cerita berbeza tentang asalnya |
Istana ini dibina oleh penakluk kota Constantinople iaitu Sultan Mehmed II pada tahun 1459. Pernah satu ketika istana ini menjadi kediaman kepada 4,000 orang termasuk keluarga diraja dan pembantu mereka. Terdapat 4 laman yang luas di dalam kawasan Topkapi Palace ini sesudah anda melangkah masuk melalui
Imperial Gate. Antara bangunan yang masih boleh dilihat di laman pertama ialah kilang pembuatan duit diraja dan bekas gereja
Hagia Irene yang dibina pada abad ke-4 lagi oleh maharaja Byzantine. Melangkah melepasi
Gate of Salutation terletaknya laman yang kedua yang menempatkan bekas hospital istana, kilang roti, kandang kuda yang turut mempamerkan kereta kuda diraja, dewan memasak yang cukup gah, dewan perkumpulan majlis kerajaan (
Imperial Council Hall), dewan simpanan harta kerajaan (
Imperial Treasury) dan yang paling menjadi tarikan ialah sebuah menara yang digelar
Tower of Justice. Di laman inilah juga sultan mengumpulkan orang ramai dan menjatuhkan hukuman kepada pesalah.
|
Tower of Justice yang terletak bersebelahan Imperial Council Hall |
Untuk memasuki laman yang ketiga, anda perlu melalui pintu
Gate of Felicity. Di sini boleh dilihat tapak meletakkan panji Nabi Muhammad SAW sekiranya sultan berada di istana. Panji yang sama juga akan dibawa ke medan peperangan. Pada masa dahulu tiada sesiapa pun yang dibenarkan masuk ke laman ketiga yang dianggap kawasan larangan atau dipanggil
Harem kecuali ahli keluarga diraja. Malahan wazir utama istana hanya dibenarkan masuk pada hari-hari tertentu sahaja. Begitu juga dengan tetamu diraja hanya terbatas di balairung seri utama
Imperial Hall.
|
Kamar mandi sultan atau Hamam yang terletak di dalam Harem |
Di sekitar kawasan laman ini, terdapat beberapa bangunan yang penting seperti
Audience Chamber yang bertindak sebagai balairung seri mengadap sultan dan disebelahnya terletak
Dormitory of the Expeditionary Force. Selanjutnya ialah bangunan
Conquerer's Pavillion yang menempatkan harta-harta kerajaan termasuklah berlian
Spoonmaker's Diamond. Dewan pameran yang terpenting di sini sudah tentulah
Privy Chamber yang dahulunya digunakan sebagai pejabat sultan namun kini bertindak sebagai dewan pameran barang-barang peninggalan suci para nabi, 4 khalifah yang utama dan sahabat rasulullah.
|
Privy Chamber yang menempatkan barangan-barangan suci umat Islam |
Destimal Chamber: Mempamerkan periuk Nabi Ibrahim, serban Nabi Yusuf, tongkat Nabi Musa, pedang Nabi Daud dan kesan tapak kaki Nabi Muhammad.
Sadirvanli Sofa: Pelawat boleh melihat kunci pintu Kaabah, bekas simpanan Hajaratul Aswad, terusan air Kaabah, pintu Kaabah dan pedang-pedang sahabat Rasulullah termasuklah khalifah yang berempat.
Audience Chamber: Ruang pameran yang dianggap suci kerana mempamerkan peninggalan Rasulullah seperti cebisan gigi dan janggut, cop mohor rasmi, surat yang ditandatangani oleh baginda, pedang dan busur panah. Ayat Al-Quran juga sentiasa dibacakan oleh mufti di sini secara langsung.
Chamber of the Blessed Mentle: Tempat di mana disimpan jubah Nabi Muhammad SAW dan panji suci milik baginda.
|
Surat Nabi Muhammaad SAW kepada pemerintah Mesir, Muqawqis yang dipamerkan |
Sementara laman keempat merupakan tempat ahli keluarga diraja mengambil angin dan bersiar-siar menghirup udara segar menghadap Lautan Marmara. Terdapat beberapa bangunan kecil di sini yang dipanggil Kiosk antaranya Yerevan Kiosk, Baghdad Kiosk, Iftar Kiosk dan bilik berkhatan putera raja yang dipanggil
Circumcision Room. Terdapat juga sebuah masjid di sini yang bernama
Terrace Mosque.
|
Terrace Mosque atau Sofa Camii |
Ketika di Istnbul, anda boleh melihat sebuah masjid yang tersergam indah di atas bukit. Itu ialah
Masjid Suleymaniye yang dibina pada tahun 1558 oleh
Sultan Suleyman The Magnificient. Bangunan hasil rekaan jurutera terkenal zaman itu
Sinan Pasha (yang turut dimakamkan di sini) mengandungi 4 batang menara setinggi 72m, lebih tinggi dari menara Masjid Biru. Masjid ini pernah 3 kali mengalami kemusnahan iaitu ketika kebakaran pada taun 1660, gempa bumi 1766 dan Perang Dunia Pertama ketika lamannya yang dijadikan tempat simpanan peluru terbakar. Jenazah 3 orang sultan iaitu Sultan Suleiman I, Suleiman II dan Ahmed II turut dimakamkan di sini.
