Countdown

28 July 2013

Kembara Fantastik ke Amerika Selatan (Bahagian 1)

Nota: Artikel ini ditulis oleh penulis jemputan.


Mari kita melancong ke Amerika Selatan! Memang terbaik! Saya telah menikmati sendiri keseronokannya ketika membuat recce trip ke sana baru-baru ini. Kumpulan recce trip ini diketuai oleh CEO, Hj. Ab. Rahman Mohd. Ali, ke empat buah negara iaitu Argentina, Peru, Uruguay dan Brazil. 

Tujuannya ialah untuk melihat sendiri tempat-tempat menarik di negara berkenaan, juga kemudahan hotel, makan minum, pengangkutan dsb supaya apabila POTO menjalankan pakejnya, semuanya berkualiti.

Kenapa? Sebab - anda pun tau, kan - POTO sentiasa utamakan kepuasan para pelanggannya.  

Okey... macam mana dengan kembara itu? WOW! fantastik! Sekarang, mari kami ceritakan perjalanan kembara kami dan kenapa anda mesti melancong bersama POTO ke negara-negara ini.

ARGENTINA 

Buenos Aires:


Kota yang indah dengan dihiasi pokok-pokok berbunga ungu dan merah jambu. Antara tempat menarik ialah Casa Rosada, iaitu pejabat kerajaan yang dibina pada 1713, kemudian dijadikan pejabat Presiden.


Untuk pengetahuan anda, di sinilah letaknya balkoni kedua paling terkenal di dunia selepas balkoni tempat Juliet bertemu Romeo di Verona, Itali.  Di situlah dulu ikon terkenal Argentina, Evita (Eva) Peron (isteri Presiden Juan Peron, 1946-1955 ) berdiri dan melambai ke arah ratusan ribu rakyatnya yang hidup melarat, sambil memberikan kata-kata semangat.

Cuba tonton filem Evita, lakonan Madonna. Memang touching, terutama di saat-saat kematian Eva akibat kanser, kemudian dimainkan lagu Don’t Cry For Me Argentina.


Di hadapan Casa Rosada ialah Plaza de Mayo. Ia merupakan pusat yang merakamkan sejarah Argentina, penjajahan Sepanyol dan kebangkitan rakyatnya. Di situlah dahulu tempat rakyat miskin Argentina berhimpun menanti Eva muncul memberikan harapan.


Kini di dataran itu rakyat Argentina melakukan tunjuk perasaan. Yang paling menarik adalah protes oleh veteran Perang Falkland (1982).  Selain itu, pada 1976-78, kerajaan militari Argentina telah melaksanakan `pembersihan’ ke atas rakyatnya yang menentang kerajaan. Dalam tempoh itu lebih 30,000 orang dibunuh.

Kini pada setiap pukul 3.00 petang hari Khamis, ibu-ibu yang kehilangan anak – yang diseksa, dibunuh dan hilang begitu saja – akan berhimpun di Plaza de Mayo dengan memakai skaf putih bertekatkan nama anak masing-masing. Anda perlu datang ke sini dan saksikan perhimpunan tersebut.

Caminito di La Boca

Tempat yang sangat ceria. Bangunannya dicat berwarna-warni. Kalau hendak tengok tarian tango, di sinilah tempatnya. Nak shopping pun di sini sebab barangannya murah-murah.





Delta dan El Tigre

Cantik dan romantis. Perjalanan ke sini bermula dengan menaiki feri selama sejam dari pelabuhan BA. Delta adalah nama bandar petempatan air yang terdiri daripada beratus-ratus pulau. Rumah-rumah di situ sangat menarik,  dikelilingi pokok-pokok menghijau dan bunga-bungaan pelbagai jenis. Pengangkutan di situ semuanya menggunakan air, malah ambulan pun guna bot.

Setelah melihat pemandangan indah di Delta, apa lagi, shoppinglah! Tempatnya di bandar El Tigre.



Florida Street:

Tempat membeli-belah yang terbaik! Cenderahati wajib ialah jersi bolasepak. Anda mahu jersi Argentina (home dan away, lama dan baru) atau jersi kelab, pilih saja. Nak nama Messi, Hugiaun, Angel de Maria atau Mardona, pun pilih saja. Nak yang original atau copy, pun boleh. Heaven on Earth! Apa ertinya kalau ke Argentina tapi tak beli jersi bola, kan?

Kepada wanita, Argentina juga syurga untuk membeli beg tangan. Jangan terkejut, terdapat banyak jenama terkenal buatan Argentina, antaranya  Prune, Mitchels, Adrea Swain, Tosone, Ricky Sarkany, Blaque, Cardon dan Elboyero. Mungkin anda tidak pernah dengar jenama tersebut, tetapi kami berani jamin, memang cantik dan trendy. Dengan harga di sekitar RM500 pun anda sudah boleh menggalas sebuah beg tangan baru sehebat jenama terkenal AS dan Eropah.

Itu belum kasut, tali pinggang dan baju. Anda mesti cuba jenama ini dan anda akan nampak lain dari yang lain. Kami jamin anda takkan menyesal.

Apa lagi yang menarik di Argentina? Ronda-ronda sekitar Palermo dan San Telmo. Satu lagi, jangan lupa bergambar dengan mural legenda bolasepak dunia, Diego Maradona. Ada banyak mural Maradona di sana, khususnya sekitar Stadium Boca Juniors, kelab yang menaikkan nama beliau. 

Sebelum balik, belilah T-shirt Yo Soy El Diego, yang memaparkan nombor kad pengenalan, gambar dan tandatangan Maradona.






[Bersambung]

1 comment: