Pages

23 January 2014

Seindah Namamu, Pamukkale…

Seawal jam 7 pagi lagi saya sudah terpacak di depan hotel selepas mencubit sedikit roti untuk breakfast memandangkan perut ini masih terlalu awal untuk menerima sebarang makanan. Saya bangun pada jam 5 pagi untuk bersiap-siap kerana semata-mata ingin meluangkan seharian masa untuk melawat ke tempat-tempat yang ada di Pamukkale. Gembira? Teruja? Usah ditanya!

Pamukkale, memang tidak semua tahu mengenai keistimewaan yang terdapat pada bandar itu. Rata-rata daripada mereka lebih mengenali Instabul, Izmir atau Ankara yang sememangnya telah popular dan megah di kalangan para pelancong. Namun, Pamukkale apa juga kurangnya? Mempunyai keistimewaannya sendiri sehingga diangkat dan diwartakan oleh UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia. Alhamdulillah, sekali lagi saya diberi kesempatan untuk mengunjungi ke bandar yang indah ini! 

Pamukkale, merupakan bahasa Turki, di mana “Pamuk” adalah kapas dan “Kale” pula bererti benteng yang membawa maksud Cotton Castle atau istana kapas. Ia juga digelar sebagai istana putih. Ia adalah sebuah kolam air panas semula jadi yang terletak di Denizli di barat daya Turki. Mengapa ia dikenali sebagai istana putih adalah kerana kepekatan calcite yang tinggi di dalam air sehingga menyebabkan persekitarannya menjadi putih dan terbentuknya seperti mineral teres berkarbonat. 

Setelah tiba di sini, kelihatan Travertines dari jarak jauh semasa menuruni bas di mana ia merupakan tarikan utama pelancong di sini. Apa itu Travertines? Ia terhasil akibat kolam air panas meninggalkan deposition batu kapur. Maka, terjadinya pembentukan staglatit dan staglamit serta tekstur yang menarik hasil dari pergerakan air yang secara bertingkat-tingkat. Mempunyai ketinggian kira-kira 100 meter, ia kelihatan juga seperti air terjun yang membeku jika diamati dari jarak yang lebih dekat, mungkin disebabkan enapan batu kapur serta kawasan landskap memutih yang bagaikan salji. Menarik kan? 


Cantiknyaaa!

Dari jarak yang jauh sedikit
 
Inilah yang dimasukkan Travertines!



Terdapat lebih kurang 17 mata air panas yang bersuhu antara 35 sehingga 100 darjah celcius. Saya berserta dengan pengunjung lain datang ke sini dan tidak melepaskan peluang untuk merendamkan kaki di dalam salah satu daripada takungan air mineral ini! Tempat ini sememangnya menjadi kegemaran para pelancong dari negara-negara barat terutamanya pada waktu musim panas. Tertulis di dalam sejarah di mana kolam ini pernah dijadikan sebagai tempat untuk bermandi-manda. Namun, telah berlaku kerosakan pada Pamukkale akibat pembinaan hotel di atas runtuhan Hieropolis sejak pada abad pertengahan ke-20. Kesemua hotel-hotel telah diruntuhkan dan dijadikan sebagai kolam buatan.

Disebalik keseronokan dan keselesaan meletakkan kaki ke dalam air, lagenda ada mengatakan bahawa air takungan mineral ini mempunyai banyak khasiat yang baik untuk kesihatan. Ia boleh digunakan untuk merawat kebanyakan penyakit seperti tekanan darah tinggi, masalah peredaran darah, gangguan saraf, keletihan, penyakit kulit, penyakit jantung  dan lain-lain lagi penyakit. Untuk menjalankan proses penyembuhan dan mendapatkan hasil yang berkesan, perlu merendam kaki ke dalam air panas sekurang-kurangnya selama 15 hari.
 
Terdapat sebuah kisah yang berlaku di Istana Pamukkale, di mana seorang gadis tempatan yang mempunyai wajah yang kurang jelita sehingga tiada seorang lelaki pun yang ingin menikahinya. Oleh kerana tertekan, gadis tersebut telah memutuskan untuk membunuh diri di salah satu kolam di Pamukkale. Gadis itu telah bertukar menjadi seorang yang sangat jelita! Lalu, dia pun telah bernikah dengan seorang pemuda bangsawan dan hidup bahagia buat selama-lamanya.

