Pages

3 August 2015

Melancong Sebagai Satu Ibadah

Pastinya ramai yang gemar menghabiskan masa cuti mereka dengan melancong ke tempat-tempat menarik tidak kira di dalam mahupun di luar negara. Ya, sememangnya melancong merupakan aktiviti yang sangat menarik serta menyeronokkan. Ia juga boleh dikatakan sebagai aktiviti untuk melepaskan tekanan atau stress di tempat kerja. Islam pula tidak pernah melarang untuk kita pergi melancong, selagi ia tidak melanggar batas syarak yang membawa kepada dosa. 

Oleh kerana itu, Islam telah memberikan beberapa garis panduan  dalam beberapa perkara yang perlu diambil kira agar sesuatu yang dilakukan itu tidak bercanggah dengan hukum syarak.



Tujuan Melancong 
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Tidaklah mereka menjelajah di muka bumi, supaya mereka mempunyai hati yang dapat memikirkan atau telinga dapat digunakan untuk mendengar? Kerana sebenarnya bukan mata yang buta, tetapi yang buta ialah hati dalam dada.” (Surah al-Hajj, ayat 46)

Menghayati dan Mensyukuri Keindahan Alam Ciptaan Allah Taala
Daripada firman tersebut ada menjelaskan bahawa Islam tidak melarang atau mengajur umatnya untuk menerokai alam ciptaan Ilahi yang indah kerana begitulah tujuannya mengapa alam ini diciptakan tanpa sebarang cacat cela agar kita sentiasa menghargai serta mensyukuri nikmat Allah. Dengan itu, terbitlah rasa keimanan kepada Maha Pencipta serta dijauhkan sifat-sifat tercela.

Oleh itu, tujuan melancong perlu jelas, iaitu kerana ingin menikmati dan mensyukuri akan kehebatan Allah dalam mencipta alam fana selain beristirehat sambil menenangkan fikiran yang runsing. Melancong hanya sekadar untuk berlibur tanpa tujuan lain atau bercuti di tempat yang akan menimbulkan kemaksiatan adalah haram dan dibenci Allah.

Allah telah menciptakan alam ini dengan pelbagai jenis, bentuk, persekitaran agar manusia dapat melihat, berfikir serta memanjatkan rasa syukur dan kagum terhadap ciptaan Allah. Keimanan akan bertambah setiap kali melihat keindahan ciptaanNya



Jaga Akhlak dan Aqidah Kita Semasa Melancong
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Ditimpakan kehinaan di mana saja mereka berada, melainkan mereka yang menjaga hubungan dengan Allah SWT dan hubungan dengan manusia.” (Surah Ali Imran, ayat 112)

Jagalah kelakuan kita ketika melancong. Jangan melibatkan diri di dalam kehinaan seperti berkelakuan sumbang yang bertentangan dengan ajaran Islam. Tanamkan sifat-sifat dan nilai-nilai murni seperti tolong-menolong, hormat-menghormati dan lain-lain. Pentingnya ilmu agama kerana ia dapat memandu kita ke jalan yang benar agar tidak melakukan sesuatu yang dimungkari Allah sekaligus menjaga akidah dari anasir-anasir tidak baik yang dapat merosakkan diri ini.

Jadikan Melancong Sebagai Medium Meningkatkan Ilmu

Menuntut ilmu itu merupakan satu ibadah. Janganlah kita menyempitkan pemikiran kita dengan ilmu hanya dapat diperolehi di dalam buku. Sebenarnya, ianya juga dapat diperolehi melalui pengamatan terhadap alam semulajadi melalui pengembaraan dan penerokaan.

Mempelajari Sesuatu Yang Baru di Tempat Yang Dilawati

Melancong sepatutnya menjadikan kita belajar atau mengerti akan sesuatu tempat yang kita lawati samada dari segi sosiobudayanya, persekitarannya dan adat-adat di sesuatu tempat. Barulah pelancongan kita itu bermanfaat. Pelancong seharusnya menggunakan kesempatan untuk mencari sesuatu yang baik sebagai tujuan supaya dapat dilakukan atau ditiru di tempat sendiri. Islam menggalakkan umatnya menimba sebanyak pengalaman untuk dimanfaatkan ke arah memperbaiki diri serta kehidupan.

