Countdown

29 April 2014

Mengembara ke South Island, New Zealand! (Bahagian Pertama)

Alhamdulillah, dengan planning beserta kajian yang saya buat dalam masa tiga bulan untuk pemilihan ke destinasi luar negara, akhirnya saya telah memutuskan percutian untuk kali ini ke South Island, New Zealand! Berpenat lelah dengan pelbagai research yang dilakukan untuk mengetahui destinasi mana yang menarik di bumi Kiwi ini, agar perjalanan ke sana nanti akan menjadi lebih bermakna. Iyalah, walaupun saya pergi bersama agensi pelancongan, namun perlu juga kita sebagai pelanggan untuk mengambil inisiatif sendiri untuk mengetahui tempat-tempat yang menarik untuk dilawati.
Perjalanan bermula sekitar beberapa bulan yang lalu, meninggalkan negara tercinta sementara waktu untuk menjelajah ke bumi New Zealand.  Menurut pembacaan saya, New Zealand adalah sebuah negara kedua terbesar di dunia. Terbahagi kepada dua, iaitu Pulau Utara dan Pulau Selatan. Dikatakan masyarakat Maori menamakan New Zealand sebagai Aotearoa yang membawa maksud ‘Tanah berawan putih yang panjang’. Kepulauan Niue dan Cook, yang berkerajaan sendiri tetapi merupakan negara bersekutu ini juga disenaraikan dibawah kerajaan New Zealand.
Perjalanan dari Christchurch hingga ke Queenstown membuahkan kenangan yang sangat manis. Christchurch merupakan sebuah bandar yang terletak di pesisir timur Pulau Selatan di New Zealand dan merupakan bandar terbesar di pulau itu. Ia juga merupakan kawsan urban kedua terbesar di New Zealand selepas Auckland.
Bandar Christchurch diambil namanya dari kolese katedral Christ Church di Universiti Oxford di mana ianya ialah Otautahi dalam Bahasa Maori. Namanya telah diberikan oleh Pertubuhan Canterbury, John Robert Godley dan mendapat persetujuan pada 27 Mac 1848 ketika mesyuarat pertama ditubuhkan.
Untuk pengetahuan, bandaraya Christchurch sangat terkenal sebagau sebuah bandar yang membekalkan air minuman yang bersih serta berkualiti, tulen dan jernih. Ia merupakan pembekal air yang terbaik di dunia kerana air yang dibekalkan itu disalurkan dengan menggunakan saluran paip awam yang sesuai untuk kegunaan domestik dan tujuan minuman. Airnya ditapis secara semulajadi dan tidak perlu dirawat terlebih dahulu dengan menggunakan system bekalan air. Sumber air yang diperolehi ini datangnya dari air sungai di kaki bukit Pergunungan Alps selatan.
Bandar Christchurch

Christchurch City Mall
Tiba di Christchurch, saya bersama yang lain disajikan dengan pemandangan indah Canterburry Plains, iaitu pertanian perdagangan. Ia adalah kawasan jalinan sungai dan pastoral yang terletak di antara Selatan Alps dan Lautan Pasifik. Apa itu pastoral? Saya mencarinya di dalam dewan Bahasa dan pustaka. Maknanya ialah ladang ternakan secara tradisi yang berasal dari Eropah yang berasaskan pastura. Sistem perladangan ini menunjukkan keadaan dan kaedah penternakan tradisi seperti dalam kampung yang tidak menggunakan banyak jentera. Sistem ini juga mempunyai kaitan dengan sistem perladangan integrasi kerana penternakan haiwan dengan tanaman wujud di dalam satu ladang. Sistem sebegini masih diamalkan dengan meluas di Eropah Timur dan di Afrika. Aktiviti utama di sini setelah tiba ialah posing dan menangkap gambar! Terasa damai bila duduk sambil menikmati suasana dan keindahan di kawasan ini. Wah, macam tak nak berganjak dah! Walhal, ini baru lawatan pertama, masih ada banyak lagi lawatan-lawatan yang bersusun untuk dikunjungi.





Masa untuk berada di sini sudahpun berakhir, maka kami perlu ke tempat seterusnya, iaitu Tasik Pukaki, tasik yang paling besar di antara ketiga-tiga tasik yang terdapat di Southern Island iaitu Lake Tekapo dan Ohau. Dikatakan terjadinya tasik ini juga sama seperti Tasik Tekapo, iaitu daripada pengaliran glasier yang mencair dan batu-batu halus. Tasik ini meliputi kawasan seluas 178km persegi dengan ketinggian 518-532 meter di atas paras laut. Ia berhampiran dengan Aoraki/Mount Cook. Semasa tiba di destinasi, saya teruja! Begitu jernihnya air tasik ini, kebiru-biruan! Sudah tentu airnya tidak dicemari dengan bendasing-bendasing kotor. Kemudian, kami dibawa pula ke Tasik Tekapo. Ketika kaki saya menjejaki Tasik Tekapo, saya terpaku. Subhanallah, begitu indah ciptaan yang Maha Esa. Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata begitu cantiknya pemandangan di sini. Saya difahamkan bahawa Tasik Tekapo ini merupakan tasik kedua besar daripada tiga tasik utama yang terletak di Selatan New Zealand. Kawasan ini mempunyai keluasan kira-kira 83km persegi dengan ketinggian sehingga 700 meter di aras paras laut. Tekapo adalah berasal dari perkataan Maori, iaitu Taka (sleeping mat) dan Po (night).

