Pages

10 October 2013

[ARTIKEL] Republik Afrika Selatan: Kembara Kekayaan Alam dan Budaya - Bahagian Kedua (Cape Town)


Kembara saya di Republik Afrika Selatan diteruskan ke sebuah bandar Metropolitan di sini yang diberi nama Cape Town. Perjalanan ke Cape Town dari Garden Route mengambil masa kira-kira 3.5 jam dengan menaiki bas.

            Sebut sahaja tentang Cape Town, kebanyakan rakyat Malaysia pasti terpikirkan tentang komuniti orang melayu yang menetap di sini. Cerita ini sudah acap kali dicanang di majalah-majalah dan rancangan TV di Malaysia.

            Namun begitu, kota besar ini mempunyai banyak lagi cerita berharga selain daripada cerita komuniti orang melayunya. Jadi, lawatan saya ke Cape Town adalah untuk merungkai lebih banyak cerita tentang bandar Cape Town ini.

Tanggapan pertama saya ketika sampai di bandar Cape Town ialah “Wow, besarnya kota Cape Town!” Saya sememangnya terpegun dengan saiz bandar ini. Banyak betul bangunan di bandar ini. Sekali imbas, Cape Town kelihatan persis bandar-bandar besar di Amerika Syarikat, terutamanya kerana stail senibina bangunan yang ada di sini.


Apa yang menarik tentang Cape Town sebenarnya ialah bentuk muka bumi dan lokasinya yang strategik. Ianya terletak di bahagian persisiran pantai yang merupakan titik pertemuan di antara Lautan India dan Lautan Atlantik Selatan. Topografi di sini juga bergunung ganang.

Table Mountain di Cape Town merupakan mercu tanda utama yang menjadi kebanggaan masyarakat tempatan. Para pelancong asing dari seluruh dunia juga bertandang ke sini saban tahun untuk melihat sendiri betapa gahnya Table Mountain ini. Gunung ini lain daripada yang lain kerana kawasan puncaknya rata seperti permukaan sebuah meja. Justeru itu, gunung tersebut dinamakan sedemikian.

Alhamdulillah, kerana cuaca yang baik ketika saya berada di sini, saya berpeluang untuk “memanjat” ke puncak Table Mountain dengan menaiki kereta kabel  daripada bahagian kaki gunung.  Perasaan gayat ketika berada di dalam kabin kereta kabel tersebut tiba-tiba hilang sejurus saya memandang ke luar tingkap. Saya bisu seperti lupa segala bahasa. Cukup indah!



Kelihatan pemandangan hampir keseluruhan bandar Cape Town dan juga hamparan laut yang membiru. Saya juga dapat melihat beberapa buah bot mewah bertebarkan di sekitar persisiran pantai tersebut. Berbekalkan kamera DSLR saya, saya berjaya merakamkan banyak gambar panorama menarik ketika berada di dalam kereta kabel tersebut.

Setibanya kereta kabel yang saya naiki ke puncak Table Mountain, pemandangan Cape Town menjadi bertambah cantik. Saya boleh nampak kesemuanya daripada puncak gunung ini. Subhanallah, hati saya tidak henti-henti bertasbih. Saya amat kagum dengan kecantikan bumi Allah ini.

Selama lebih kurang 20 minit, saya tidak berbuat apa-apa ketika berada di puncak Table Mountain. Saya hanya duduk dan merenung ke arah pemandangan hebat di hadapan mata saya.  Tanpa disedari, hati saya berasa begitu tenang. Segala masalah kerja yang saya bawa di dalam otak saya seperti luput dengan sekelip mata. Pada ketika itu, saya hanya berasa cukup bersyukur dengan peluang yang dikurniakan Allah untuk melihat kebesaranNya di Cape Town ini.

Sebagai seorang berbangsa melayu, tidak sahlah lawatan saya ke Cape Town sekiranya saya tidak pergi meninjau sendiri budaya dan cara hidup masyarakat melayu Cape Town. Majoriti besar orang melayu Cape Town berada di tempat yang bernama Malay Quarter.  

