Sejarah dan pembangunan Shenzhen
Setibanya
saya di Shenzhen dari Hong Kong, saya begitu terpegun dengan kepesatan pembangunan
bandar ini. Tidak sangka saiz kota Shenzhen ini sangat besar sekali. Kerdipan
lampu-lampu neon pada bangunan-bangunan pencakar langit di sini mengingatkan
saya tentang Tokyo. Wow, betul-betul tidak sangka!
Perjalanan
ke Shenzhen dari Hong Kong tidaklah mengambil masa yang lama. Sama sahaja
seperti mahu ke Singapura dari Johor Bahru. Segala urusan pemeriksaan hanya
mengambil masa kira-kira satu jam sahaja sekiranya tiada apa-apa masalah.
Namun
begitu, keadaan boleh menjadi lebih sesak di Terminal Imigresen bergantung
kepada hari dan masa. Pada petang hari Jumaat dan Ahad, saya difahamkan trafik
selalunya agak sedikit sesak dek rakyat dari Tanah Besar China yang mahu masuk ke
Hong Kong dan sebaliknya.
Shenzhen
adalah kota metropolitan termuda di negara China. 30 tahun yang lalu, bumi
Shenzhen ini dilitupi oleh hutan tebal. Kawasan ini hanya didiami oleh para
petani dan penternak ikan. Populasi di Shenzhen pada ketika itu hanyalah
sekitar 300 ribu orang.
Oleh
kerana lokasinya yang begitu strategik, terletak bersebelahan dengan kota besar
dan pusat ekonomi Asia iaitu Hong Kong, Shenzhen telah dibangunkan pada tahun
1980an sebagai Zon Ekonomi Istimewa (Special
Economic Zone) yang pertama di China.
Pembangunan
yang pesat di Shenzhen ini adalah visi pemerintahan cara baru oleh pemerintah
negara China pada ketika itu, Deng Xiaoping. Begitu berbeza dengan dasar “tutup
pintu” yang diamalkan oleh pemerintah-pemerintah China sebelum beliau. Shenzhen
dibangunkan sebagai pusat perindustrian utama di China. Kini, ianya mempunyai
penduduk sejumlah lebih 12 juta orang.
Kota impian generasi muda
Saya
difahamkan oleh beberapa penduduk tempatan di sini bahawa sekitar 85% daripada
penduduk Shenzhen adalah golongan bekerja yang berumur di antara 20-an dan
40-an. Golongan muda ini rata-ratanya berasal daripada daerah-daerah yang lain
di China. Mereka merantau ke Shenzhen untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang
lebih baik berbanding di kampung masing-masing.
Terdapat
juga sebilangan besar penduduk Shenzhen yang bekerja di Hong Kong kerana gaji
yang lebih besar di sana. Namun, mereka memilih untuk menetap di Shenzhen
kerana kos sara hidup di sini yang jauh lebih murah berbanding di Hong Kong.
Senario ini seakan sama seperti situasi penduduk di Johor Bahru yang bekerja di
Singapura.
Kepesatan
pembangunan industri perkilangan di sini banyak membantu membentuk
peluang-peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Sepanjang pemerhatian saya ketika berada di
Shenzhen, saya seringkali ternampak ramai ‘mat salleh’ yang berpakaian kemas di
sekitar kawasan bandaraya ini. Barangkali banyak juga syarikat-syarikat
antarabangsa yang melabur di Shenzhen.
Tidak
hairannya ramai rakyat China yang berkelana ke Shenzhen. Bandar ini pastinya
menjanjikan peluang untuk mengubah nasib hidup menjadi lebih baik. “The land of hopes and dreams” bak kata
dalam bahasa Inggeris.
Jelajah satu dunia di Shenzhen!
Jika
dahulu, sebut sahaja tentang pergi melancong ke China, pastinya Beijing dan
Shanghai menjadi buah mulut perbualan. Namun kini, nama Shenzhen semakin meniti
populariti di kalangan para pelancong asing. Lihat sahajalah kota Shenzhen ini,
begitu besar sekali!
Salah
satu tarikan pelancongan yang tersohor di Shenzhen adalah Window of the World. Taman
tema seluas 120 ekar ini merupakan sebuah taman besar yang mengandungi replika-replika monumen yang
ternama dari seluruh pelusuk dunia seperti Menara Eiffel, Piramid Giza, Istana Buckingham,
Air Terjun Niagara, Taj Mahal, bandaraya Manhattan dan sebagainya.
Saya
merasakan Window of the World ini adalah suatu simbolik yang menunjukkan
keterbukaan masyarakat China masa kini terhadap dunia luar. Berbeza dengan
keadaan di sini beberapa dekat yang lalu. Segalanya begitu moden dan up-to-date sekarang.
Dengan
bayaran serendah CNY120 (kira-kira MYR63), pengunjung berpeluang untuk
mengelilingi dunia dalam masa satu hari sahaja! Sempat juga saya bergambar
sakan di beberapa monumen di sini.
Begitu
hebat orang China saya fikir, semua benda mereka boleh tiru dengan baik. Bukan
sahaja barangan kegunaan harian, malahan Menara Eiffel juga mereka boleh
klonkan! Dahsyat!
Selera makanan Halal
Seperti
Beijing dan Shanghai, mendapatkan makanan halal di Shenzhen tidaklah begitu sukar.
