Pages

19 August 2013

Kembara ‘Glitz & Glamour’ Ala Selebriti ke Los Angeles!

Hati saya teruja bukan kepalang apabila dimaklumkan perlu terbang ke Los Angeles, Amerika Syarikat atas urusan kerja. Sudah hampir 8 tahun saya meninggalkan bumi Amerika Syarikat. Kenangan 4 tahun setengah belajar di negara tersebut masih segar di dalam benak ingatan. Di sanalah saya belajar erti berdikari dan nilai tanggungjawab sebagai seorang warganegara Malaysia yang menggalas nama baik negara ke mata dunia.

Amerika Syarikat sememangnya terkenal dengan nama jolokan ‘The Land of Hopes and Dreams’. Dengan pengalaman menetap di sana, saya mengerti betapa dalamnya maksud gelaran tersebut. Negara berkuasa itu amat kaya dengan budaya moden yang berbagai corak dan cara. Sesiapa sahaja yang bertuah untuk melawat Amerika Syarikat, pastinya akan terasa denyutan aura glamour bak selebriti ternama ketika berada di sana. Lambakan tempat tarikan pelancong dan pusat membeli-belah menjanjikan pengalaman yang mustahil untuk dilupakan. Berbaloi sangat terperuk di dalam kapal terbang selama lebih 24 jam!

Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles (LAX), saya tidak henti-henti tersenyum kegembiraan biarpun keletihan. Los Angeles, yang bermaksud The Angels dalam bahasa Sepanyol, merupakan bandar paling padat dengan penduduk di Amerika Syarikat. Kota metropolitan itu juga adalah salah satu pintu gerbang utama kemasukan para pelancong dari seluruh pelusuk dunia ke dalam negara tersebut. Los Angeles amat terkenal dengan beberapa tempat tarikan pelancongan bertaraf dunia seperti Universal Studio Hollywood, Disneyland California, Grauman's Chinese Theatre dan Citadel Outlets.

Tidak sah kunjungan ke Los Angeles kalau tidak singgah di Universal Studio Hollywood. Dibuka kepada umum pada 15hb Julai 1964, taman bertemakan filem-filem ternama Hollywood itu masih lagi digunakan sebagai studio dan lokasi penggambaran sebenar cereka blockbuster di sana. Pengunjung yang bertandang ke sana akan dibawa menerokai keajaiban teknologi tercanggih filem Hollywood melalui beberapa taman tema khas seperti Jurassic Park, The Transformers 3D, The Mummy, The Simpsons, Despicable Me dan banyak lagi.

Kepenatan seharian berjalan di sekitar Universal Studio Hollywood bagaikan tidak terasa kerana pancaindera saya tidak pernah sunyi daripada dirangsang oleh tarikan-tarikan hebat yang dibina di sana. Kedai cenderahati juga terdapat di setiap penjuru di dalam taman tema itu, jadi pengunjung tidak perlu gusar untuk membeli hadiah kenang-kenangan untuk keluarga dan kawan-kawan.

Disneyland California juga tidak kurang seronoknya. Sekali-sekala, elok juga menjadi kanak-kanak semula! “Kampung” kepada Mickey dan Minney Mouse, Cinderella, Little Mermaid, Aladdin, Peter Pan dan banyak lagi karakter cerita dongeng kanak-kanak itu sememangnya layak dipanggil ‘the happiest place on Earth’. Saban tahun, tempat itu menerima kunjungan daripada lebih 18 juta pelancong yang terbang dari segenap pelusuk dunia.

Sehari suntuk berada di situ, saya bagaikan tersesat di alam fantasi yang penuh warna-warni dan keseronokan. Terdapat pelbagai tarikan istimewa di Disneyland California seperti Main Street USA, Fantasyland, Tomorrowland, Adventureland, Mickey's Toontown dan banyak lagi. Kepada pelawat yang membawa anak-anak kecil, Disneyland adalah tempat paling cocok untuk bergambar sakan dan menghasilkan memori-memori manis yang baru. Jangan lepaskan juga peluang untuk menyaksikan parade dengan maskot-maskot comel berdansa di hadapan Cinderella’s Castle pada waktu tengahari dan malam.