Sesampai sahaja saya di Cape Town Malay Quarter, saya terasa seperti berada di Malaysia. Rupa masyarakat Melayu Cape Town hampir saling tak tumpah seperti rupa masyarakat melayu di benua Nusantara. Mungkin warna kulit mereka agak gelap sedikit, namun tidaklah besar perbezaannya.


Masyarakat Melayu di Cape Town rata-ratanya memang beragama Islam. Pengasas masyarakat inilah yang mula-mula membawa Islam masuk ke Afrika Selatan. Budaya dan tradisi masyarakat ini juga meninggalkan kesan yang dapat dirasai hingga ke hari ini. Penyesuaian makanan tradisional seperti bredie, bobotie, sosatie dan koeksister sering dijumpai di dalam banyak rumah kediaman Afrika Selatan. Masyarakat Muslim di Cape Town besar dan bertenaga, dan sudah berkembang lebih daripada para orang buangan yang membina masjid-masjid pertama di Afrika Selatan.

Orang Melayu Cape Town lazimnya bertutur dalam bahasa Afrikaans dan juga bahasa Inggeris, ataupun dialek kedua-dua bahasa tersebut. Mereka tidak lagi bertutur dalam bahasa nenek moyang mereka, yakni bahasa Melayu dan bahasa-bahasa lain. Akan tetapi beberapa perkataan dan frasa bahasa Melayu masih dikekalkan dalam bahasa harian.



Masyarakat Melayu Cape Town terkenal dengan keunikan muzik mereka. Muzik Melayu Cape Town menarik minat para ahli akademik, sejarawan, ahli muzikologi, penulis, malah juga ahli politik. Pesta tahunan Cape Town Minstrel atau pesta jalanan Karnival ialah sebuah acara budaya yang berakar umbi budaya Melayu Cape. Ia memuatkan lagu jenaka atau moppie (sering kali dipanggil lagu-lagu ghoema) Melayu Cape Town. Gendang berbentuk tong yang dipanggil "ghoema" berkait rapat dengan muzik Melayu Cape.

Selain masyarakat dan muziknya, saya juga tertarik dengan keadaan persekitaran di Cape Town Malay Quarter. Rumah-rumah di sini dicat dengan pelbagai warna yang terang dan riang. Ini secara tidak langsung membangkitkan “aura” di sini. Kelihatan juga banyak pelancong-pelancong asing yang datang ke sini untuk bergambar berlatarbelakangkan suasana berwarna-warni ini.


Terlalu banyak kenangan manis yang saya kutip sepanjang kembara saya di Republik Afrika Selatan. Terlalu banyak juga cerita yang ingin saya kongsikan. In Sha Allah pada tulisan yang akan datang. Gambaran minda pertama saya tentang gurun yang kering kontang ternyata meleset. Afrika Selatan amat kaya dengan keindahan flora dan faunanya. Budaya masyarakat di sana juga jarang sekali ditengahkan namun amat perlu dihebah-hebahkan. Saya meninggalkan tempat ini dengan harapan untuk kembali lagi pada suatu hari nanti. Afrika Selatan berjaya membuatkan saya jatuh cinta padanya.

POTO Travel & Tours bakal menganjurkan satu lawatan istimewa ke Republik Afrika Selatan selama 10 hari 8 malam pada 21 November 2013 dan 20 Mac 2014. Tempat-tempat pelancongan yang dinyatakan di atas akan dilawati dan diterokai.

Pakej lawatan yang berharga RM 8,899 untuk setiap orang dewasa ini telah pun dilancarkan dan sedia menerima tempahan orang ramai. Harga diskaun istimewa akan diberikan kepada warga emas dan kanak-kanak. Kepada yang berminat, sila layari laman sesawang rasmi POTO Travel & Tours di www.pototravel.com.my atau telefon di 03-9200 6640 untuk keterangan lanjut.

No comments:

Post a Comment