Dianggarkan seramai 100 ribu warga China yang beragama Islam tinggal di
Shenzhen. Lantaran itu, restoran-restoran halal tumbuh bagaikan cendawan
selepas hujan di sini.
Ketika
saya di Shenzhen, saya sempat singgah di beberapa restoran muslim yang
menyediakan makanan ala cina yang halal. Restoran-restoran halal di sini bukan
sahaja dikunjungi oleh pelanggan yang beragama Islam, malah oleh orang lain
juga.
Cara
masakan di kebanyakan restoran halal di sini sama seperti restoran-restoran
yang lain. Perbezaannya hanyalah pada sumber daging yang digunakan. Oleh itu,
restoran-restoran halal di sini mendapat sambutan baik daripada seluruh
penduduk tempatan yang semakin memahami konsep penyediaan makanan cara muslim
ini.
Paling
istimewa adalah juadah kebab daging lembu, kambing dan ayam yang sering dijual
diperkarangan kawasan masjid. Daging yang digunakan untuk membuat kebab ini
disembelih di kawasan masjid itu sendiri pada hari yang sama. Sekali cuba,
memang terasa kesegaran dagingnya.
Sungguh enak sekali!
Syurga membeli-belah
Dengan
menaiki bas persiaran, saya pergi pusing-pusing ke sekitar bandaraya Shenzhen.
Terlalu banyak pusat membeli-belah eksklusif seperti Pavilion yang saya lihat.
Butik-butik jenama tersohor antarabangsa seperti Chanel, Gucci, Prada, Zara dan
H&M juga melimpahi segenap sudut kota muda ini. Ternyata ekonomi di sini
sedang berkembang dengan begitu pesatnya.
Bercakap
tentang membeli-belah di Shenzhen, salah satu tempat yang wajib dikunjungi
adalah Dongmen. Kawasan ini memang sangat happening,
terutamanya ketika waktu malam. Ianya juga mengingatkan saya tentang Shibuya di
Jepun. Kemeriahan dan keriuhan suasana di sini seakan sama seperti Shibuya.
Terdapat
pelbagai kedai-kedai menarik di Dongmen yang menjual pelbagai jenis barangan
seperti pakaian, kasut, beg tangan, fabrik, kosmetik dan sebagainya. Ada juga
beberapa department store di sini
yang menjual barangan yang lebih berkualiti berbanding dengan kedai-kedai lain
di bibir jalanan.
Pada
waktu hujung minggu, Dongmen pasti dibanjiri oleh anak-anak muda yang
bertandang ke sini untuk lepak-lepak sambil membeli-belah bersama rakan-rakan.
Pancaran cahaya lampu neon daripada seluruh arah juga menjadikan Dongmen tempat
yang cocok untuk bergambar sakan. Pendek kata, sungguh meriah kawasan Dongmen
ini seperti Jalan TAR ketika menjelang Hari Raya.
Bagi
mereka yang ingin membeli barangan elektronik seperti powerbank dan external hard
drive, Luohu Commercial City adalah tempatnya! Gedung borong yang mempunyai
5 tingkat ini bersedia untuk memuaskan selera shopping anda. Bukan sahaja
barangan elektronik, pakaian dan eksesori juga ada dijual di sini.
Namun
pengunjung harus berhati-hati. Pastikan anda bijak tawar menawar di sini supaya
anda tidak ditipu oleh penjual di sini yang sering mengambil kesempatan ke atas
pelancong asing. Tambahan lagi, sebelum meninggalkan kedai, periksa dahulu barangan
yang dibeli. Pastikan ianya barangan yang betul, tiada kerosakan dan semuanya
berada di dalam keadaan yang baik.
Shenzhen sentiasa di hati
Pertama
kali ke Shenzhen, hati saya memang tertambat. Kota besar ini tertanya
“mengejutkan” saya dengan pembangunannya yang begitu pesat. Seiring dengan
aliran kemajuan di Hong Kong, Shenzhen bangkit menjadi pusat perkasaan ekonomi
di negara China.
Bukti
kekuatan ekonomi boleh dilihat di mana-mana sahaja di Shenzhen. Daripada
bilangan bangunan pencakar langit yang semakin bertambah sehinggalah kepada
jumlah penghijrahan masuk rakyat China daripada pelbagai daerah lain ke sini.
Pada
pendapat saya, Shenzhen seharusnya menjadi lokasi yang wajib dilawati ketika
berada di China. Banyak yang boleh dilihat dan dipelajari di sini.
Biarpun
persinggahan saya di sini cuma untuk beberapa hari sahaja, namun banyak
pengalaman yang sempat saya kutip. Kota metropolitan ini akan tetap bersemarak di
hati saya. Saya akan kembali lagi untuk menyambung penerokaan saya di sini. In
Sha Allah…
Dongmen yang sangat happening! |
Dongmen sesak dengan pengunjung terutamanya pada hujung minggu |
Salah sebuah masjid di Shenzhen |
Taman tema Window of the World |
Window of the World tidak putus-putus menerima kunjungan pelancong tempatan dan antarabangsa |
Klon Menara Eiffel di Window of the World, Shenzhen |
Shenzhen yang pernah ku lawati....memang best!
ReplyDeleteBerapa harga pakej?
ReplyDelete