Kawasan di sekitar Pamukkale ini dibawah perlindungan secara berterusan bagi tujuan memelihara kecantikannya agar kekal dan tidak dimusnahkan. Hanya beberapa kawasan sahaja yang boleh dilawati dan sentiasa dipantau oleh golongan polis. Bagi mereka yang ingin memijak batu kapur serta merasai mata air, stoking dan kasut hendaklah ditanggalkan sebagai langkah penjagaan.

Terletak bersebelahan dengan Istana kapas ialah Kota Hierapolis dengan keluasan sebanyak 2,700 meter panjang dan 160 meter tinggi. Ia berasal dari perkataan Greek iaitu bandar suci, iaitu kota lama kerajaan Greek-Roman yang telah wujud lebuh 2,000 tahun dengan kesan peninggalan runtuhan kota purba ini. Diasaskan oleh Raja Eumenes II, ia hampir musnah akibat berlakunya gempa bumi semasa dibawah penaklukan Rom pada abad ke-17 Masihi. Terletak kira-kira 450km dari bandar Bursa di Lembah Sungai Menderes, bandar lama ini telah menyimpan sejarah awal kerajaan Turki.

Sebuah kuil telah didirikan oleh orang Phrygia pada sekitar awal abad ke-3 sebelum Masihi. Lokasi pembangunan kuil ini telah bertukar menjadi Hierapolis dan dikembangkan menjadi sebuah spa pada abad ke-2 untuk ditunjukkan kepada Raja Pergamon, Eumenes II oleh Roma. Namun begitu, nama Hierapolis ini masih lagi diperdebatkan kerana sebahagian daripada mereka mempercayai bahawa namanya telah diambil sebagai penghormatan kepada Hiera, isteri Telephos yang telah menubuhkan dinasti Attalid. Ada juga yang berpendapat bahawa ia diambil dari sebuah kuil Hieron yang telah dibina di tempat itu.

Tinggalan yang ada di kota purba Hierapolis



Colonnade atau deretan tiang yang terdapat di kota Hierapolis
 Seperti yang dinyatakan sebelumnya, kota lama ini telah dirosakkan oleh gempa bumi dan hampir hancur keseluruhannya oleh gempa yang lain. Kemudian, ia dibangunkan semula ala-ala gaya Romawi pada awal abad pertama Masihi. Kota Hieropolis terus berkembang selama tempoh dua abad serta didirikan sebuah teater yang terkenal oleh Kaisar Hadrian, Roman Theater. Teater besar yang terletak di bandar ini dibina pada tahun 206 di lereng bukit dan di bawah pengaruh Teater Greek yang mampu memuatkan seramai 12 ribu penonton. Selepas berlakunya gempa bumi yang besar , ia mengambil masa kira-kira selama 144 tahun untuk membangunkannya semula. Jangan lepaskan peluang untuk singgah di sini dan melawat teater yang sudah menjangkau 1800 tahun ini. Walaupun mungkin terdapat teater Rom yang lain di Turki, namun di sini merupakan salah satu teater yang terbaik yang dipelihara oleh orang-orang yang tinggal di Efesus dan Bodrum. Teater purba ini telah menjadi tuan rumah bagi majlis perayaan dan konsert selepas pemulihan dijalankan pada tahun 2013.

Saya mengangguk-angguk tanda faham apabila diceritakan oleh tour guide yang membawa kami ke sini. Banyak perceritaan sejarah mengenainya yang telah dikongsikan sedikit sebanyak menambah ilmu pengetahuan dari luar negara. Lanjutan penjelasan yang diberikan ialah kota Hieropolis ini diberikan status khusus yang disebut sebagai Neocoros oleh Kaisar Caracalla pada awal abad yang ke-3, secara tidak langsung memberikan Hieropolis jumlah hak istimewa di dalam sistem hukum Romawi.

Tambahan oleh Tour Guide kami, Hieropolis terus berkembang maju dengan populasi yang mencapai sehingga lebih dari 100 ribu orang! Kota ini semakin dikenali ramai kerana mata air dan juga pelbagai kuil yang dibina. Selain itu, terdapat sejumlah 50 orang Yahudi yang dijadikan sebagai tempat tinggal bagi orang-orang Kristian dan Yahudi.





Separuh dari abad yang pertama Masihi, orang Kristian mula keluar dan berpindah ke Hieropolis dan dipercayai hampir secara keseluruhannya membanteras kepercayaan pagan yang dahulunya telah berkembang di kota ini. Plutonium, yang merupakan gua suci ini pula diisi dengan batu oleh orang-orang kristian untuk melambangkan dominasi mereka. Ia dijadikan sebagai pintu masuk menuju dunia bawah tanah dan tempat mandi yang dibina tidak ubah seperti sebuah gereja. Gua ini selalu ditutup kerana dipercayai mempunyai aroma gas yang beracun.

