Countdown

26 September 2013

[ARTIKEL] Kashmir: Bukan Sekadar Lokasi Terkenal Filem Bollywood


Apabila memperkatakan tentang Kashmir, kebanyakan daripada kita akan terbayangkan pemandangan indah pokok-pokok nan menghijau serta gunung-ganang tersergam di kejauhan, dilitupi oleh salji.

Namun begitu, Kashmir menyimpan banyak sejarah dan khazanah yang tidak diketahui oleh ramai orang, melainkan bagi mereka yang pernah bertandang ke sini.

Latar belakang:

Kashmir merupakan sebuah wilayah yang kecil, terletak di barat laut India. Ianya merupakan sebuah lembah yang terletak antara Banjaran Himalaya dan Banjaran Pir Panjal di kawasan paling utara negara India.

Lembah ini berasal dari sebuah lembah air. Perkataan Ka membawa maksud air, manakala perkataan Shimir pula bermaksud yang dikeringkan. Maka, Kashmir membawa maksud lembah yang dikeringkan airnya.

Sekarang, wilayah Kashmir terbahagi kepada 3 pemerintahan:

Jammu dan Kashmir yang ditadbir oleh India, meliputi lembah Kashmir serta Jammu dan Ladakh.
Kawasan-kawasan Utara (Northern Areas) dan Azad Kashmir yang ditadbir oleh Pakistan, dan;
Rantau Aksai Chin dan Laluan Trans-Karakoram yang ditadbir oleh China.

Sejarah:

Maharaja Mauryan, Ashoka dikatakan merupakan orang yang bertanggungjawab membuka bandar Srinagar, yang kini merupakan ibu negeri Jammu dan Kashmir. Pada masa itu, Kashmir merupakan pusat pendidikan bagi agama Buddha.

Berikutan berkembangnya pemerintahan Islam mulai tahun 1349, Islam menjadi agama dominan di Kashmir. Pada masa itu, penganut agama Islam dan Hindu di Kashmir hidup secara harmoni, memandangkan cara hidup sufi di Kashmir yang diamalkan dalam ajaran Islam melengkapi tradisi Rishi yang diamalkan oleh Pendita-Pendita Kashmir.

Bagaimanapun, setelah beberapa lama kerajaan Sufi memerintah Kashmir, ia digantikan dengan kerajaan monarki Islam apabila Akbar Khan menakluk Kashmir pada 1588.

Menjelang awal abad ke-19, lembah Kashmir telah melalui beberapa pemerintahan, didahului dengan Empayar Durrani di Afghanistan, dan kemudian di bawah pemerintahan Islam Mogul dan Afghan selama empat abad, sehingga kepada penaklukan oleh tentera Sikh pada awal abad ke-16.

Selepas berlaku pemberontakan India pada tahun 1857, apabila Kashmir menyokong British, negeri Kashmir kemudian diletakkan di bawah naungan Raja British.

Maharaja Hari Singh, yang menaiki takhta Kashmir pada tahun 1925 telah memerintah Kashmir sehinggalah kerajaan monarki Sikh itu dijadikan sebagai sebahagian daripada jajahan British sehingga tahun 1947 sebelum terjebak dengan pergolakan selepas Pemisahan Jajahan British India yang membawa pembentukan dua negara iaitu India dan Pakistan.

Selepas pembentukan negara Pakistan yang terpisah daripada India, kedua-dua negara India dan Pakistan telah bersetuju supaya pemerintah Kashmir diberi hak, sama ada mahu menyertai Pakistan atau India. Naungan British di Kashmir berakhir pada 14 Ogos, 1947.

Kashmir sebagai destinasi pelancongan di India:

Industri pelancongan merupakan salah satu daripada sumber pendapatan utama Kashmir, selain daripada industri pertanian, penghasilan sumber makanan dan juga penghasilan fabrik.

Pada abad ke-19, Kashmir mula menjadi terkenal sebagai pusat pelancongan kerana iklimnya yang sejuk.

Gulmarg adalah kawasan yang popular di Kashmir di mana para pelancong datang ke sini untuk bermain dengan salji dan mencuba aktiviti ski.

Srinagar pula terkenal dengan tasik dan perahu kerana ianya terletak di tepi Sungai Jhelum, anak sungai Indus. Ia juga dikenali kerana terdapatnya banyak kedai-kedai yang menjual kraftangan tradisional Kashmir seperti barangan perak, gam, ukiran kayu dan tenunan sutera.

Manakala kawasan Skardu di bahagian Utara, merupakan tapak pendaki-pendaki gunung berlepas untuk ekspedisi pendakian di Karakorams.

Ekonomi Kashmir juga tertumpu kepada kegiatan pertanian. Tanaman utama penduduk Kashmir adalah padi yang merupakan makanan ruji penduduk Kashmir.

Kashmir sejak zaman silam terkenal sebagai pengeluar bulu kambing Cashmere yang dieksport ke seluruh dunia. Kashmir juga terkenal sebagai pengeluar barangan kraftangan seperti selendang, permaidani sutera, permaidani tebal dan tembikar.

Ekonomi Kashmir terjejas teruk sejak berlakunya gempa bumi besar pada 8 Oktober 2005, yang mengakibatkan lebih 70,000 orang mati di kawasan yang dikuasai oleh Pakistan manakala 1,500 lagi mati di kawasan Kashmir yang dikuasai India.

(Sumber fakta: Wikipedia)


Panorama di Srinagar, ibukota wilayah Kashmir

Rumah-rumah bot di Srinagar

Seorang peniaga makanan di Kashmir

Panorama indah di Gulmarg, Kashmir

Gulmarg merupakan destinasi utama di Kashmir ketika musim sejuk

No comments:

Post a Comment