Countdown

20 August 2013

Viva Italia! Fantastika Florence (Bahagian 1)


The videos may not reflect the actual itinerary of the trip organized by POTO Travel & Tours.

Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Itali mengambil masa yang agak lama, kira-kira dalam 14 jam. Masa di dalam kapal terbang dihabiskan dengan mentelaah tentang latar belakang tempat-tempat yang bakal saya lawati sepanjang 12 hari bertandang di negara yang penuh sejarah ini.

Banyak juga cerita-cerita menarik yang telah saya dengar mengenai Itali daripada rakan-rakan yang pernah melawatnya. Menjejakkan kaki ke “negara pasta” ini merupakan impian yang telah saya simpan sekian lama. Syukur kepada Tuhan kerana diberi kesempatan untuk menerokainya.

Di antara semua tempat yang tertera di senarai itinerari, hati saya tertarik dengan Florence. Ianya merupakan bandar berpopulasi tertinggi di daerah Tuscany, dengan penduduk seramai 370 ribu orang. Kecantikan bandar ini tetap terpelihara dengan ciri-ciri zaman Renaissance nya biarpun berabad masa sudah berlalu. Tidak hairanlah majalah Forbes juga telah menggelarkan Florence sebagai bandar yang tercantik di dunia.

Florence telah melahirkan ramai karyawan dan orang seni yang terkenal di serata dunia. Nama-nama anak jatinya seperti Leonardo da Vinci, Donatello, Dante Alighieri, Guccio Gucci dan Roberto Cavalli tidak memerlukan pengenalan lagi. Ternyata ada sesuatu yang mistis mengenai Florence yang menyebabkan kota ini memberi cetusan ilham berkarya kepada ramai insan manusia.

Selain karya seni, Florence juga terkenal kerana sejarahnya, budaya juga senireka bangunan dan monemen yang begitu majestik. Pada tahun 1982, Florence diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. Saban tahun, bandar Florence sahaja menerima kunjungan oleh lebih 1.7 juta pelancong.

Lokasi pertama yang saya lawati ketika berada di Florence ialah Piazza della Signoria. Dataran perhimpunan dalam bandar ini tidak seperti dataran umum di tempat-tempat lain. Ianya dipenuhi dengan arca-arca ikonik seperti Michelangelo’s Statue of David, the Fountain of Neptune, patung Hercules dan juga patung Perseus yang sedang memegang kepala Medusa.

Sudah menjadi kemestian kepada para pelancong yang berkunjung ke the Fountain of Neptune untuk melemparkan duit syiling ke dalam kolam air pancut 2-tingkat tersebut. Dianggarkan sejumlah 700 ribu Euro duit syiling dilemparkan ke dalam kolam itu setiap tahun. Duit-duit syiling itu akan dikutip oleh pihak perbandaran untuk disalurkan kepada badan-badan amal.

Pemandangan ketika berdiri tegak di tengah-tengah Piazza della Signoria adalah begitu menakjubkan. Sudut 360 darjah saya dikelilingi senario yang terindah; kafe-kafe kecil yang kelihatan klasik, pelancong-pelancong yang bergembira sambil mengambil gambar, burung-burung merpati yang berterbangan di udara dan pemuzik-pemuzik jalanan yang bersungguh menghiburkan orang ramai yang lalu-lalang.

Seri Piazza della Signoria ditambah lagi dengan kelibat beberapa tempat bersejarah penting yang lain seperti Palazzo Vecchio, the Uffizi Museum, the Palazzo Uguccioni, the Loggia de Lanzi dan Jambatan Ponte Vecchio.


[BERSAMBUNG]

Piazza della Signoria
the Fountain of Neptune
Pelukis jalanan di Piazza della Signoria
Para pelancong di Piazza della Signoria

No comments:

Post a Comment