Perjalanan menghala ke Tasik Pukaki




Tasik Tekapo yang indah dari jauh!



Kawasan tasik ini dihiasi dengan sejenis bunga Lupins yang tumbuh di sini, iaitu tumbuhan eksotik yang boleh membesar sehingga 1.5 meter! Lupines Russell menghasilkan bunga berwarna-warni . Bunga yang seperti kacang dan datang dalam pelbagai warna seperti biru, ungu, oren, kuning, merah jambu, putih atau campuran dua warna. Ya, tasik ini memang terkenal dengan warna biru turqois yang unik, hasil dari pancaran matarhari di bawah batu tanah yang halus dan glasier yang mencair. Cantik seperti di dalam lukisan!

Tasik ini juga sangat popular dan menjadi kegemaran destinasi pelancongan di mana terdapat beberapa hotel resort yang terletak di sepanjang persisiran tasik ini. Rasa bertuah memandangkan ketika itu cahaya matahari memancar dan memang berpeluang melihat keindahan biru turqois. Jika tiba ketika cuaca mendung, maka tasik itu akan kelihatan berwarna keruh. Kami mengambil masa yang agak lama singgah di sini, rasa sayang pula hendak meninggalkannya. Oleh kerana terdapat beberapa tempat lagi yang perlu disinggah, maka dengan berat hati kami meneruskan perjalanan Mount Cook. Sebelum memulakan pengembaraan di sana kami berhenti sebentar di sekitar Church of the Good Shepherd. Gereja tua ini telah dibangunkan pada tahun 1935 dan merupakan destinasi utama yang wajib disinggahi di Tasik Tekapo. Bangunan yang cantik ini cukup fotogenik apabila diambil gambarnya dari pelbagai jenis sudut. Patutlah gereja ini mendapat jolokan sebagai gereja yang paling popular dan digemari di seluruh New Zealand. Oh ya, jika teringin melihat kerdipan bintang, bolehlah ke sini ketika waktu malam, itupun kalau berani. Gelak saya di dalam hati.

Tasik Tekapo juga. Nampak tak Church of the Good Shepherd yang jauh nun di sana? 



Setelah selesai, kami ke Mount Cook yang merupakan sebuah gunung yang tertinggi di New Zealand. Mempunyai ketinggian kira-kira 3.724 meter, ia merupakan destinasi yang popular bagi pendaki tegar! Perjalanan ke Mt Cook dari Tasik Tekapo ini memakan masa lebih kurang 1 jam lebih. Pada awal rancangan ialah membuat aktiviti walking yang berdekatan Mt.Cook Valley itu. Kawasan lain yang menarik untuk dilawati ialah Mount Cook Village, Edmund Hillary Alpine Centre, Tasman Valley dan Tasman Glacier lake. Oleh kerana matahari mula semakin condong, maka kami hanya melakukan aktiviti biasa mengambil gambar setiap destinasi yang berdekatan di situ. Perjalanan mesti diteruskan, iaitu ke Queenstown pula!



Edmund Hillary Alpine Centre


Tasman Glacier lake

Bersambung...

10 comments:

  1. indahnya ciptaan Allah.. rasa nak duduk sana lama-lama huhuhu

    www.wanpulautioman.com

    ReplyDelete
  2. MasyaAllah Indahnya pemandangan... klu x keberatan blh x encik emailkan kpd sy website atau no tel travel agen yg encik ambil tempohari?
    mimiehazira@gmail.com

    ReplyDelete
  3. Thanks for your sharing. Sangat membantu utk planning ke NZ

    ReplyDelete
  4. saya dah p semua tempat ni tahun 2014 subhanaallah cantik .......................

    ReplyDelete
  5. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  6. saya dah p semua tempat ni tahun 2014 subhanaallah cantik .......................

    ReplyDelete
  7. Maaf.. Kenyataan di perenggan kedua :
    "Menurut pembacaan saya, New Zealand adalah sebuah negara kedua terbesar di dunia"
    Saya rasa ada kekhilafan fakta di sini.

    ReplyDelete
  8. sememangnya new zealand memang indah dan orang nya amat bersopan dan peramah...allahamdulliah telah tiba di bumi new zealand selama 3 minggu menjelajah dengan motorhome...allahamdullilah

    ReplyDelete