Bak kata pepatah "Jauh Perjalanan, Luas Pemandangan". Jika diambil iktibar daripada kisah-kisah sahabat, Islam berkembang sehingga 1/3 dunia kerana usaha dakwah tidak berlaku setempat sebaliknya mencapah ke seluruh pelosok dunia. Malah kebanyakan para mujahidin Islam tidak meninggal di bumi kelahiran mereka tetapi di tempat lain. Peristiwa penghijrahan Rasulullah S.A.W. juga boleh dikaitan dengan pentingnya merantau untuk meningkatkan pengetahuan. Rasulullah pernah menghantar sahabat baginda ke Habsyah dan tempat-tempat lain bagi tujuan meninjau dan mencari peluang untuk Islam bertapak dan berkembang di situ sebelum berhijrah ke Madinah.

Sejarah juga pernah mencatat bagaimana negara Jepun mencapai kemajuan yang pesat hingga kini ialah dengan menghantar rakyat mereka melanjutkan pelajaran ke negara Barat dan mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di negara asal mereka. Begitu juga bagaimana pedagang-pedagang Arab yang merantau saentero dunia mencari pasaran terbaik untuk mengembangkan perniagaan mereka. Malah jangan kita lupa melalui pengembaraan perdagangan juga Islam disebarkan.

Mengambil Pengajaran Daripada Tempat Yang Dilawati

Melancong juga memberi kesempatan untuk melihat masyarakat sekitar. Melalaui melancong, kita dapat melihat masyarakat yang dirundung kemunduran, perbalahan sesama sendiri dan masalah jenayah yang berlelusa. Apa yang dilihat itu dapat memberi pengajaran untuk melihat dalam diri sendiri. Kita akan berasa bersyukur dapat hidup di negara aman damai ini. Kita perlu insaf mempelajari perkara baru sepanjang pengembaraan. Allah memberi peringatan mengenai setiap apa yang menimpa manusia adalah untuk memberi pengajaran kepada masyarakat muslim lain dan juga merupakan hasil kelalaian manusia mematuhi apa yang ditetapkan ajaran agama. Ringkasnya, melancong ialah sebahagian daripada proses pembelajaran.

Walaubagaimanapun, semuanya terletak pada niat. Hayati hadith Rasulullah S.A.W.

Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Sesungguhnya sah atau tidak sesuatu amalan itu, bergantung pada niat. Dan setiap sesuatu pekerjaan itu apa yang diniatkan. Maka sesiapa yang berhijrah semata mata taat kepada Allah dan Rasulnya, maka hijrahnya itu diterima oleh Allah dan Rasulnya. Dan sesiapa yang berhijrah kerana keuntungan dunia yang dikejarnya, atau kerana perempuan yang akan dikahwini, maka hijrahnya itu terhenti pada apa yang ia niat hijrah kepadanya”. (Bukhari, Muslim)

Jika kita berniat melancong untuk perkara kebaikan, nescaya setiap perbuatan kita akan diberkati oleh Allah S.W.T dan sebaliknya jika kita berniat kepada perkara-perkara keburukan.

Oleh itu, Islam telah mengajar kita iaitu sebelum melakukan apa-apa hendaklah disertai dengan doa dengan harapan Allah melindungi kita dalam apa jua yang kita lakukan. Sebelum pergi melancong digalakkan kita berdoa kepada Allah Taala agar pelancongan kita itu bukan suatu pekerjaan yang sia-sia tetapi merupakan satu ibadah kepada Allah Taala. Ayuh sama-sama jadikan aktiviti melancong kita sesuatu yang diberkati Allah.


No comments:

Post a Comment