Countdown

10 October 2013

[ARTIKEL] Republik Afrika Selatan: Kembara Kekayaan Alam dan Budaya - Bahagian Pertama (Garden Route)


Tidak pernah termimpi oleh saya sebelum ini mendapat peluang keemasan untuk pergi menjelajah ke Republik Afrika Selatan. Sejujurnya saya mengaku, saya tidak mempunyai banyak pengetahuan tentang negara ini. Di benak fikiran saya, hanya terbayangkan padang pasir luas yang kering kontang dan panas.

Berdasarkan sumber bacaan saya, Republik Afrika Selatan mempunyai keluasan 1.22 juta km2, iaitu kira-kira 4 kali ganda besar daripada keluasan negara Malaysia. Terletak di penghujung benua Afrika, republik ini mempunyai penduduk seramai kira-kira 50 juta orang. 2 bahasa utama di sini ialah bahasa Afrikaans dan Inggeris. 80% penduduk di sini adalah daripada keturunan orang Afrika dan 10% daripada keturunan orang kulit putih.

Lawatan saya ke Republik Afrika Selatan merangkumi beberapa tempat penting seperti Mauritius, Johannesburg, Oudtshoorn, Cape Town dan banyak lagi.

Paling menarik bagi saya sepanjang lawatan ini adalah pengalaman ketika berada di daerah Garden Route yang terletak di bahagian pantai tenggara Afrika Selatan. Garden Route merupakan “rumah” kepada padang-padang golf yang sangat cantik, hutan simpan, pusat-pusat membeli-belah, rumah-rumah persaraan, beberapa perkampungan kraf dan jambatan melompat bungy yang tertinggi di dunia, Bloukrans Bridge Bungy.

Garden Route mendapat namanya daripada kehijauan alam sekitar yang terdapat di sini serta banyak lagun dan tasik yang bersusun di sepanjang pantai.

Ketika di Garden Route, saya menginap di sebuah resort yang diberi nama Garden Route Game Lodge. Ya ampun, resort ini teramatlah cantiknya!

Garden Route Game Lodge merupakan resort yang berkonsepkan penginapan dalam safari. Bertaraf 5 bintang, resort ini begitu popular di kalangan para pengunjung yang datang ke daerah ini, terutamanya pencinta-pencinta binatang liar dan keindahan alam sekitar.


Kesemua rumah dan chalet penginapan di sini dibina dengan stail safari lodge. Lengkap dengan kemasan kayu bewarna perang keemasan untuk hiasan dalaman, saya berasa cukup selesa menginap di sini. Perasaan seperti pulang ke kampung pun ada juga!

Servis dan layanan yang saya terima ketika berada di resort ini adalah amat baik. Memang first class! Pekerja-pekerja resort begitu peramah dan mengambil berat tentang para pengunjung yang datang menginap. Tidak hairanlah resort ini telah memenangi beberapa anuregah sejak pembukaannya pada tahun 1999, termasuklah Anugerah “Certificate of Excellence” oleh TripAdvisor.



Antara kemudahan yang disediakan di dalam resort ini adalah seperti outdoor spa, kolam renang dan restoran. Selain daripada itu, pihak resort ini juga menyediakan perkhidmatan aktiviti-aktiviti berkonsepkan safari. Aktiviti yang disediakan merangkumi safari drive tour dengan menaiki jip, memberi makanan kepada gajah belaan, melihat burung di dalam hutan, melawat pusat jagaan Cheetah dan banyak lagi.

Saya telah berkesempatan untuk menyertai aktiviti safari drive tour ketika waktu matahari mulai terbit. Wow, memang seronok! Dengan menaiki jip Land Roger yang tidak berbumbung, saya dan beberapa peserta yang lain menusuri kawasan gurun untuk melihat beberapa jenis binatang di habitat semulajadi mereka. Pemandangan pada waktu awal pagi tersebut juga sangat indah. Matahari kelihatan begitu jingga sekali!

Hati saya teruja bercampur perasaan gerun kerana dapat melihat zirafah, badak sumbu, kuda belang, gajah dan beberapa jenis spesis rusa gurun di hadapan mata saya sendiri. Tidak pernah seumur hidup saya sebelum ini melihat haiwan-haiwan liar yang tidak berada di dalam kandang. Takut juga dibuatnya! Namun begitu, tour guide yang berada bersama-sama kami memberitahu bahawa haiwan-haiwan liar ini sudah terbiasa dengan kehadiran manusia di “rumah” mereka dan tidak akan menyerang pengunjung.







Waktu malam di Garden Route Game Lodge juga sangat indah, terutamanya ketika waktu matahari mulai terbenam. Saya bersantap di restoran beranjung yang menghadap kawasan safari. Setelah menikmati hidangan makan malam, saya keluar mengambil angin di bahagian anjung tersebut. Di dalam kegelapan malam, hanya terlihat kerdipan lampu daripada chalet-chalet di dalam kawasan resort, dan juga sinar cahaya bulan yang sungguh terang. Nada-nada cengkerik sayup kedengaran, “memeriahkan” lagi irama malam tersebut.  Suasana seperti ini membuatkan keletihan badan saya dek aktiviti pada siang hari terus lenyap begitu sahaja.




[Bersambung]

No comments:

Post a Comment