Pages

31 December 2013

Ooh La La Paris! (Bahagian 2)

[Sambungan daripada Bahagian 1]

Muzium The Louvre

Misteri si cantik Mona Lisa

Ketika melancong, saya sering cuba meluangkan lebih banyak masa untuk meninjau tempat-tempat bersejarah dan artistik di destinasi tersebut. Saya kurang gemar menghabiskan masa di butik-butik dan tempat membeli-belah. Cukuplah sekadar sempat membeli sedikit ole-ole tanda kenangan untuk keluarga dan rakan-rakan di tanahair. Kalau bershopping pun, saya gemar membeli wangi-wangian.

Paris, seperti yang diketahui dunia, merupakan kota yang sarat dengan bangunan-bangunan bersejarah yang indah serta artifak-artifak seni yang dihasilkan oleh seniman-seniman terkemuka dunia.

The Louvre sentiasa sibuk dengan kunjungan para pelawat
Sekiranya ke Paris, salah satu bangunan bersejarah yang wajib dilawati oleh pelancong adalah Musee du Louvre atau lebih dikenali sebagai The Louvre. Terletak di tengah-tengah kepesatan kota Paris, muzium ini pada asalnya dibina pada kurun ke-12 dibawah pemerintahan Raja Phillip ke-2 sebagai sebuah kota kubu pertahanan.

Selepas itu, ianya menjadi sebuah galeri istana tempat raja-raja Perancis menyimpan koleksi-koleksi peribadi mereka. Pada pertengahan kurun ke-18, The Louvre secara rasminya menjadi sebuah muzium. Kini, The Louvre merupakan ‘rumah’ kepada lebih 35,000 khazanah seni termasuklah lukisan, arca, manuskrip dan sebagainya.

Di kalangan hasil-hasil karya seni yang dipamerkan di sini, seramai lebih 8 juta orang pelawat masuk ke muzium ini saban tahun untuk menatap dari jarak dekat satu karya seni agung yang dihasilkan oleh seniman terkenal, Leonardo Da Vinci. Karya seni yang dimaksudkan ialah lukisan Mona Lisa.

Lukisan Mona Lisa yang dipamerkan di dalam The Louvre
Vincenzo Peruggia
Biarpun ramai orang mengenali tentang lukisan potret ini, namun tidak ramai yang tahu bahawa lukisan Mona Lisa telah berjaya dilarikan daripada muzium The Louvre dan hilang tanpa khabar berita selama dua tahun.  Berita kehilangan lukisan berharga ini lama-kelamaan ditenggelamkan oleh berita yang lebih besar seperti permulaan Perang Dunia Ke-2.

Pada tahun 1913, seorang lelaki daripada Itali yang bernama Vincenzo Peruggia tampil selepas dua tahun kehilangan lukisan tersebut lantas mengaku bahawa dialah pencuri sebenar lukisan tersebut. Peruggia merupakan bekas tukang cat yang pernah digajikan oleh pihak The Louvre.

Setelah disiasat, pihak polis mendapati motif sebenar Peruggia mencuri lukisan Mona Lisa tersebut adalah atas dasar patriotisma. Beliau berasa marah dek lukisan hasil seniman warga Itali itu dipamerkan di bumi Perancis dan bukannya Itali. Peruggia tidak pernah mempunyai sebarang niat untuk menjual lukisan tersebut dan mengaut keuntungan yang diperolehi.

The Louvre mengandungi lebih 35,000 hasil karya seni oleh seniman-seniman terkenal dalam sejarah
Antara arca yang dipamerkan di dalam The Louvre
Salah satu bahagian bangunan muzium The Louvre
Ragam warna-warni warga Paris

Salah satu tabiat saya ketika melancong adalah memerhati dan menganalisa tabiat dan tingkah-laku orang-orang tempatan. Seronok juga sebenarnya memerhati perangai umat manusia ini. Kadang-kala saya tertawa sendirian. Memang saya sangat menyukai aktiviti people-watching.

Ragam warga Paris juga sangat menarik untuk saya perhatikan. Pertamanya, warga Perancis memang sentiasa kelihatan sangat cantik dan kacak. Rata-ratanya memang stylo dan sangat fashionable. Walaupun hanya keluar bersama keluarga atau teman-teman pada hujung minggu, mereka tidak melepaskan peluang yang ada untuk bergaya. Walaupun gaya mereka tampak ringkas, namun fesyen yang digayakan memang yang terkini. Tidak hairanlah kenapa kota Paris juga dikenali sebagai Fashion Capital of the World.

Kota Paris yang sentiasa sibuk
Rata-rata warga Perancis tidak fasih berbahasa Inggeris. Bahkan, ramai di antara mereka yang tidak suka berkomunikasi di dalam bahasa Inggeris. Perkara ini berpunca daripada perang saudara yang berlaku di antara Perancis dan pihak Inggeris beberapa abad yang lalu. Sehingga ke hari ini, perasaan dendam yang berbaki di hati sebahagian kecil orang Perancis membuatkan mereka enggan untuk mempelajari bahasa Inggeris.

Oleh itu, proses komunikasi saya ketika berada di kota Paris tidaklah semudah yang saya jangkakan. Urusan-urusan kecil seperti membeli tiket LRT terpaksa mengambil masa yang lama kerana pegawai yang menjaga kaunter tidak mahu melayan saya sejurus saya memulakan pertuturan di dalam bahasa Inggeris. Beberapa kali juga saya dilemparkan dengan kata-kata “No English, Speak French” dengan nada yang kasar oleh pegawai yang bekerja di stesen-stesen LRT.

Di sebuah taman berdekatan dengan The Louvre
Berbeza pula ketika saya berada di pusat-pusat membeli-belah dan restoran-restoran, kualiti layanan yang diberikan oleh warga tempatan amat berbeza sekali. Mereka melayan saya dengan penuh senyuman. Ini mungkin kerana golongan ini sedar bahawa mereka perlu memberikan servis yang baik bagi menjamin perniagaan yang maju.

Mereka yang bekerja di dalam bidang perniagaan juga biasanya bisa bertutur di dalam bahasa Inggeris yang ringkas. Kadang-kala, ianya masih sukar untuk saya fahami dek pelat Perancis mereka yang terlalu pekat. Namun, ianya masih jauh lebih baik daripada mendapat layanan yang buruk seperti ketika saya berada di stesen LRT.

Saranan saya kepada mereka yang berhajat untuk ke kota Paris ialah belajarlah beberapa frasa harian penting di dalam bahasa Perancis. Ianya bukan sahaja bakal memudahkan urusan-urusan ketika berada di negara tersebut, malahan anda bakal menerima layanan yang lebih baik sekiranya anda mencuba bertutur di dalam bahasa tempatan.

Opera House di kota Paris
Sebuah taman di Paris yang bernama Tuileries Garden
Keadaan senja di kota Paris

[BERSAMBUNG]

No comments:

Post a Comment