Pages

3 January 2014

London Yang Satu! (Bahagian Akhir)

[SAMBUNGAN DARIPADA BAHAGIAN 2]

Picadilly Circus
Shop until you drop!

Walaupun saya kurang gemar bershopping ketika melancong, namun saya telah “terjebak” jua dek tawaran harga murah yang berlangsung di sini sempena perayaan Krismas. Memang dasyat jualan murah di London! Barangan seperti pakaian, aksesori diri, makanan, gajet, kelengkapan rumah dan banyak lagi dijual dengan potongan harga yang besar.

Semua kedai seperi berlumba-lumba untuk merebut pelanggan masuk ke dalam premis masing-masing. Ikutkan hati, ingin sahaja menyewa sebuah kapal untuk membawa pulang barang-barang daripada London ke Malaysia. Namun, saya berjaya mengawal nafsu berbelanja saya di sini.

Oxford Street 
Oxford Street
Regent Street
Oxford Street, Regent Street dan Harrod’s merupakan tiga destinasi shopping utama di London. Terdapat pelbagai butik-butik jenama terkenal di Oxford Street dan Regent Street seperti Primark, H&M, UniQlo, Zara, TopShop, River Island, Ted Baker dan sebagainya. Jangan lupa untuk meminta borang pampasan Value-Added Tax (VAT) setiap kali membayar supaya anda boleh mendapatkan kembali kira-kira 12% wang anda semasa di Lapangan Terbang sebelum pulang.

Bagi mereka yang mampu untuk berbelanja lebih, pengalaman bershopping di Harrod’s semestinya tidak boleh dilepaskan. Senireka dalaman di dalam emporium mewah ini amat cantik. Bekas pemilik gedung ini iaitu Dodi Al-Fayed memberikan sentuhan citarasa Timur Tengah yang eksklusif bagi menarik perhatian golongan berada untuk bertandang datang ke sini.

Harrod's
Bahagian dalam Harrod's
Harrod's sentiasa dipenuhi pengunjung
Sediakan payung sebelum hujan

Hanya satu perkara sahaja yang saya kurang gemar tentang London; cuacanya. Cuaca di sini amat sukar untuk dijangkakan. Dalam masa dua jam sahaja, keadaan boleh bertukar daripada sejuk kepada panas dan seterusnya hujan lebat bersama angin kuasa. Cuaca di sini sememangnya agak menggila, terutamanya ketika musim sejuk (bulan November sehingga Februari tahun seterusnya).

Oleh itu, amat penting bagi para pelancong yang datang ke sini untuk meneliti tentang ramalan cuaca daripada TV, akhbar ataupun internet. Persediaan awal seperti memakai jaket kalis air serta membawa payung pasti tidak akan menghampakan anda.

Hujan di Wesminster
Penduduk London sentiasa bersedia dengan keadaan cuaca di sini
Pengalaman basah lencun ketika berada di Picadilly Circus amat tidak boleh dilupakan. Walaupun saya mempunyai payung, namun hujan lebat dengan angin yang kuat tidak mampu ditampung boleh payung kecil saya. Lebih teruk lagi, air hujan yang turun amat sejuk seperti baru keluar daripada peti ais. Kejadian lucu dan menyakitkan!

Saya juga berasa sedikit hampa kerana salji tidak turun semasa saya berada di London. Berdasarkan tahun-tahun yang lepas, salji biasanya turun di London agak lewat, iaitu pada bulan Januari dan Februari. Alahai, kempunan saya untuk bergambar ketika London diselaputi salji. Nasib baik saya sempat merasa bermain salji ketika berada di Tokyo pada bulan Februari 2013. Sesuatu yang tiada di tanahair tercinta.

Selepas hujan
Komuniti perantau

Hari kedua saya di London merupakan hari Jumaat. Kesempatan ini saya ambil untuk berkunjung ke Malaysia Hall yang terletak di kawasan Bayswater bagi mendirikan solat Jumaat di sini. Kebetulan, pada hari tersebut adalah hari pertama pembukaan semula bangunan ini selepas ianya ditutup selama 3 bulan bagi proses kerja-kerja pengubahsuaian. Ketika berada di dalam Malaysia Hall, semuanya kelihatan baru dan cantik.

Semakin hampir tiba waktu Zohor, saya lihat semakin ramai rakyat Malaysia tiba di sini. Sempat juga saya berbual pendek dengan beberapa rakyat Malaysia yang sedang belajar dan bekerja di London. Mereka kelihatan kagum apabila saya memberitahu mereka bahawa saya adalah seorang penulis dan jurugambar dari sebuah syarikat pelancongan dari Malaysia. Mungkin kerja saya adalah suatu kerja yang jarang didengari oleh mereka barangkali.

Bersolat Jumaat di Malaysia Hall London
Malaysia Hall London di Bayswater
Ketika sedang duduk menunggu khatib mula membaca khutbah, tiba-tiba terimbau kenangan lampau semasa saya belajar di Amerika Syarikat dahulu. Oleh kerana berada jauh daripada keluarga, kenalan-kenalan senegara menjadi “keluarga angkat” saya. Kami mengambil berat hal-ehwal masing-masing. Jelas kelihatan juga keakraban sesama rakyat Malaysia yang bermastautin di London. Walaupun jauh terpisah darat dan lautan dari Malaysia, namun mereka masih kelihatan bangga menjadi rakyat Malaysia. Hati saya berasa begitu gembira melihat senario ini.

Sesudah solat Jumaat, saya pergi menikmati juadah makanan Malaysia yang halal di Holiday Villa Hotel. Restoran ini terletak kira-kira 5 minit dengan berjalan kaki dari Malaysia Hall. Setelah beberapa hari berjauhan daripada makanan tempatan, saya dapat menjamu selera dengan sepinggan nasi goreng bersama satay ayam. Memang sedap!

Holiday Villa Hotel, London
Sebenarnya, terdapat beberapa restoran masakan Malaysia di kota London ini dan majoritinya berlokasi di Bayswater. Selain itu, terdapat juga ratusan lagi restoran makanan halal di seluruh pelusuk London, rata-ratanya diusahakan oleh rakyat London yang berketurunan Pakistan, Morocco dan negara-negara Timur Tengah yang lain.

Kedutaan Malaysia di London
Secebis hati tertinggal di London

Suatu malam di London ketika saya sedang berehat di dalam bilik hotel, saya berfantasi tentang bermastautin di London. Oleh kerana komuniti rakyat Malaysia di sini yang besar dan akrab, mungkin saya tidak akan berasa terlalu rindu terhadap tanahair saya. London juga adalah sebuah kota yang sangat sesuai bagi penulis dan jurugambar seperti saya. Kota ini menyimpan banyak ilham dan inspirasi untuk saya berkarya.

Namun itu hanyalah angan-angan saya sahaja. Lamunan saya terhenti dan saya kembali kepada realiti. Yang pasti, hati saya amat berat untuk meninggalkan kota London. Jiwa seni saya berkembang mekar ketika berada di sini. Foto-foto yang saya ambil ketika di London akan saya bawa pulang sebagai tanda kenangan kunjungan singkat saya ke sini.

Sebagai ucapan terima kasih saya kepada kota hebat ini, saya tinggalkan secebis hati saya di sini. In Sha Allah, saya akan kembali untuk menuntut semula cebisan hati tersebut…

London, kaulah yang satu!

London yang penuh energi! 
London sarat dengan bangunan-bangunan bersejarah yang indah
Kawasan Picadilly Circus yang cukup indah!

No comments:

Post a Comment