Tempat paling glamour di kota Los Angeles sudah semestinya adalah Grauman's Chinese Theatre dan Kodak Theatre, yang terletak bersebelahan antara satu sama lain. Majlis anugerah filem paling berprestij di dunia, iaitu The Oscars ataupun Academy Awards, dilangsungkan di Kodak Theatre setiap tahun. Pada malam berkenaan, kesemua pelakon ternama di sana akan berjalan di atas hamparan karpet merah yang dibentangkan di Hollywood Boulevard tersebut. Pada hari-hari yang lain, tempat itu menjadi tujuan “rakyat jelata” yang ingin melihat kemeriahan  kawasan tersebut. Pada setiap hujung minggu, Hollywood Boulevard pasti akan amat sesak dengan ratusan pelancong tempatan dan asing.

Berjalan di sepanjang Hollywood Walk of Fame, sempat juga saya melihat kesan tapak tangan bintang-bintang ternama Hollywood seperti Julia Robert, Richard Gere, Meryl Streep, Sean Connery dan banyak lagi. Tempat itu juga acap kali dibanjiri oleh penjaja, pemuzik dan ahli silap mata jalanan yang bertamu di situ untuk mencari rezeki mereka. Sekiranya dahaga atau lapar, boleh juga duduk sambil menghirup kopi panas di Hard Rock Café Hollywood.

Kalau ke Amerika Syarikat, bak kata orang, ongkosnya perlu besar! Kalau ke sana tetapi tidak bershopping, alahai begitu rugi! Di Los Angeles, terdapat satu pusat membeli-belah terkenal yang dipanggil Citadel Outlets. Inilah dia “sarang” terletaknya barangan berjenama pada harga runtuh. Lokasinya tidak jauh, kira-kira hanya 15-20 minit perjalanan menaiki kereta dari pusat bandar Los Angeles.

Sedikit sejarah mengenai Citadel Outlets; ianya diasaskan pada tahun 1918! Setelah hampir seabad umurnya, pusat membeli-belah itu telah berkembang dengan begitu pesat. Kini, ianya menjadi “rumah” kepada lebih 120 butik-butik barangan berjenama yang popular seperti COACH, Adidas, Nike, GAP, Levi’s, GUESS, Calvin Klien, Dockers, Kate Spade dan macam-macam lagi. Sesiapa yang suka bergaya bak superstar, barangan di Citadel Outlets pasti menepati selera anda.

Untuk keselamatan diri anda, tidak perlulah membawa terlalu banyak wang tunai ke sana. Kesemua butik di situ menerima bayaran dengan menggunakan kad kredit. Namun, pastikan anda membawa kad kredit yang diiktiraf di luar negara.

Pusat membeli-belah itu juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti tempat istirahat, restoran dan kafe. Setelah penat berjalan dan bershopping, pengunjung boleh berhenti seketika untuk snack break di Stackbucks atau Auntie Anne’s Pretzel.

Walaupun hanya dapat meluangkan 4 hari sahaja di Los Angeles, namun terubat juga rindu di hati terhadap kota mega itu. Meski kadang-kala telinga saya agak bingit dengan bunyi kesibukan kenderaan di sana, Los Angeles ternyata sebuah destinasi yang unik. Tiada tempat lain di dunia ini yang sama seperti Los Angeles. Seperti cermin, kota L.A. adalah refleksi kepada gaya hidup penduduk di sana yang penuh gemerlapan dan kilauan!

Sebelum berlepas ke destinasi yang seterusnya, saya menanam azam untuk kembali lagi ke Los Angeles. Saya berharap lawatan yang akan datang bakal menyajikan pengalaman yang berlainan pula. Walaupun jarak perjalanannya begitu jauh dari Malaysia, kepenatan badan seakan luput apabila pesawat mendarat di sana. The Angels, saya akan kembali!


Kepada yang berminat untuk ke USA bersama-sama POTO Travel & Tours, anda boleh layari laman sesawang rasmi www.pototravel.com.my untuk keterangan lanjut.

Kota Los Angeles
Disneyland California
Disneyland California
Disneyland California
Hollywood Walk of Fame
Hollywood Boulevard
Universal Studio Hollywood
Citadel Outlets

1 comment:

  1. Cantik gambar.... terbaik!

    Last year dah pergi... tak pasti tahun 2016 nak pergi lagi ke tak... huhu....

    ReplyDelete