Pages

29 January 2015

Kenangan Indah Hari Pertama di Star Cruise Libra (Hari ke-2)

Kami memulakan hari kedua dengan bersarapan di Four Season Restoran. Seperti mana yang sedia maklum sebelum ini,  hanya terdapat satu restoran sahaja yang mendapat pengiktirafan Halal dari Jakim  iaitu Spices Restaurant. Walaubagaimanapun, restoran Spices ini tidak dibuka untuk sarapan pagi. Tapi jangan risau. Terdapat restoran-restoran yang boleh untuk bersarapan antaranya Restoran Four Season dan juga Marine Buffet yang bercirikan “Pork Free”. Ingin dimaklumkan bahawa terdapat sebuah restoran yang TIDAK HALAL iaitu Restoran Ocean Palace.  Kami memulakan sesi sarapan pada jam 9 pagi.

Pada jam 9.30pagi kami memulakan sesi “recce” kami dengan melawat bilik-bilik yang terdapat di dalam kapal ini. Untuk pengetahuan semua, terdapat pelbagai jenis kategori bilik yang disediakan antaranya ialah

1.     Bilik Dalaman
2.     Bilik Bertingkap pemandangan laut terhalang
3.     Bilik pemandangan laut berpintu angin
4.     Bilik pemandangan laut bertingkap
Sekiranya inginkan bilik yang lebih mewah, bolehlah menempah bilik mewah dengan pemandangan laut iaitu Bilik Suite Junior ataupun bilik Suite Eksekutif


Bilik pemandangan laut (L shape)


Bilik mewah pemandangan terhalang


Selain dari melakukan pemeriksaan terhadap bilik, kami turut melakukan pemeriksaan terhadap perkhidmatan – perkhidmatan lain antaranya “Golf Cage”, Gelanggang Bola Keranjang, Gimnasium dan pelbagai lagi. Bagi keluarga yang mempunyai anak kecil, jangan risau kerana terdapat perkhidmatan “Child Care Centre”. Pusat jagaan kanak-kanak ini dibuka setiap hari. Pelbagai aktiviti yang menyeronokkan ada disediakan.



Child care centre

Gimnasium


Basketball court

Tanpa kami sedari hampir 3 jam kami menjalankan  tugas pemeriksaan bilik dan kemudahan di atas kapal. Perut pun berbunyi mohon untuk diisi. Tanpa berlengah, kami terus menuju ke Spices Restaurant untuk menikmati hidangan makan tengahari. Pelbagai menu disediakan untuk makan tengahari yang menyelerakan.
Hari ini juga hari yang dinantikan kerana kami akan keluar dari kapal untuk mengadakan lawatan ke Phuket. Aturcara hari ini, kapal berlabuh di Pelabuhan Laut Dalam Ao Ma Kham. Tepat jam 12.30 tengahari, kami diminta untuk berkumpul di Stardust Lounge mengikut pelekat-pelekat pakej lawatan pilihan yang telah dibeli. Pakej lawatan tambahan yang kami pilih adalah lawatan sekitar Phuket dan juga membeli belah (Shopping & Sightseeing).



Lebih kurang jam 1 petang, kami bergerak keluar dari kapal menuju ke Bas yang ditetapkan. Bas yang kami naiki bernombor 19 dan pemandu pelancong kami adalah En. Godi.

Destinasi pertama kami di Phuket adalah Promthep Cave. Perjalanan dari pelabuhan mengambil masa selama 40 minit. Setibanya kami di sana, kami dapat melihat pemandangan yang amat menakjubkan. Kami diberi masa selama 20 minit untuk mengambil gambar sebagai kenangan.




Dah nama pun “Shopping & Sightseeing”, destinasi kami seterusnya adalah membeli belah di kedai gajus, Gedung barang perhiasan dan juga Phuket Premium Outlet. Di sana pengunjung dapat membeli baju dan kraftangan tempatan untuk di bawa pulang sebagai cenderamata untuk keluarga dan sahabat-handai.



Kedai menjual Gajus


Destinasi seterusnya sebelum kembali ke kapal adalah melawat sekitar Pantai Patong. Kami diberi masa selama 2 jam untuk bersiar-siar di kawasan sekitar. Terdapat banyak kedai makan dan juga tempat membeli belah. Memandangkan kami tidak sempat untuk makan malam di dalam kapal, kami telah menikmati makan malam di sebuah kedai makan yang terdapat di medan selera di Jungceylon Shopping Complex.  Terdapat 2 buah kedai makan yang halal. Pelbagai menu makanan yang dijual dan harga yang ditawarkan amat berpatutan. Antara menu hidangan yang dipilih adalah nasi putih tomyam, telur dadar, nasi goreng tomyam dan pelbagai lagi. Makanannya sangat sedap!


Pemandangan matahari terbenam di Pantai Patong



Jungceylon Shopping Complex. 

Apabila selesai sahaja menikmati makan malam yang sangat lazat, kami meneruskan perjalanan kembali ke kapal. Kami telah dinasihatkan untuk kembali ke kapal selewat-lewatnya  2 jam sebelum kapal bergerak dari pelabuhan Phuket. Kapal akan mula bergerak pada jam 1 pagi. Walaubagaimanapun, kami mengambil langkah selamat untuk kembali ke kapal sebelum jam 10 malam.
Sebelum masuk ke dalam kapal, sekali lagi kami melalui pemeriksaan keselamatan. Hal ini bertujuan untuk memastikan tiada barang-barang yang dilarang di bawa masuk ke dalam kapal. Antara barang yang terlarang adalah perkakas tajam, buah-buahan yang berair dan berbau seperti durian, longan, laici 


Setelah selamat masuk ke dalam kapal, kami meneruskan aktiviti malam ke 2. Seperti biasa, rujukan kami berpandukan kepada Navigator. Pada jam 10.30 malam terdapat persembahan “Colours of Asia” A crew show extravaganza di Stardust Lounge.

Persembahan ini dipersembahan oleh staf cruise sendiri. Terdapat nyanyian dan nyanyian yang mewakili negara-negara di Asia. Mewakili Negara Malaysia adalah tarian yang ditarikan melatarbelakangkan lagu Dikir Puteri nyanyian penyanyi Noraniza Idris. Persembahan ini mengambil masa selama 45 minit.

Selepas itu kami meneruskan aktiviti menyaksikan persembahan STAR-18 Laugh Out loud. Walaubagaimanapun, persembahan ini terdapat bayaran tiket masuk. Kami telah menempah tiket tersebut sebelum keluar lawatan sekitar Phuket. Harga untuk menonton persembahan ini adalah RM 30 seorang. Sepanjang 1 jam tempoh persembahan, kami tidak berhenti ketawa melihat keletah dan aksi yang dimainkan. Persembahan ini sangat menghiburkan. Sangat berbaloi dengan harga tiket yang dibayar.


Selesai sahaja persembahan tersebut, kami semua kembali ke bilik masing-masing untuk merehatkan diri. 

BERSAMBUNG...

No comments:

Post a Comment