|
Pemandangan Masjid Suleymani dari Menara Galata |
Pasti ada yang pernah mendengar nama sebuah pasukan bole sepak terkenal di Turki, Galatasaray SK yang berasal dari sebuah kawasan Istanbul lama dan terletaknya
Galata Tower. Menara 9 tingkat setinggi 66.9m ini dibina pada tahun 1348 oleh orang-orang Genoa yang berasal dari Itali. Menara ini pernah digunakan sebagai menara tinjau untuk memantau kebakaran di sekitar kota Istanbul. Sebuah jambatan yang cukup terkenal di sini dan menjadi jambatan pertama merentasi Golden Horn ialah
Galata Bridge yang mula dibina pada tahun 1845 dan telah mengalami revolusi sebanyak 5 kali sehinggalah ke rekabentuk sekarang. Dibina sepanjang 490m, ia bertindak menghubungkan kota Istanbul lama dan baru dan menjadi tumpuan kaki pancing.
|
Galata Tower yang terletak di Istanbul |
Sekiranya anda mengikuti pakej POTO Travel, anda akan ditawarkan untuk mengikuti lawatan tambahan menyusuri
Bosporus. Pengalaman menarik menaiki cruise ini tidak seharusnya dilepaskan kerana pemandangan yang cukup indah disajikan kepada anda. Selain itu terdapat beberapa bangunan penting zaman dahulu yang dapat anda lihat sepanjang perjalanan itu.
|
Rombongan POTO bergambar di atas cruise |
Salah satu bangunan terpenting ialah
Dolmabahce Palace. Istana ini dibina oleh
Sultan Abdul Mecid I pada tahun 1856 dengan kos sebanyak 35 tan emas. Ianya bertindak sebagai pusat pemerintahan kerajaan Uthmaniyyah dari tahun 1856 sehinggalah khalifah yang terakhir pada tahun 1924. Setelah itu Presiden pertama Turki,
Mustafa Kamal Ataturk menggunakan istana ini sebagai kediaman beliau sehinggalah kematian beliau pada 10 November 1938. Menariknya jam di dalam kamar di mana beliau menghembuska nafas yang terakhir hanya akan menunjukkan waktu kematiannya pukul 9.05 pagi. Kini istana ini dijadikan muzium yang dibuka kepada orang ramai. Di sini umum boleh menyaksikan chandelier yang dibuat dari kristal Bohemian yang terbesar di dunia.
|
Dolmabahce Palace yang terletak di daerah Besiktas |
Di penghujung Bosporus, tersergam gah sebuah kubu pertahanan yang digelar
Rumelian Castle atau dalam bahasa Turki disebut
Rumelihisari yang bermaksud "kubu di atas tanah Rom". Ia telah dibina oleh
Sultan Mehmed II pada tahun 1452 sebelum baginda menakluk kota Constantinople. 3 menara kawalan utama yang terdapat di situ diberi nama sempena 3 wazir yang membina menara tersebut;
Sadrazam Candarli Halil Pasha,
Fanos Pasha dan Sarica Pasha. Kubu ini hanya dibina dalam masa 4 bulan bagi mengawal trafik keluar masuk dari Lautan Hitam kerana Sultan Mehmed II bimbang akan bantuan ketenteraan kepada kerajaan Byzantine dari Genoa. Menarik tentang kubu ini ialah jika dilihat dari atas ia akan kelihatan seperti perkataan kaligrafi Arab bertulis Muhammad. Ini kerana baginda ingin menaikkan semangat pejuang ketika itu bagi menakluk kota Constantinople. Sebahagian dari istana ini musnah ketika gempa bumi pada tahun 1509 tapi telah diperbaiki oleh sultan yang memerintah ketika itu.
|
Rumelian Castle merupakan kubu pertahanan menangkis ancaman laut |
Anatolian Castle atau
Anadoluhisari merupakan kota pertahanan pertama yang dibina di sepanjang Bosporus. Ia telah dibina oleh
Sultan Bayezid I pada tahun 1394 sebagai sebahagian dari perancangan baginda untuk serangan ke-2 ke atas kota Constantinople yang berlaku pada tahun 1395. Terdapat 1 menara utama, 5 menara tinjau dan sebuah masjid di dalamnya. Selepas kejatuhan kota Constantinople, kubu ini telah dijadikan penjara taawanan perang oleh tentera Uthmaniyyah.
|
Anatolian Castle yang terlindung oleh rumah di tebing Bosporus |
Admin: Bersambung bahagian 2..
No comments:
Post a Comment