Hierapolis telah direbutkan semasa berlaku Perang Salib namun ditinggalkan apabila tiba akhir abad ke-14. Sekali lagi, kota ini dilanda gempa sekitar abad ke-16 tetapi tiada seorang pun yang mendiami kota itu, lalu ianya tidak lagi diperbaiki apabila mengalami kerosakan. Keruntuhan dan kerosakan pada kota lama yang tidak tersentuh itu dilakukan penggalian semua pada akhir abad ke-19 sehingga pada awal abad ke-20. 

Plutonium dan di hadapnnya ialah tempat mandi-manda
 
Close up gua Plutonium
Aroma gas yang keluar dari gua itu menyebabkan kehidupan mati seperti burung



Bagi saya, kota Hieropolis ini merupakan tapak yang menawan yang dpenuhi dengan pelbagai runtuhan arkeologi serta saki-baki keindahan seni bina Hellanistik dan Rom. Saya telah menghabiskan masa selama hampir 2 jam untuk mencari selok-belok  mengenai kota purba ini. Yang menariknya, saya dapat melihat Roman Theather di atas bukit kecil apabila berdiri di sekitar kawasan sacred pool yang hanya memakan masa 10 minit sahaja dengan mendaki bukit kecil itu. 

Sacred pool adalah kawasan yang mudah dijadikan sebagai landmark kerana sekitar kolam ini boleh menemukan bangunan lain seperi  Hierapolis Museum, Travertines dan Kuil Apollo. Merupakan kolam air tinggalan Roman yang dibangunkan serta dimajukan, ianya terbuka untuk para penungujung yang ingin bermandi-manda air mineral semula jadi di kawasan tertutup. Kos kemasukan selama dua jam ke dalam kolam ini adalah berharga 18 TL untuk dewasa dan 7 TL untuk kanak-kanak lingkungan 6 hingga 12 tahun. Sememangnya kolam ini juga adalah bagus sebagai rawatan kesihatan!

Keruntuhan Kuil Apollo yang terletak tidak jauh dari kolam renang suci itu dipercayai telah dijadikan sebagai dewa pelindung kota ini. Terdapat saki-baki dan beberapa anak tangga kuil yang dibangunkan dengan model Yunani. Ia juga terletak di sebelah selatan gua Plutonium. Boleh lihat runtuhan tiang yang telah terhumban di dalam kolam suci itu. Jika ini bermandi-manda di sini, perlu diingatkan agar tidak membuka mata semasa menyelam kerana akan membuatkan mata menjadi pedih.

Hierapolis Museum, adalah sebuah muzium khas di istana kapas yang dibina bagi menarik lebih ramai pengunjung sebagai langkah insiatif pihak berkuasa Turki di atas tapak bekas mandian Rom di kota lama Hierapolis pada tahun 1984. Pelbagai tinggalan artifak bersejarah yang dipamerkan termasuklah artifak dari Attuda, Collossae, Laodiceia dan kawasan-kawasan lain di Lembah Lycos selain kota kuno itu.

Sacred pool atau kolam suci dengan timbunan tiang, saki baki runtuhan kuil Apollo


Kuil Apollo

Nymphaeum yang terletak di hadapan kuil Apollo
Muzium Hierapolis
Patung singa

Patung Artemis
Perayaan Dionysus
 
Penemuan barangan pada awal zaman gangsa
 
Hades (Pluto)
Saya pulang ke Malaysia dengan satu perasaan yang gembira. Sememangnya, sangat berbaloi melawat ke kawasan Pamukkale, biarpun kota ini tidaklah sebesar mana jika nak dibandingkan dengan yang lain. Kerana keunikan yang terdapat di bandar ini, maka tidak hairanlah mengapa ia diangkat dan diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. Pastikan ada memasukkan Pamukkale ini sebagai antara senarai destinasi lawatan yang utama  jika ingin melancong ke Turki!

Dengan mengikuti pakej ke Turki, banyak lagi tempat menarik yang akan dikunjungi iaitu Konya, Bursa, Instanbul dan lain-lain lagi selama 9 hari 7 malam, dengan harga RM 5,288! Diskaun istimewa diberikan kepada warga emas dan juga kanak-kanak. Untuk mengetahui info lengkap mengenai pakej ini untuk perlepasan bulan April-Jun, sila layari laman sesawang rasmi POTO di www.pototravel.com.my atau hubungi kami di talian 03-9200 6640.
 

No comments:

Post a Comment