Pages

3 January 2014

London Yang Satu! (Bahagian 2)

[SAMBUNGAN DARIPADA BAHAGIAN 1]

London Eye, antara tarikan terulung di kota ini

Keriangan musim salji di London!

Setiap kali menjelang bulan Disember, seisi kota London seakan berpesta bagi menyambut kehadiran perayaan Krismas dan juga kedatangan tahun baru. Masa ini merupakan perfect timing untuk para pelancong melawat kota yang penuh dengan budaya dan sejarah ini.

Salah satu tarikan utama di London yang hanya terdapat pada bulan Disember adalah Winter Wonderland di Hyde Park.

Winter Wonderland di Hyde Park
Gerai-gerai permainan yang terdapat di Winter Wonderland
Pada bulan-bulan yang lain, Hyde Park merupakan sebuah taman awam di tengah-tengah kesibukan kota London. Persis Central Park di New York City, taman ini dipenuhi dengan pokok-pokok yang merimbun serta padang rumput yang seakan baldu hijau. Orang ramai sering menggunakan taman ini sebagai lokasi untuk mereka bersenam, beriadah dan merehatkan diri sambil mendengar lagu atau membaca buku.

Lokasi Hyde Park begitu strategik sekali. Ianya berdekatan dengan Oxford Street yang merupakan lubuk membeli-belah di London. Sekali itu, ianya juga berdekatan dengan Marble Arch (sebuah pintu gerbang yang bersejarah), pasaraya eksklusif Harrod’s dan juga taman Diraja bernama Kensington Park.

Namun begitu, tibanya bulan Disember, Hyde Park berubah wajah menjadi sebuah alam fantasi yang bergemerlapan dengan adanya Winter Winterland. Karvinal atau fun fair ini dibuka kepada orang ramai secara percuma.  Ini merupakan acara tahunan yang ditunggu-tunggu bukan sahaja oleh penduduk London, malahan keseluruhan negara England.

Kemeriahan di Hyde Park setiap kali bulan Disember menjelang
Pelbagai snek yang lazat dijual di Winter Wonderland, Hyde Park
Orang ramai yang mengambil peluang untuk bermain luncur ais di Hyde Park
Antara tarikan-tarikan menarik yang ada di Hyde Park’s Winter Wonderland adalah gelanggang meluncur ais, istana ais, menaiki ferris wheel, menaiki mini roller coaster, pertunjukan akrobatik dan sarkis, gerai-gerai permainan, gerai-gerai makanan, gerai-gerai kraftangan dan banyak lagi.

Ketika berada di Winter Wonderland tersebut, saya berasa sangat teruja. Saya singgah di gerai yang menjual pretzel dan kopi panas. Selepas mengalas perut, saya sambung berjalan sambil melihat wajah-wajah ceria yang bertebaran di sekitar kawasan. Lampu-lampu terang yang berwarna-warni bersama dengan musik riang yang dimainkan membuatkan suasana terasa cukup meriah sekali. Saya gembira kerana dapat mengambil banyak gambar-gambar menarik sebagai tanda kenangan saya di sini.

Bandar unik dan majestik

Saya amat gemarkan kota London. Unik dan majestik! Bukan sahaja ianya bersih, bahkan ianya begitu selamat untuk dilawati. Pelancong asing tidak perlu risau tentang keselamatan diri ketika berada di London. Walaupun begitu, langkah-langkah keselamatan asas sentiasa perlu diambil bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku. Barang-barang yang berharga seperti wang, dompet, passport dan kamera perlulah disimpan di dalam beg yang bersesuaian dan sentiasa diletakkan berhampiran dengan anda.

Bandar London mula terbina sebelum sistem perancangan bandar yang rasmi diwujudkan. Oleh itu, di benua Eropah, ianya dianggap tidaklah begitu tersusun jika dibandingkan dengan bandaraya-bandaraya Eropah yang lebih baru seperti Paris. Namun begitu, pengurusan dan perancangan yang baik sejak hampir seabad yang lalu membuatkan jalanraya dan sistem pengangkutan di London menjadi begitu sistematik dan memudahkan penduduk.

Saint Paul Cathedral, London
Millenium Bridge
Pemandangan kota London persis hubungan simbiotik harmoni di antara yang lama dan yang baru. Bangunan-bangunan lama yang mempunyai nilai sejarah yang tinggi dijaga rapi oleh pihak majlis perbandaran agar mereka kekal untuk generasi yang akan datang. Manakala itu, bangunan-bangunan yang baru pula dipantau ketat dari aspek reka bentuk, ketinggian dan lokasinya agar tidak menjejaskan keindahan unik dan majestik yang menjadi imej kepada kota London.

Antara ikon-ikon bersejarah yang wajib dilawati ketika berada di London adalah Tower Bridge, London Bridge, Buckingham Palace, Palace of Westminster, Big Ben, Westminster Abbey Church dan sebagainya.

Sebahagian mercu tanda moden yang tidak kurang menariknya di London adalah seperti London Eye, The Shard, Wembley Stadium, The O2 Arena, 30 St Mary Axe, dan Tate Modern.

Tower Bridge, London
Westminster Abbey Church
Big Ben

Bas double-decker dan teksi klasik yang merupakan ikon kepada kota London
Jangan risau tentang bagaimana untuk melawat ke semua tempat-tempat di atas jika anda hanya mempunyai beberapa hari sahaja di London. Anda boleh membeli 2-day Hop-On Hop-Off London Tour Package yang akan memudahkan anda untuk pusing-pusing di sekitar London menaiki bas double-decker tanpa bumbung. Anda boleh makan angin tanpa perlu memeningkan kepala anda tentang melihat peta dan mengkaji maklumat. Tambahan pula, kebanyakan tempat-tempat tersebut adalah berdekatan di antara satu sama lain. Jadi, anda boleh menjimatkan masa anda.

London Eye
The Shard
Pemandangan bahagian City of London

[BERSAMBUNG]

1 comment: