Kotaraya metropolitan London. Segah namanya kota ini terkenal dengan kisah keluarga dirajanya, butik-butik fesyen, muzium-muzium sejarah, binaan-binaan terkenal, pusat kewangan dan juga rumah kepada pasukan-pasukan bola sepak terkenal seperti Chelsea, Arsenal dan Tottenham Hotspurs. Paling tidak terlupa ialah bas dua tingkat berwarna merah, pondok telefon klasiknya dan pengawal istana bertopi tinggi yang menjadi ikon kotaraya London buat sekian lamanya.
|
Bus double decker di hadapan menara jam Big Ben |
Lawatan ke kotaraya London boleh dimulai dengan melawat
Westminster Abbey atau nama sebenarnya
Collegiate Church of St. Peter. Sejarah pembinaan gereja ini bermula pada tahun 624 masihi. Tapak Warisan Dunia UNESCO ini begitu terkenal dek kerana majlis perkahwinan keluarga diraja Britain bermula daripada
Raja Henry I dengan
Permaisuri Matilda pada tahun 1100 masihi. Di sini juga berlangsungnya majlis perkahwinan
Ratu Elizabeth II dengan
Putera Philip. Begitu juga dengan majlis perkahwinan yang dianggap
"wedding of the year" bila mana anak lelaki
Putera Charles dan mendiang
Puteri Diana,
Putera William mengahwini
Puteri Kate Middleton.
Menariknya di gereja bercorak Gothic ini jugalah berlangsungnya majlis pertabalan Raja dan Ratu Britain. Singgahsana Raja Edward yang menjadi lambang pemasyhuran Raja Britain terletak di dalam gereja ini.
|
Pemandangan pintu masuk utara Westminster Abbey |
Terletak di seberang jalan Westminser Abbey ialah satu kompleks parlimen Britain yang dinamakan
Palace of Westminster, namun lebih dikenali sebagai
Houses of Parliament. Dua dewan mesyuarat parlimen yang menggubal undang-undang dan menjalankan pentadbiran terdapat di sini iaitu
House of Lords dan
House of Commons. Kompleks yang digezetkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO ini dibina pada abad ke-11 namun dua kebakaran besar telah menyebabkan hampir keseluruhan kompleks ini musnah pada tahun 1512 dan 1834. Menariknya juga ketika Perang Dunia ke-2, kompleks ini pernah dibom sebanyak 14 kali.
|
Pemandangan indah Palace of Westminster dan Big Ben |
Ikon kotaraya London. Itulah yang boleh digambarkan dengan kata-kata saat mata terpaku melihat binaan menara jam setinggi 96.3m yang senang dikenali sebagai
Big Ben. Dibina oleh
Sir Charles Barry dan siap sepenuhnya pada tahun 1858. Nama sebenar binaan ini ialah
Clock Tower namun lebih dikenali dengan nama Big Ben sempena nama
Sir Benjamin Hall.
|
Menara jam Big Ben dan London Eye |
Tahukan anda bangunan bernombor 10 di
Downing Street merupakan pusat pentadbiran kerajaan dan terletaknya juga pejabat rasmi Perdana Menteri Britain? Berusia hampir 300 tahun, alamat ini merupakan yang paling terkenal di dunia dan mempunyai hapir 100 ruang bilik dan pernah menjadi kediaman beberapa orang Perdana Menteri Britain.
|
Pintu hadapan 10 Downing Street |
Tetamu yang melancong bersama POTO Travel pastinya beruntung kerana akan dibawa oleh pemandu pelancong melewati sebuah memorial untuk mangsa pengeboman di Kuta, Bali pada tahun 2002 yang terletak berdekatan dengan
Foreign and Commonwealth Office di St James Park. Memorial ini mengandungi 1 bola yang diukir dengan 202 merpati simbolik kepada 202 nama mangsa yang diukir pada tembok di belakangnya hasil inisiatif Putera Charles.
|
Di sekeliling bola dan tembok ini diabadikan memori 202 mangsa pengeboman Bali |
Tidak sah ke London jika tidak melawat kebanggaan rakyat Britain,
Istana Buckingham. Terkenal seantero dunia dengan pengawal dirajanya yang memakai topi tinggi dan juga upacara pertukaran tugas pengawal. Asalnya dibina oleh
Duke of Buckingham pada tahun 1705, istana ini dahulunya dikenali sebagai Buckingham House. Hanya pada tahun 1837 istana ini secara rasminya dijadikan kediaman bagi ahli keluarga diraja Britain oleh
Ratu Victoria. Istana ini juga pernah dibom sebanyak 7 kali oleh tentera Nazi Jerman pada Perang Dunia ke-2.
|
Pemandangan pintu masuk timur Istana Buckingham dan arca memori Victoria |
Di hadapan pintu masuk bahagian timur istana ini terletaknya sebuah arca yang didekasi kepada Ratu Victoria bernama
Victoria Memorial. Arca ini siap diukir pada tahun 1911 oleh
Sir Thomas Brock. Nmun patung gangsa yang terdapat diatasnya hanyalah diisi pada tahun 1924 dan sekitarnya diletakkan 2,300 tan batu mar-mar putih. Keseluruhannya monumen ini meggambarkan kehebatan tentera laut British. Menarik di sekitar
Taman Memorial Ratu Victoria ini terdapat beberapa batang tiang yang depanggil
Dominion Gates menandakan kemegahan penaklukan empayar British keatas kolonialnya yang mana salah satu tiang tersebut ditulis "Malaystates". Tiang ini dibina pada tahun 1908.
|
Victoria Memorial di hadapan pintu pagar masuk Buckingham Palace |
|
Salah satu tiang di Dominion Gates yang terukir perkataan Malaystates |
Ingin memberi makan kepada burung merpati di
Trafalgar Square seperti yang selalu kita lihat di kaca tv dahulu? Lupakan kerana kawasan ini telah ditutup kepada burung-burung ini. Namun dataran ini yang dahulunya dikenali sebagai
Charing Cross masih terdapat beberapa tugu dan monumen penting yang boleh dilawati. Trafalgar Square amnya digunakan sebagai tempat perhimpunan rakyat, pusat meraikan sesuatu seperti pengumuman London sebagai tuan rumah Olimpik 2012 dan kawasan rehat di Central London. Nama dataran ini diberi sempena kejayaan peperangan
Battle of Trafalgar dengan pihak Napoleon pada tahun 1805.
|
Tiada lagi burung merpati berkeliaran di Trafalgar Square |
Di tengah-tengah dataran ini terdapat sebuah monumen setinggi 52m yang gah menjadi lambang kemenangan tentera British melawan tentera Napoleon ketika Perang Napoleonic 1805. Tugu yang dibina oleh
William Railton ini diberi nama
Nelson's Column sebagai memperingati
Admiral Horatio Nelson, timbalan laksamana yang mengemudi angkatan laut British ke arah kejayaan namun gugur ketika
Battle of Trafalgar tersebut. Di atas tiang monumen yang siap dibina pada tahun 1843 ini boleh dilihat arca ukiran laksamana tersebut. Pada tahun 1867, ukiran 4 ekor singa gangsa oleh
Sir Edwin Landseer diletakkan di sekeliling monumen tersebut bagi melambangkan kejadian
Battle of Cape St. Vincent,
Battle of the Nile,
Battle of Copenhagen dan juga kematian Admiral Nelson di Trafalgar.
|
Nelson's Column; lambang kejayaan British menentang Perancis |
Berhampiran dengan Trafalgar Square terletaknya satu bangunan yang diberi nama
Admiralty Arch. Dibina pada tahun 1912 atas arahan
Raja Edward VII sebagai memperingati ibunya Ratu Victoria. Bangunan ini pernah menjadi kegunaan pusat pemerintahan dan strategi angkatan laut.
|
Admirality Arch yang berdekatan dengan Trafalgar Square |
Kita seringkali keliru mengatakan
Tower Bridge sebagai London Bridge yang terkenal dengan lagu rakyat "
London Bridge is falling down". Namun ia adalah berbeza sebenarnya. Tower Bridge merupakan jambatan perhubungan mudah angkat (jambatan Bascule) bagi membolehkan kapal laut melaluinya. Dibina pada tahun 1886 dan siap sepenuhnya pada tahun 1894, ia menghubungkan bahagian utara dan selatan London. Jambatan ini sememangnya terkenal dengan kehadiran 2 menara setinggi 65m, malah sejarahwan pembinaan terkenal
Dan Cruickshank ketika dokumentari BBC pada tahun 2002 memilih jambatan ini sebagai salah satu binaan terbaik di kotaraya London.
|
Pemandangan Tower Bridge dari bangunan City Hall |
Manakala
London Bridge yang sebenar tidaklah nampak segah Tower Bridge namun sejarahnya lebih panjang. Sejarah jambatan yang merentasi Sungai Thames ini bermula semenjak hampir 2,000 tahun dahulu sekitar tahun 50 ketika pemerintahan empayar Rome. Bermula dari situ jambatan ini telah melalui pelbagai kisah sehinggalah terbinanya jambatan konkrit seperti hari ini pada tahun 1973.
|
London Bridge yang sebenar |
Berhampiran dengan Tower Bridge, terletaknya kubu kota yang dinamakan Her Majesty's Royal Palace and Fortress atau lebih dikenali sebagai
Tower of London. Kota kubu ini dibina pada tahun 1066 oleh
William The Conqueror bagi mempertahankan kota London dari serangan tentera Saxon. Kubu kota ini terlibat dalam beberapa pertempuran dan peperangan kota London sepanjang sejarahnya. Kubu kota ini juga menjadi istana kediaman beberapa pemerintah Britain sebelum pernah dijadikan penjara tawanan dan tempat menjatuhkan hukuman bunuh oleh pemerintah monarki Britain bermula abad ke-16. Antara mangsanya termsuklah
Permaisuri England Anne Boleyn. Tawanan terakhir di sini ialah
Rudolf Hess, pembantu kepada
Adolf Hitler pada tahun 1941. Pada tahun 1988, kubu kota ini diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Menariknya mahkota kerajaan Britain turut disimpan di sini di Waterloo Barracks dan dikawal rapi.
|
Tower of London dari seberang Sungai Thames |
Hanya sebilangan sahaja daripada kita yang mengetahui kisah kebakaran besar yang pernah berlaku di kotaraya London. Namun setibanya di persimpangan Monument Street dan Fish Street Hill, kita akan dapat melihat menara batu setinggi 62m yang diberi nama
Monument to the Great Fire of London atau lebih mudah dikenali sebagai The Monument. Dari tapak monumen inilah kebakaran besar itu berlaku dan merebak hampir ke seluruh kotaraya London selama 3 hari. Di keliling monumen ini dinyatakan bagaimana kebakaran pada 2 September 1666 bermula dan jumlah kerosakan yang dihasilkan.
|
Di sekeliling The Monument ada menceritakan tentang kebakaran tersebut |
Di kotaraya ini juga terdapat berbagai-bagai muzium antaranya
The Household Cavalry Museum,
Clink Prison Museum,
Florence Nightingale Museum,
Winston Churchill's Britain At War Experience,
Imperial War Museum,
Ripley's Believe It Or Not!,
Madame Tussaud dan bermacam-macam lagi. Yang paling terkenal tentulah
British Museum yang dianggap sebagai muzium terbaik untuk sejarah tamadun manusia. Terletak di Great Russell Street, muzium ini diwujudkan pada tahun 1753 dan dibuka kepada umum pada tahun 1759. Pembinaan bangunan ini adalah berasaskan kuil
Athena Polias. Antara pameran yang sangat mengagumkan dan ada yang menimbulkan kontroversi ialah
Elgin Marbles,
Benin Bronzes dan
Rosetta Stone.
|
Pintu hadapan British Museum |
|
Laman pintu masuk Imperial War Museum |
Membeli-belah di kotaraya London tidak sah jika tidak ke
Oxford Street mahupun di
Piccadilly. Pelbagai butik-butik ternama yang terdapat di sini yang tidak perlu admin nyatakan kerana anda semua lebih mengetahuinya. Namun butik pakaian yang paling terkenal di kalangan penduduk marhaen London ialah
Primark. Butik ini terletak di Oxford Street dan berdekatan dengan stesen underground
Marble Arch. Namun jangan terkejut sekiranya anda ke sini, anda melihat berpusu-pusu orang beratur di luar semata-mata untuk masuk ke dalam bangunan ini membeli-belah.
|
Primark sentiasa dipenuhi dengan pengunjung |
Sementelahan di sini terdapat satu arca pintu gerbang yang dinamakan
Marble Arch. Arca ini asalanya merupakan pintu masuk diraja ke Buckingham Palace. Direka pada tahun 1825 namun hanya siap pada tahun 1833. Pembinaannya berasaskan
Arch of Constantine di Rome dan ukirannya berkisarkan Battle of Waterloo menentang tentera Napoleon. Namun pada tahun 1851 lokasi arca ini dialihkan ke
Hyde Park kerana projek pengubahsuaian Istana Buckingham.
|
Mata pasti terpandang Marble Arch ini saat melalui Oxford Street atau Hyde Park |
Satu bangunan membeli-belah yang cukup terkenal pada kaki-kaki bola ialah
Lilywhites yang terletak di Piccadilly. Pusat membeli-belah ini menawarkan pelbagai jenama barangan sukan yang terkenal termasuklah Lonsdale. Di sini juga merupakan tempat terbaik untuk anda membeli jersi replika pasukan EPL pada harga yang jauh lebih murah dari butik lain. Anda boleh ke sini dengan menaiki tube dan berhenti di stesen underground
Piccadilly Circus. Di hadapan Lilywhites ini terdapat air pancur yang didedikasi untuk dewa panah Cupid dan seringkali dijadikan tempat perkumpulan penyokong-penyokong pasukan bola sepak yang menghadapi perlawanan di kotaraya London.
|
Stesen Piccadilly Circus terletak di hadapan Lilywhites |
HI ... SY PLAN NAK KE LONDON TIME AUTUMN N BALIK EARL WINTER ANY SUGGESTION X SAYA DAN ISTERI SAHAJA
ReplyDeleteHi, saya berminat denagn pakej ini dan bercadang untuk bercuti pada pertengahan disember 2013. Sila emailkan butiran lanjut kepada saya matt36666@yahoo.com
ReplyDeleteMinta emailkan details untuk group tour package for 35 adults.. thanks. Anizarazali@gmail.com
ReplyDeleteSaya bercadang ke london 7 Dec 2013 seramai 4 orang tolong email details ke roslanjunaidi@ymail.com
ReplyDeleteSaya berminat untuk melancung sekeluarga seramai 6 orang ke eropah.. Harap dapat email detail dan kos ke jamari2006tra@yahoo.com... Percutian bermula 21 dec hingga 28 dec 2013..
ReplyDelete