Hati saya teruja bukan kepalang apabila dimaklumkan perlu
terbang ke Los Angeles, Amerika Syarikat atas urusan kerja. Sudah hampir 8
tahun saya meninggalkan bumi Amerika Syarikat. Kenangan 4 tahun setengah
belajar di negara tersebut masih segar di dalam benak ingatan. Di sanalah saya
belajar erti berdikari dan nilai tanggungjawab sebagai seorang warganegara
Malaysia yang menggalas nama baik negara ke mata dunia.
Amerika Syarikat sememangnya terkenal dengan nama jolokan ‘The Land of Hopes and Dreams’. Dengan
pengalaman menetap di sana, saya mengerti betapa dalamnya maksud gelaran
tersebut. Negara berkuasa itu amat kaya dengan budaya moden yang berbagai corak
dan cara. Sesiapa sahaja yang bertuah untuk melawat Amerika Syarikat, pastinya
akan terasa denyutan aura glamour bak
selebriti ternama ketika berada di sana. Lambakan tempat tarikan pelancong dan
pusat membeli-belah menjanjikan pengalaman yang mustahil untuk dilupakan.
Berbaloi sangat terperuk di dalam kapal terbang selama lebih 24 jam!
Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles
(LAX), saya tidak henti-henti tersenyum kegembiraan biarpun keletihan. Los
Angeles, yang bermaksud The Angels
dalam bahasa Sepanyol, merupakan bandar paling padat dengan penduduk di Amerika
Syarikat. Kota metropolitan itu juga adalah salah satu pintu gerbang utama
kemasukan para pelancong dari seluruh pelusuk dunia ke dalam negara tersebut.
Los Angeles amat terkenal dengan beberapa tempat tarikan pelancongan bertaraf
dunia seperti Universal Studio Hollywood, Disneyland California, Grauman's
Chinese Theatre dan Citadel Outlets.
Tidak sah kunjungan ke Los Angeles kalau tidak singgah di
Universal Studio Hollywood. Dibuka kepada umum pada 15hb Julai 1964, taman
bertemakan filem-filem ternama Hollywood itu masih lagi digunakan sebagai
studio dan lokasi penggambaran sebenar cereka blockbuster di sana. Pengunjung yang bertandang ke sana akan dibawa
menerokai keajaiban teknologi tercanggih filem Hollywood melalui beberapa taman
tema khas seperti Jurassic Park, The Transformers 3D, The Mummy, The Simpsons, Despicable
Me dan banyak lagi.
Kepenatan seharian berjalan di sekitar Universal Studio
Hollywood bagaikan tidak terasa kerana pancaindera saya tidak pernah sunyi
daripada dirangsang oleh tarikan-tarikan hebat yang dibina di sana. Kedai
cenderahati juga terdapat di setiap penjuru di dalam taman tema itu, jadi
pengunjung tidak perlu gusar untuk membeli hadiah kenang-kenangan untuk
keluarga dan kawan-kawan.
Disneyland California juga tidak kurang seronoknya. Sekali-sekala,
elok juga menjadi kanak-kanak semula! “Kampung” kepada Mickey dan Minney Mouse,
Cinderella, Little Mermaid, Aladdin, Peter Pan dan banyak lagi karakter cerita
dongeng kanak-kanak itu sememangnya layak dipanggil ‘the happiest place on Earth’. Saban tahun, tempat itu menerima
kunjungan daripada lebih 18 juta pelancong yang terbang dari segenap pelusuk
dunia.
Sehari suntuk berada di situ, saya bagaikan tersesat di
alam fantasi yang penuh warna-warni dan keseronokan. Terdapat pelbagai tarikan
istimewa di Disneyland California seperti Main Street USA, Fantasyland,
Tomorrowland, Adventureland, Mickey's Toontown dan banyak lagi. Kepada pelawat
yang membawa anak-anak kecil, Disneyland adalah tempat paling cocok untuk bergambar
sakan dan menghasilkan memori-memori manis yang baru. Jangan lepaskan juga
peluang untuk menyaksikan parade
dengan maskot-maskot comel berdansa di hadapan Cinderella’s Castle pada waktu
tengahari dan malam.
