Pages

21 January 2015

Kenangan Indah Hari Pertama di Star Cruise Libra


Masih teringat-ingat pada 12 Oktober 2014 yang lalu merupakan tarikh keramat bagi kami berempat kerana berpeluang merasai pengalaman yang cukup terindah  disamping bekerja. Kami telah diamanahkan oleh syarikat POTO Travel & Tours untuk membuat ‘recce’ dengan kapal persiaran mewah, Superstar Libra Star Cruise. Recce trip ini bertujuan memberikan pendedahan awal kepada pihak kami supaya memastikan pelanggan-pelanggan kami mendapat maklumat yang lengkap sekiranya mereka memilih pakej ini untuk melancong.

Seperti yang dimaklumkan, perkhidmatan Cruise ini bermula dari pelabuhan Pulau Pinang. Oleh hal yang demikian, terdapat 3 alternatif perjalanan sekiranya bermula dari Kuala Lumpur. Sama ada memandu kereta sendiri, membeli tiket penerbangan atau menaiki bas persiaran. Kami memulakan recce ini dari Kuala Lumpur dengan menaiki Bas Ekspress. Bas Ekspress menjadi pilihan kami adalah ALISAN GOLDEN COACH. Bayaran tiket bas pula sebanyak RM 38 seorang manakala tempoh perjalanan mengambil masa selama lebih kurang 4 jam.



Apabila tiba di Butterworth, tidak perlu risau kerana hentian bas Butterworth terletak bersebelahan dengan terminal feri. Hanya perlu berjalan dalam jarak 100 meter untuk tiba ke Terminal Feri. Bayaran feri pula adalah RM1.20 untuk sehala manakala untuk arah pulang ke Butteworth pula adalah percuma. Sekiranya tiada duit syiling, jangan risau, anda boleh tukarkan di kaunter sebelah pintu masuk. Waktu menunggu feri mungkin mengambil masa lebih kurang 20 – 30 minit dan tempoh perjalanan dari terminal feri Butterworth ke terminal feri Pulau Pinang mengambil masa selama 45minit.

Sebelum tiba di Jeti Feri Pulau Pinang yang terletak di Terminal Feri Pangkalan Raja Tun Uda, sudah kelihatan Starcruise  Libra yang seolah-olah melambai-lambai menunggu kedatangan kami. Perasaan teruja semakin membuak-buak dalam diri ini. Wah, tak sabarnya!


Setibanya kami di terminal feri Pulau Pinang, kami bersepakat untuk berjalan kaki lebih kurang 10 minit menuju ke terminal Cruise yang terletak di Swettenham Pier Cruise Terminal. Ingin saya maklumkan bahawa terminal Feri adalah berbeza dengan terminal Cruise. Apabila sampai di terminal feri, kelihatan ramai pelancong-pelancong dari luar negara yang turun dari Bas Persiaran. 


Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah mengambil aturcara program cruise sepanjang 4 hari 3 malam. Program ini lebih dikenali dengan panggilan Star Navigator. Semua maklumat disediakan dalam Star Navigator tersebut antaranya waktu makan tengahari, waktu makan malam , lokasi tempat persembahan “Deck” dan pelbagai lagi.



Urusan daftar masuk sama seperti urusan di lapangan terbang. Perlu membawa passport dan juga “confirmation voucher” ketika urusan di kaunter daftar masuk. Sekiranya berkumpulan, hanya seorang sahaja sudah cukup untuk membuat proses daftar masuk. Akan tetapi, jangan lupa membawa semua passport setiap peserta.


Selesai sahaja urusan daftar masuk, setiap peserta diberikan access card. Pelbagai kegunaan access card ini antaranya sebagai kunci pintu, kad untuk membeli-belah dan yang paling penting adalah sebagai kad pengenalan diri. Hal ini kerana apabila melepasi sahaja kaunter imigresen, passport setiap peserta perlu diserahkan kepada pihak cruise. Jadinya, sepanjang 4 hari 3 malam peserta hanya bergantung kepada access card ini sahaja.




