Pada 13 September yang lalu, saya berkesempatan untuk “bercuti” pendek di Koh Samui. Tidaklah bercuti dalam erti kata yang sebenar. Tujuan utama saya ke sana adalah sebagai jurugambar dan pemerhati untuk lawatan korporat syarikat Casa Armada yang telah dikelolakan oleh POTO Travel & Tours. Tetapi bak kata orang, sambil menyelam, kita minum air.
Walaupun saya agak bertuah kerana sudah menjelajah ke serata dunia, namun saya masih tidak berpeluang untuk ke Koh Samui lagi. Memang ada merancang untuk ke sana dengan kawan-kawan pada awal tahun tempoh hari, namun terpaksa dibatalkan kerana komitmen kerja yang perlu didahulukan.
Alhamdulillah, syukur kerana rupa-rupanya rezeki saya untuk ke sana hadir lewat sedikit. Tetapi bak kata orang, “Better late than never”. Teruja benar hati saya untuk melihat Koh Samui dengan mata saya sendiri. Sudah banyak yang saya dengar dan baca tentang pulau yang indah ini. Jadi, gambaran fikiran saya tentang Koh Samui memang agak tinggi sejak dari mula lagi. Di dalam hati mengharapkan agar ianya bukanlah indah khabar dari rupa.
Imaginasi saya ternyata tidak meleset…
Perjalanan ke Koh Samui
Saya terbang ke Koh Samui dengan menaiki pesawat Firefly yang berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Penerbangan mengambil masa kira-kira 2 jam. Pada hari perjalanan, cuaca agak baik namun terasa juga “goncangan” beberapa kali ketika di dalam pesawat. Walaupun sudah biasa dengan menaiki pesawat, kecut perut juga dibuatnya setiap kali berlaku turbulence.
Alhamdulillah, saya mendarat dengan selamat di Koh Samui.
Saya sangat gemar akan Lapangan Terbang Antarabangsa Koh Samui. Saiznya kecil dan kelihatan seperti banglo resort percutian. Tidak seperti bangunan lapangan terbang yang biasa kita lihat. Pekerja-pekerja di lapangan terbang tersebut menyambut kedatangan para pelancong dengan senyuman lebar. Inilah yang dikatakan Thai Hospitality barangkali.
Penginapan di Koh Samui
Setelah selesai melepasi semua proses pemeriksaan di lapangan terbang tersebut, saya menaiki van ke hotel penginapan saya.
Saya berikan tempat penginapan di kawasan Chaweng. Ini merupakan kawasan pekan utama bagi pulau Koh Samui. Resort tersebut bernama Chaba Samui Resort.
Walaupun bertaraf 3 bintang, namun hotel ini memang cantik dan selesa. Kawasan hotel dipenuhi dengan pohon-pohon rendang yang menghijau berserta dengan kolam ikan koi. Terdapat juga kolam renang yang menghadap pantai Chaweng yang sangat indah.
Setiap pagi, hotel ini menyediakan buffet sarapan pagi dengan santapan yang lazat-lazat!
Saya juga amat berpuas hati dengan keadaan bilik hotel yang diberikan kepada saya. Besar, selesa dan bersih. Servis oleh pekerja-pekerja di sini juga amat baik.
Pendek cerita, hotel ini memang amat bagus!
Island Hopping di Koh Samui
Oleh kerana saya hanya ada 2 hari di Koh Samui, saya tidak sempat untuk mencuba semua aktiviti yang popular di sana.
Selepas berfikir, saya mengambil keputusan untuk menyertai aktiviti Island Hopping Tour di Koh Samui. Aktiviti ini adalah salah satu aktiviti yang mesti-buat ketika di pulau ini.
Tour ini mengambil masa sehari suntuk.
Awal-awal pagi lagi, saya menaiki van selama 45 minit dari Chaba Samui Resort untuk ke jeti tempat saya perlu menaiki feri. Perjalanan ke pulau pertama iaitu Mu Ko Ang Thong National Park mengambil masa kira-kira 2 jam 15 minit daripada jeti.
Panas juga punggung ini duduk memerap selama 2 jam di atas feri. Kelihatan beberapa orang pelancong lain di atas feri tersebut yang muntah-muntah dan mabuk laut. Semuanya akibat keadaan feri yang agak terumbang-ambing dek ombak yang agak aktif pada hari tersebut.
Amat bertuah saya kerana ketika sedang asyik leka merenung ke arah lautan yang luas daripada jendela feri, kelihatan sepasang ikan lumba-lumba melompat ke atas permukaan laut. Seolah-olah mereka ingin megucapkan “Hello” kepada pelancong-pelacong di atas feri. Pertama kali melihat ikan lumba-lumba di habitat semulajadi, bukannya di kolam pertunjukan! Sangat sedih kerana saya tidak sempat merakamkan gambar ikan lumba-lumba tersebut.