Tempat paling glamour
di kota Los Angeles sudah semestinya adalah Grauman's Chinese Theatre dan Kodak
Theatre, yang terletak bersebelahan antara satu sama lain. Majlis anugerah
filem paling berprestij di dunia, iaitu The Oscars ataupun Academy Awards,
dilangsungkan di Kodak Theatre setiap tahun. Pada malam berkenaan, kesemua
pelakon ternama di sana akan berjalan di atas hamparan karpet merah yang
dibentangkan di Hollywood Boulevard tersebut. Pada hari-hari yang lain, tempat
itu menjadi tujuan “rakyat jelata” yang ingin melihat kemeriahan kawasan tersebut. Pada setiap hujung minggu,
Hollywood Boulevard pasti akan amat sesak dengan ratusan pelancong tempatan dan
asing.
Berjalan di sepanjang Hollywood Walk of Fame, sempat juga
saya melihat kesan tapak tangan bintang-bintang ternama Hollywood seperti Julia
Robert, Richard Gere, Meryl Streep, Sean Connery dan banyak lagi. Tempat itu
juga acap kali dibanjiri oleh penjaja, pemuzik dan ahli silap mata jalanan yang
bertamu di situ untuk mencari rezeki mereka. Sekiranya dahaga atau lapar, boleh
juga duduk sambil menghirup kopi panas di Hard Rock Café Hollywood.
Kalau ke Amerika Syarikat, bak kata orang, ongkosnya perlu
besar! Kalau ke sana tetapi tidak bershopping,
alahai begitu rugi! Di Los Angeles, terdapat satu pusat membeli-belah terkenal
yang dipanggil Citadel Outlets. Inilah dia “sarang” terletaknya barangan
berjenama pada harga runtuh. Lokasinya tidak jauh, kira-kira hanya 15-20 minit
perjalanan menaiki kereta dari pusat bandar Los Angeles.
Sedikit sejarah mengenai Citadel Outlets; ianya diasaskan
pada tahun 1918! Setelah hampir seabad umurnya, pusat membeli-belah itu telah berkembang
dengan begitu pesat. Kini, ianya menjadi “rumah” kepada lebih 120 butik-butik
barangan berjenama yang popular seperti COACH, Adidas, Nike, GAP, Levi’s,
GUESS, Calvin Klien, Dockers, Kate Spade dan macam-macam lagi. Sesiapa yang
suka bergaya bak superstar, barangan
di Citadel Outlets pasti menepati selera anda.
Untuk keselamatan diri anda, tidak perlulah membawa terlalu
banyak wang tunai ke sana. Kesemua butik di situ menerima bayaran dengan
menggunakan kad kredit. Namun, pastikan anda membawa kad kredit yang diiktiraf
di luar negara.
Pusat membeli-belah itu juga dilengkapi dengan pelbagai
kemudahan seperti tempat istirahat, restoran dan kafe. Setelah penat berjalan
dan bershopping, pengunjung boleh
berhenti seketika untuk snack break
di Stackbucks atau Auntie Anne’s Pretzel.
Walaupun hanya dapat meluangkan 4 hari sahaja di Los
Angeles, namun terubat juga rindu di hati terhadap kota mega itu. Meski
kadang-kala telinga saya agak bingit dengan bunyi kesibukan kenderaan di sana,
Los Angeles ternyata sebuah destinasi yang unik. Tiada tempat lain di dunia ini
yang sama seperti Los Angeles. Seperti cermin, kota L.A. adalah refleksi kepada
gaya hidup penduduk di sana yang penuh gemerlapan dan kilauan!
Sebelum berlepas ke destinasi yang seterusnya, saya menanam
azam untuk kembali lagi ke Los Angeles. Saya berharap lawatan yang akan datang
bakal menyajikan pengalaman yang berlainan pula. Walaupun jarak perjalanannya
begitu jauh dari Malaysia, kepenatan badan seakan luput apabila pesawat
mendarat di sana. The Angels, saya
akan kembali!
Kepada yang berminat untuk ke USA bersama-sama POTO Travel
& Tours, anda boleh layari laman sesawang rasmi www.pototravel.com.my untuk keterangan
lanjut.
Kota Los Angeles |
Disneyland California |
Disneyland California |
Disneyland California |
Hollywood Walk of Fame |
Hollywood Boulevard |
Universal Studio Hollywood |
Citadel Outlets |
Cantik gambar.... terbaik!
ReplyDeleteLast year dah pergi... tak pasti tahun 2016 nak pergi lagi ke tak... huhu....