Sebelum memasuki cruise, setiap peserta turut diadakan sesi bergambar dan diberikan tuala lembap untuk refreshment.  

Masuk sahaja ke dalam cruise, setiap peserta dikehendaki scan beg yang dibawa masuk. Tujuan utama adalah untuk memastikan barang-barang yang dilarang tidak dibawa masuk ke dalam cruise. Antaranya seperti gambar di bawah.



Oh ya! Jangan lupa ya untuk membuat tempahan bagi makan malam Gala setelah masuk ke dalam cruise. Hal ini kerana terdapat tempoh masa untuk membuat tempahan iaitu dari jam 3:15 petang hingga 4:30 petang bertempat di Stardust Lounge di Deck 5. Tempahan ini berdasarkan first-come first served basis. Jadinya, kalau lambat, pasti anda akan terlepas menikmati makan malam yang sangat istimewa.

Selepas itu, kami meneruskan pencarian ke bilik kami. Bilik tidur kami terletak di Deck 3. Kategori bilik ini adalah jenis CC.



Tepat sahaja jam 4.45 petang, setiap peserta perlu berkumpul di assembly station untuk aktiviti safety drill for all guests. Aktiviti ini wajib disertai oleh setiap orang kerana staff cruise sendiri akan menerangkan prosedur keselamatan yang perlu diambil sekiranya berlaku kecemasan.


Selepas sahaja mendengar taklimat mengenai keselamatan, kami menuju ke Pool Deck yang terletak di tingkat 9 untuk menyertai Octoberfest Sail Away Party. Aktiviti ini seolah-olah menyambut kedatangan kami ke cruise yang serba mewah ini. Di sana kami berkenalan dengan kapten yang mengemudi cruise ini.  Setiap kali ada party, mestilah disertakan dengan makanan yang beraneka jenis. Makanannya pula, semua yang sedap dan menyelerakan!


Selepas sahaja menyertai Welcoming Party, kami ke tingkat 10 untuk melihat dan menikmati pemandangan sewaktu matahari terbenam. Subhanallah! Saya cukup terkesima dengan ciptaan Illahi. Pemandangan sangat indah dan sangat tenang. Amat sesuai bagi sesiapa yang inginkan kedamaian dan ketenangan.

Apabila menjelang malam, kami bergerak ke Spices Restaurant untuk menikmati juadah makan malam. Melancong dengan cruise tidak sah kalau perut asyik diisi dengan juadah yang beraneka dan sedap. Terdapat juga makanan laut yang segar serta menyelerakan!

Untuk makluman semua, Spices Restaurant merupakan satu-satunya restoran yang mendapat pengiktirafan sijil halal yang diluluskan oleh JAKIM. Jadinya, anda tidak perlu ragu-ragu untuk menikmati juadah yang disediakan di SPICES RESTAURANT.



Selepas sahaja menikmati makan malam, terdapat pelbagai aktiviti menarik yang boleh disertai. Apalagi, Star Navigator la yang menjadi sumber rujukan utama. Antara persembahan yang kami sertai adalah Showtime: Richard Burr and Josette. Persembahan ini ala-ala magik yang sangat menarik dan menghiburkan. Selain dari menyaksikan persembahan percuma, terdapat juga beberapa persembahan berbayar. Sekiranya terkeliru, jangan risau kerana terdapat ramai anak-anak kapal yang sudi membantu  anda!

Aturcara program hari pertama berakhir dengan movie time. Movie yang disediakan adalah Captain America The Winter Soldier. Tayangan ini bermula pada jam 12.00 tengah malam sehingga jam 2.15 pagi. Seharian berpenat lelah dari Kuala Lumpur sehingga ke Penang dengan pelbagai program dan persembahan yang kami sertai, maka tibalah masanya kami berundur ke kabin masing-masing untuk mengecas tenaga dan merehatkan diri ini.

BERSAMBUNG...


No comments:

Post a Comment