Pages

30 August 2013

Jom Shopping di Pasar Ben Thant, Saigon

Antara tumpuan utama aktiviti membeli-belah di Saigon ialah Pasar Ben Thanh. Terletak di persimpangan Le Loi, Ham Nghi, Tran Hung Dao Avenues dan Le Lai Street, pasar ini tidak pernah sunyi daripada hiruk-pikuk penduduk bandar metropolitan tersebut.

Pasar Ben Thanh dibina pada tahun 1870 dengan nama asal Les Halles Centrales sebelum ianya ditukar nama pada 1912. Dengan ciri-ciri binaan kolonial Perancis, pasar ini telah menjadi pusat jualan hasil-hasil tanaman dan tangkapan laut oleh masyarakat tempatan sejak awal zaman pembukaannya.

Kini, Pasar Ben Thanh yang umur lebih seabad ini bukan sahaja menjadi pasar utama bagi penduduk Saigon, malah semakin popular di kalangan pelancong asing yang ingin berbelanja buah tangan dan merakam gambar-gambar menarik.

Untuk pergi ke Pasar Ben Thanh tidaklah sukar. Pengunjung boleh menaiki bas awam, teksi ataupun Cyclo, yang serupa seperti beca tetapi menggunakan motor bertayar tiga bukannya basikal. Tambang yang dikenakan amatlah berpatutan dan ianya selamat untuk dinaiki.

Setiap pagi, Pasar Ben Thanh dipenuhi penjaja yang menjual sarapan pagi, makanan kering, pakaian dan barangan kelengkapan rumah. Menjelang lewat tengahari sehingga larut malam, kedai-kedai di dalam pasar ini akan ditutup.

Namun begitu, akan ada banyak restoran-restoran dan warung-warung kecil dibuka di bahagian luar pasar tersebut dan di kawasan sekelilingnya. Jadi, tidak kira pada waktu apa pengunjung tiba di sini, pasti sesuatu yang istimewa bakal dijumpai.

Bagi mereka yang datang ke sini untuk mengisi perut yang kosong, selera pasti terbuka dengan pelbagai pilihan menarik yang tersedia. Terdapat makanan seperti mihun sup, Vietnamese rolls, buah-buahan segar, bubble tea dan sebagainya.

Pengunjung beragama Islam semestinya perlu berhati-hati sebelum membeli makanan di Pasar Ben Thanh. Pastikan makanan yang ingin dibeli Halal ataupun vegetarian.

Sebenarnya, mendapatkan makanan Halal di sekitar Pasar Ben Thanh bukannya sukar. Oleh kerana terbiasa dengan kunjungan para pelancong dari Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura dan negara-negara Timur Tengah, kebanyakan penjaja di sini memahami konsep Halal dan menyediakan makanan dengan cara tersebut.

Kunjungan ke Pasar Ben Thanh tidak akan lengkap sekiranya tidak membeli-belah di situ. Terdapat bermacam-macam produk pakaian, kain sutera, beg, kasut, seni kraftangan, l­ukisan dan makanan segar dijual di pasar ini.

Pelancong Malaysia ternyata digemari di kalangan komuniti penjaja Saigon. Penjaja di Ben Thanh Market yang rata-ratanya kaum wanita boleh berbahasa melayu yang ringkas.  Berbelanja di sana memang seronok kerana segalanya dijual pada harga yang sangat murah, dan harga barangan boleh ditawar-menawar.

Sedikit tips mengenai membeli-belah di Pasar Ben Thanh. Selalunya penjaja di sana akan meletakkan harga sesuatu barangan dua atau tiga kali ganda lebih tinggi daripada harga yang sebenar.

Jadi, pastikan anda tidak terus bersetuju dengan harga yang dinyatakan. Jangan malu-malu untuk menawar harga dengan penjaja supaya barangan dapat dibeli pada harga yang termurah. 

Dengan kerjasama dengan akhbar Sinar Harian, POTO Travel & Tours bakal menganjurkan satu lawatan istimewa ke Saigon selama 4 hari 3 malam pada 14 November sehingga 17 November 2013. Beberapa tempat tarikan pelancongan yang menarik bakal dilawati termasuklah Pasar Ben Thanh.  

Pakej lawatan yang berharga RM 1499 untuk setiap orang dewasa ini telah pun dilancarkan dan sedia menerima tempahan orang ramai. Setiap pendaftaran akan menerima sehelai t-shirt yang ditempah khas untuk acara ini. Harga diskaun istimewa akan diberikan kepada warga emas dan kanak-kanak.

Kepada yang berminat, sila layari laman sesawang rasmi POTO Travel & Tours di www.pototravel.com.my atau telefon di 03-9200 6640 untuk keterangan lanjut.

Bangunan Pasar Ben Thanh pada waktu pagi
Kedai-kedai pakaian di Pasar Ben Thanh
Penjaja buah-buahan di Pasar Ben Thanh
Pasar malam di luar bangunan Pasar Ben Thanh
Penjaja yang menjual makanan kering dan basar di dalam Pasar Ben Thanh
Terdapat peniaga yang menjual pakaian muslimah
Sarapan pagi yang dijual di tepi Pasar Ben Thanh

No comments:

Post a Comment