Setibanya di destinasi pertama, semua di atas feri kelihatan amat gembira.
Mu Ko Ang Thong National Park merupakan pulau yang kecil sahaja, namun sangat indah. Di sini, pengunjung boleh melakukan aktiviti memanjat bukit (hiking), berkayak, berenang dan aktiviti-aktiviti tipikal tepi pantai yang lain.
Sebagai seorang jurugambar, saya lebih berminat untuk hanya berjalan-jalan sekitar pulau dan mengambil foto-foto yang menarik. Setelah penat, saya singgah ke salah sebuah kedai di sini untuk duduk menghilangkan dahaga dengan setin Coca-Cola.
Angin bayu pantai di sini memang enak. Sepoi-sepoi bahasa, seperti seorang ibu yang mendodoikan anaknya. Cuaca pun tidaklah begitu panas kerana terdapatnya pokok-pokok kelapa yang meneduhkan tempat ini.
Kemudian, saya menaiki feri yang sama untuk pergi ke pulau yang kedua, iaitu Mae Koh Island.
Pada hari tersebut, Mae Koh Island agak sesak dengan pengunjung, namun kecantikan pulau ini masih terserlah.
Istimewanya di pulau ini adalah tempat look-out point. Pengunjung boleh memanjat tangga sehingga ke puncak tertinggi di pulau ini.
Walaupun kepenatan, saya menggagahkan juga kaki ini untuk memanjat anak-anak tangga yang sangat cerun sehingga ke puncak tertinggi Mae Koh Island. Kepenatan saya itu sememangnya amat berbaloi kerana saya dapat melihat pemandangan hebat di sekeliling pulau ini. Kelihatan air laut yang biru dan beberapa feri besar yang menusurinya. Breath-taking!
Santapan di Koh Samui
Mencari makanan untuk orang Muslim di Koh Samui tidaklah begitu payah. Terdapat beberapa restoran halal di sini dan banyak juga restoran yang hanya menyediakan makanan laut dan vegetarian.
Sepanjang 2 hari di Koh Samui, perut saya tidak pernah kosong. Bermacam-macam juadah saya cuba di sini; ikan stim, tom yam, sotong goreng, sup ketam, telur dadar udang dan macam-macam lagi.
Paling istimewa bagi saya adalah banana pancake. Rasa dan rupanya sama seperti roti canai di Malaysia, namun mempunyai inti pisang dan kelapa parut. Setelah siap dimasak, pancake ini akan dioles dengan sapuan tebal Nutella. Superb!
Banana pancake ini hanya dijual pada waktu malam oleh penjaja-penjaja muslim yang rata-ratanya adalah imigran dari Nepal.
Membeli-belah di kawasan Chaweng
Hotel Chaba Samui Resort terletak di tengah-tengah pekan Chaweng. Hendak ke mana-mana pun mudah. Teksi di sini tidak mahal dan menggunakan meter. Teksi juga menggunakan model kereta yang besar dan baru. Tidak seperti kebanyakan teksi di Malaysia yang begitu uzur dan kurang bersih.
Pekan Chaweng memang sangat happening! Macam-macam ada di sini; restoran, café, kedai cenderahati, mini market, farmasi, klinik, salon dan sebagainya.
Oleh kerana adanya semua jenis kemudahan di Chaweng, kawasan ini sentiasa dipenuhi oleh pelancong asing yang datang dari serata dunia.
Kebanyakan penjual di Chaweng boleh berbahasa Inggeris walaupun tidak begitu fasih, namun cukup untuk melancarkan urusan jual-beli.
Saya sempat singgah di kedai yang menjual seluar pendek Tomoi yang merupakan sukan popular di kalangan masyarakat Thai. Pilih punya pilih, saya akhirnya temui warna dan rekaan yang saya gemari. Hanya 300 Bath sehelai, lebih kurang RM32. Seronok hati kerana sempat membeli satu souvenir untuk diri sendiri. Kenangan berada di Koh Samui…
Untuk ahli keluarga dan rakan-rakan, saya membeli barangan aromaterapi dan juga fridge magnet yang dijual dengan harga yang murah.
Walaupun tidak puas bercuti di Koh Samui, namun saya bersyukur diberi kesempatan untuk melawat pulau yang amat indah dan kaya dengan budaya ini. Harapan saya untuk kembali lagi ke Koh Samui untuk jangka waktu yang lebih lama. Terlalu banyak benda untuk diterokai di sini…In Sha Allah di lain masa…